Menurut Ismail Yusoff dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru
(2008), Hamzah Fansuri merupakan seorang tokoh agama yang terkenal dengan
menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.
Menurut Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku
Ismail Yusoff ini, tempat dan tarikh
Hamzah Fansuri dilahirkan masih belum diketahui. Namun begitu, Hamzah Fansuri disahkan hidup
ketika pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah IV Saiyidil Mukammil (
1589-1604) hingga awal pemerintahan Sultan Iskandar Muda Ali Riayat Shah V (1604-1607)
sehinggalah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636).
Menurut Ismail Hamid dalam bukunya Perkembangan
Kesusasteraan Melayu Lama (1987), Hamzah Fansuri dilahirkan di sebuah kampung
yang bernama Fansur. Pada zaman
Kesultanan Acheh, kampung Fansur dikenali sebagai pusat pengajian Islam di
daerah Acheh Selatan. Ayah Hamzah
merupakan seorang ulama yang terkenal di Barus dan disebabkan itulah beliau
turut menurut jejak langkah ayahnya sehingga menjadi seorang tokoh ulama yang
besar.
Selain Acheh, Hamzah Fansuri telah mengembara untuk
menuntut ilmu di beberapa tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan
negeri Arab. Setelah tamat belajar,
Hamzah Fansuri kembali ke kampungnya dan mula mengajar di Barus, kemudian di
Banda Acheh dan akhir sekali dia telah mendirikan madrasah di daerah tempat
lahirnya. Hamzah Fansuri meninggal dunia sekitar tahun (1607-1610), pada awal
pemerintahan Sultan Iskandar Muda .
Dalam buku Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama (1987)
ini juga ada menyatakan bahawa sebagai seorang ulama, Hamzah bercita-cita
tinggi seperti yang disebutkan dalam syairnya iaitu ingin menyalin semua ilmu
yang terdapat dalam kitab-kitab Arab dan Parsi, terutamanya kitab-kitab yang
mengandungi ilmu ketuhanan. Nama Hamzah
Fansuri sangat masyhur di serata tempat dan syairnya digemari ramai. Karya
puisi beliau sangat indah dan berkualiti. Oleh sebab kemasyhurannya, Hamzah Fansuri
telah dipanggil ke istana Acheh. Hamzah
Fansuri telah memangku jawatan sebagai penasihat kepada sultan.
Dalam bidang ilmu tasawuf, Hamzah Fansuri menganut aliran
Wahdatul Wujud dan menjadi pengikut Tariqat
Qadiriyah. Menurut fahaman
Wahdatul Wujud, alam adalah ciptaan Tuhan. Wahdatul Wujud merupakan satu aliran
yang menekankan logik akal. Contohnya persoalan mengenai perkara-perkara ghaib
seperti berkenaan dengan kewujudan syurga, neraka, dosa dan pahala akan
dijelaskan kepada sesiapa yang bertanya dengan menggunakan logik akal untuk
menerimanya. Aliran ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sehingga
kedatangan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Hal ini berlaku
kerana Syeikh Nuruddin Ar-Raniri menuduh bahawa Syeikh Hamzah Fansuri dan anak
muridnya telah sesat dan mengklasifikasikannya sebagai kafir zindiq. Murid
Hamzah Fansuri yang membawa aliran ini ialah Shamsuddin al-Sumaterani.
Menurut buku Penghayatan Karya Agung Melayu (2013) yang
ditulis oleh Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris dan
Naffi Mat, sastera keagamaan boleh dibahagi kepada tiga cabang ilmu, iaitu ilmu
kalam, ilmu fikh dan ilmu tasawuf. Ilmu
tasawuf dikatakan mempunyai unsur rohaniah, manakala ilmu kalam pula sebahagian
daripada ilmu usul, iaitu ubat untuk kaum kafir. Seterusnya, ilmu tasawuf adalah yang terdekat
dengan perkembangan sastera Islam jika dibandingkan dalam sejarah sastera.
No comments:
Post a Comment