Friday, May 9, 2014

ANALISIS KARYA AGUNG

1.0 Pendahuluan
Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai iaitu karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuan bangsa itu (Hassan Ahmad, 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman iaitu yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seninya, budayanya, ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah.

Tegasnya, “karya agung” ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya ulung ini adalah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu.



Mortimer Adler (1961) dalam Mohd Rashid Md. Idris (2013) menyenaraikan tiga sifat utama sesuatu karya agung. Pertama, karya yang dapat dikaitkan dengan masalah dan isu masa kini. Kedua, karya yang tidak jemu dibaca berulang kali manakala ketiga ialah karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat dan boleh mengisi minda individu sehingga masa kini.
Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Dalam membuat analisis karya agung terdapat tiga aspek yang diambil kira iaitu daripada segi konsep penulisan yang mana penulisan adalah pelahiran perasaan, fikiran dan idea dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat di baca dan difahami maksudnya.aspek kedua ialah kekuatan pengarangan yang mana berkaitan dengan kelebihan dan cara pengarang mengolah idea sesebuah karya itu. Manakala aspek ketiga ialah motif pengarang yang mana ianya berkaitan dengan tujuan sesuatu karya itu dihasilkan. Karya agung yang dianalisis ialah Tuhfat al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Hang Tuah dan Bustan al-Katibin.  

2.0 Analisis Karya Agung

2.1 Tuhfat Al-Nafis

2.1.1 Konsep penulisan

Menurut Virginia Matheson, penterjemah karya agung ini, pengarang Tuhfat al-Nafis lebih cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini kerana tema Tuhfat al-Nafis dikatakan lebih cenderung kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau lebih dikenali sebagai Bugis-centric ( Arba’iyah Mohd Nor, 2002: 125). Tuhfat al-Nafis dimulakan dengan ringkasan yang diambil daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Kemudian, penulisannya menceritakan dengan lebih terperinci tentang sejarah Kesultanan Johor-Riau. Watak dinamik atau watak utama dalam Tuhfat al-Nafis adalah orang-orang Bugis yang dikatakan gagah dan berdiplomasi sehinggakan dapat meraih kedudukan penting di negeri-negeri Riau, Selangor, Sambas dan Matan-Sukadana.

            Dalam karya Tuhfat al-Nafis, hasil kepengarangan Raja Ali Haji mempunyai konsep penulisannya yang tersendiri dalam menghasilkan karya ini. Raja Ali Haji telah menyalin sahaja peristiwa daripada sumbernya. Beliau juga telah membuat perbandingan maklumat dengan sumber-sumber yang diperolehnya. Hal ini demikian kerana beliau mahu kandungan yang ditulisnya berkualiti dan dimanfaatkan oleh para pembaca. Pembaca tertarik dengan hasil penulisannya kerana pengarang terlebih dahulu membuat perbandingan dan memilih bahan-bahan atau maklumat-maklumat yang tepat dan sesuai untuk digunakan dalam penulisan karya ini.
           
            Selain itu, Raja Ali Haji juga melakukan pentafisran semula sumber yang diterima terlebih dahulu sebelum menyampaikan idea tersebut. Beliau telah menginterprestasikan fakta-fakta yang didapatinya berdasarkan sumber-sumber yang diperolehnya. Bahagian kedua dalam Tuhfat al-Nafis, sumber yang dirujuk digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan. Kemudian. Beliau telah memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya sendiri.

           
Raja Ali Haji juga menggunakan teknik penceritaan kerana beliau menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan teliti. Hal ini demikian kerana beliau mempunyai ketajaman pemerhatiannya dan seorang yang bijaksana. Ketepatan peristiwa yang diceritakan adalah tinggi kerana beliau menyaksikan sendiri peritiwa sejarah yang berlaku. Oleh itu, Raja Ali Haji menulis atas kehendaknya sendiri dan bersikap objektif dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa yang dikaji.

Seterusnya, daripada segi teknik penulisan dan bahasa. Teknik penulisan Raja Ali Haji juga berbeza daripada Abdullah Munsyi walaupun mereka dikatakan sezaman dan penggunaan bahasa mereka juga kelihatan jauh berbeza. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza. Raja Ali Haji berpendididkan Arab, pendakwah dan hidup dalam lingkungan istana di Pulau Penyengat, Riau. Oleh itu, terserlahlah penggunaan gaya bahasa Melayu klasik dalam karyanya ini.

Raja Ali Haji juga tidak menggalakkan penggunaan bahasa pasar kerana beliau percaya penggunaan bahasa pasar akan merosakkan kedudukan dan kemurniaan bahasa Melayu. Teknik penulisannya juga masih terikat dengan teknik penulisan sastera tradisional Melayu yang mana kita dapati jalan cerita sering terganggu. Sesuatu cerita itu kadang-kadang tidak diakhiri dengan sempurna malah dimasukkan cerita yang lain di dalam cerita yang sedang diceritakan.

2.1.2 Kekuatan pengarangan

Raja Ali Haji sebagai pengarang kepada karya Tuhfat al-Nafis telah menggunakan sumber rujukannya yang pelbagai dalam penghasilan karya ini. Beliau sememangnya sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah karya. Berpandukan karya Tuhfat al-Nafis, sumber yang digunakan oleh beliau adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber lisan. Namun begitu, sumber bertulis yang dirujuk oleh beliau tidak dinyatakan dalam karya ini. Rujukan terhadap sumber bertulis dapat dikenal pasti melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, aku dapat dalam setengah kaul’ dan ‘aku terjumpa dengan sejarah’. Manakala, sumber lisan pula berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan diperoleh daripada tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang lain.

           
Kebiasaannya, sumber lisan pula ditandai dan dikenal pasti dengan menggunakan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul orang-orang tua’ dan ‘kata sahibul hikayat’. Walau bagaimanapun, sekiranya sumber yang dirujuk diragukan kebenarannya, maka beliau akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’ dan ‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali Haji berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.

Selain itu, dalam penulisan Tuhfat al-Nafis pengarang lebih mementingkan kebenaran daripada kepalsuan. Tuhfat al-Nafis merupakan sebuah karya sejarah tetapi unsur-unsur mitos, dongeng dan legenda juga masih mempengaruhi karya ini. Walau bagaimanapun, unsur imaginasi ini tidak banyak digunakan kerana pengarang mementingkan kebenaran daripada kepalsuan. Yahya Ismail dalam Mohd Rashid Md Idris (2014) meletakkan Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji ini masih memancarkan kebesaran feudal. C. Hooykaas dalam Mana Sikana (2004) juga telah meletakkan Tuhfat al-Nafis sebagai sebuah buku sejarah yang sangat penting dan mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mana pengarang mengetahui banyak hal sejarah serta tarikh-tarikhnya.  

2.1.3 Motif pengarang

Tujuan utama penulisan karya ini adalah untuk memberikan penerangan kepada khalayak umum mengenai hubungan sosiopolitik antara masyarakat Melayu dan Bugis. Selain itu, Raja Ali Haji juga memberi penerangan tentang peristiwa yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu dan Bugis. Beliau menulis adalah dengan dorongan untuk menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah untuk memenuhi titah perintah orang yang berkuasa.

            Selain itu, pengarang juga menjadikan karya tersebut sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan suku Bugis dalam Kesultanan Melayu terutamanya negeri Johor. Pembaca akan mengetahui kedudukan masyarakat Bugis pada masa dahulu dan kedudukannya akan diketahui umum oleh pembaca setelah membaca hasil kepengarangan ini. Karya ini juga bukan sekadar mengangkat martabat kaum Bugis tetapi ia turut memuatkan sentimen atau gambaran tidak baik atau negatif kepada musuh-musuh kaum Bugis seperti Raja Kecil dan suku kaumnya di Minangkabau dan kaum Melayu sendiri.

            Selain itu, karya ini juga membawa pembacanya mengenali tentang kebudayaan, ketinggian dan kemakmuran perdagangan kerajaan Johor. Ia juga memaparkan kisah tentang pengalaman penduduk di sekitar gugusan kepulauan Melayu sebelum dan sesudah kedatangan kuasa-kuasa Eropah. Tuhfat al-Nafis memberikan gambaran yang cukup menarik berkisar tentang kehidupan harian di Pulau Penyengat iaitu pusat pentadbiran kerajaan.

            Karya ini juga menceritakan tentang sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Tuhfat al-Nafis meliputi penceritaan tentang kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan Betawi.

Pengarang cuba menaikkan imej Opu Bugis lima bersaudara. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pembaca dengan mengetengahkan tentang kehandalan pahlawan Bugis. Raja Ali Haji telah memaparkan tentang semangat Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang jawatan yang tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada waktu itu. Dalam penulisan Tuhfat al-Nafis ini, pengarang menyatakan bahawa campur tangan Opu Bugis Lima Bersaudara selalunya berjaya menyelesaikan masalah perebutan takhta antara dua pihak yang bersengketa. Contohnya, pengarang ada menceritakan Opu Lima Bersaudara membantu Sultan Muhammad Zainuddin bagi mendapatkan takhta pemerintahan kerajaan Matan yang sebelum ini dikuasai oleh Pangeran Agung.   

Pengarang juga cuba mencungkil pengalaman pahit dan kehampaan orang Melayu disebabkan kehilangan hak pemerintahan. Kehilangan kuasa Melayu adalah berpunca daripada kejahilan raja Melayu yang tidak melihat tipu muslihat Bugis sebaliknya meraikan Bugis sebagai penyelamat yang mengembalikan kedaulatan mereka. Raja Melayu sebenarnya diperkotak-katikkan serta diperdayakan oleh kuasa dan kemakmuran.

Motif pengarang menulis Tuhfat al-Nafis juga adalah untuk mengkritik peribadi raja Melayu yang lemah. Hal ini boleh dikatakan bahawa karya ini mengandungi unsur satira yang mana tujuan penulisan satira bukannya untuk bercerita tetapi lebih kepada mengkritik. Satira kritikan ini adalah penglahiran semula realiti secara “sendaan” walaupun kritis. Pengolahan cerita menjadi lebih menarik melalui unsur humor dan ironi. Teknik inilah yang merangsang daya fikir intelektual dan menggerakkan penilaian semula sikap dan tindakan. Tuhfat al-Nafis wajar dijadikan “cermin” kepada raja untuk menilai semula dirinya serta tindak-tanduknya. 


2.2 Hikayat Abdullah
2.2.1 Konsep Penulisan
Penulisan bermaksud penghasilan wacana yang bermakna dan bermaklumat. Dalam Hikayat Abdullah, terdapat pelbagai konsep penulisan yang diketengahkan oleh pengarangnya supaya karyanya dapat diterima oleh pembaca.  Konsep penulisan pertama yang diketengahkan oleh pengarang ialah bahasa. Pembaharuan yang dibawa oleh Abdullah hanyalah dari segi pemikiran tetapi tidak pada bahasa.  Bahasa yang digunakan dalam karyanya tidak berbeza dengan bahasa Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat lain. Bezanya Abdullah tidak lagi memulakan hikayatnya dengan bahasa mukadimah seperti dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Penggunaan perkataan sebermula, arakian, maka dan syahadan membuktikan Abdullah meneruskan bahasa hikayat-hikayat lama dalam karya agungya Hikayat Abdullah.  Ada kalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya contohnya:

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar  barang perahu atau keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburuannya”.
                (Hikayat Abdullah, 2007: 69)

Selain itu, Abdullah juga menggunakan pantun dan syair dalam tulisannya. Sebagai contoh, Abdullah Munsyi telah menciptakan pantun untuk memuji kebaikan Tuan Raffles dan isteri. Penggunaan pantun ini menarik minat pembaca dan menunjukkan kepelbagaian bahasa yang.
Seterusnya, Abdullah Munsyi juga banyak menggunakan  bahasa Inggeris dalam karyanya Hikayat Abdullah ini. Misalnya character (halaman 5), engineer (halaman 6),dan  secretaris goverments (halaman 6). Terdapat juga penggunaan bahasa Arab seperti khatib (halaman 4) dan sayid (halaman 35). 
Di samping itu, Abdullah Munsyi juga menggunakan Sudut Pandangan Orang Pertama Serba Tahu dengan aku atau saya yang bercerita sebagai konsep penulisannya dalam Hikayat Abdullah ini. Sudut Pandangan ini amat sesuai digunakan kerana isi cerita Abdullah ialah pengalaman dirinya. Watak “aku” (Abdullah) sebagai watak utama yang digunakan ini memaparkan lagi keberkesanan cerita yang disampaikan.  Hal ini demikian kerana, pembaca lebih mudah menerima cerita yang ditulis hasil daripada pengalaman penulisnya.
2.2.2 Kekuatan pengarangan
Kekuatan kepengarangan Abdullah Munsyi dapat dilihat berdasarkan pemikirannya dalam kitab Hikayat Abdullah. Pemikiran beliau dalam Hikayat Abdullah merangkumi pelbagai aspek contohnya agama, politik dan sosial. Pemikiran-pemikiran ini yang diterapkan dalam hikayat beliau berjaya mengangkat karya beliau sehingga menjadi karya agung. Contohnya:
(a)    Pandangan dan pemikirannya terhadap kepercayaan orang Melayu.
Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul.  Beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu.  Abdullah begitu kuat menentang adat dan kepercayaan usang terutama kepercayaan karut- marut dan bertentangan dengan Islam yang masih kuat dipegang masyarakat pada zamannya.  Abdullah berpendapat punca kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu adalah kurangnya beriman seseorang terhadap Allah dan Rasul.  Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.


Nasihat: Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Taala, adakah sebab dijualkan  itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oleh ibu bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 15)

(b)   Pandangan dan pemikirannya terhadap menuntut ilmu.
Selain itu, terdapat juga petikan di dalam Hikayat Abdullah ini yang menerapkan unsur keislaman ini.  Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi ini, pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan dan keilmuan.  Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu;

“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 19)

                 Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah.  Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam.  Hal ini terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan ilmu”.  Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama.

(c)    Pandangan dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu.
Munsyi Abdullah begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu.  Kenyataan ini dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang ditulis oleh beliau dalam Hikayat Abdullah yang antara lainnya beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu.

“Nasihat: adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini, belum sedarkan akn dirinya , ia tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab ia tiada mau belajar bahasanya sendiri dan tiada mau menaruh tempat belajar bahasanya itu. Maka mustahil pada akal: Adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya? Bukankah segala bang-bangsa yang lain di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu?”
(Hikayat Abdullah, 2007: 40)

2.2.3 Motif pengarang
Karya-karya kesusasteraan dihasilkan oleh pengarangnya bertujuan untuk dinikmati dan dihayati oleh khalayak. Khalayak adalah masyarakat yang menggunakan hasil-hasil kesusasteraan tersebut yang berhubungan langsung dengan pengarang. Terdapat dua fungsi kesusasteraan yang utama iaitu kesusasteraan berfungsi sebagai alat pendidikan dan kesusasteraan sebagai medium kepuasan estetik. Berdasarkan karya agung Hikayat Abdullah, pengarang sememangnya menekankan pendidikan dalam karyanya dan dalam mengemukakan gagasan penulis pasti mempunyai mesej tertentu untuk diambil iktibar oleh pembaca.  Oleh itu, pelbagai nasihat yang terdapat dalam kitab beliau telah membuktikan motif kepengarangan sebagai  alat pendidikan kepada masyarakat khususnya orang Melayu.
Misalnya, Abdullah memberi gagasan berupa pendapatnya terhadap adat-adat yang dianggap bodoh dan kolot seperti adat menjual anak. Abdullah menyatakan adat tersebut bodoh kerana segala yang berlaku itu daripada Allah. Abdullah seperti meminta pembaca supaya jangan terlalu percaya pada adat-adat seperti itu.  Menyentuh tentang raja pula, kezaliman raja menjadikan rakyat berasa takut melakukan apa sahaja yang dapat memajukan diri mereka seperti untuk membuat rumah, takut untuk menambah ilmu dan takut untuk menyalahi adat kerana kan dihukum oleh orang-orang raja. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Abdullah Munsyi cuba menyedarkan orang-orang Melayu menerusi karya agungnya ini.
Seterusnya, kesusasteraan sebagai pemberi kepuasan estetik. Dalam Hikayat Abdullah, pengarang menggunakan pelbagai gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Hikayat Abdullah turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik. Contohnya pada halaman 331 Hikayat Abdullah,2007 :

Sebermula kepada tahun Masihi sanat 1843, kepada dua puluh delapan hari bulan August, maka bahawa dewasa yang tersebut itu datanglah Tuan Gavernor Butterworth dua laki isteri, ke dalam negeri Singapura, ia itu menjadi pemerintah tiga buah negeri iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. 

            Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna luaran kelihatan lebih menarik untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus terhadap pembaca. 
Dalam Hikayat Abdullah, kita dapat lihat bahawa pengarang banyak menggunakan gaya bahasa peribahasa (makna luaran). Oleh itu, keindahan gaya bahasa peribahasa telah menyerlahkan identiti Hikayat Abdullah sebagai sebuah karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Hikayat Abdullah juga mengandungi banyak penggunaan gaya bahasa peribahasa bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Antara contoh-contoh penggunaan gaya bahasa peribahasa dalam karya ini adalah seperti berikut.

Bahawa demikianlah adanya sebab kurang fikiranku dan bodohku pada masa itu tiada menurut perkataan Tuan Raffles menyuruhkan aku mengambil tanah itu, mak abaharulah sekarang aku menyesal; akan tetapi apakah gunanya, seperti kata Melayu, “ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian apa gunanya”.
Hikayat Abdullah: 170

Peribahasa ini ingin menunjukkan betapa kesalnya pengarang menolak pelawaan Raffles untuk memiliki tanah. Contoh seterusnya:

Bahawa aku meminta ampun kepada segala orang yang pandai membaca hikayat ini; bahawa sekali-kali tiada aku memuji diriku pandai, bahawa sesungguhnya jauhlah aku sekali-kali daripada nama pandai itu; maka seperti kata Melayu, “ Tiada rotan, akar pun bergunalah”.
(Hikayat Abdullah (2007): 122)
Peribahasa “Tiada rotan, akar pun bergunalah” pula menjelaskan tentang sikap rendah diri Abdullah yang menyatakan bahawa beliau tidak terlalu pandai apabila beliau diminta mengajarkan bahasa Melayu kepada Tuan Paderi Thomsen.

2.3 Hikayat Hang Tuah
2.3.1 Konsep penulisan.
Pelbagai konsep yang telah digunakan oleh penulis dalam Hikayat Hang Tuah ini. Dalam aspek bentuk, sastera rakyat dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu berbentuk cerita atau naratif dan berbentuk bukan cerita atau bukan naratif. Sastera yang berbentuk cerita juga dikenali sebagai cerita rakyat atau cerita lisan yang terdiri daripada beberapa jenis. Antara jenis cerita rakyat ialah cerita lipur lara, cerita teladan, cerita jenaka, mitos dan sebagainya. Manakala, sastera bentuk bukan cerita pula terdiri daripada puisi seperti nyanyian rakyat, teka-teki, pantun dan gurindam. Berpandukan Hikayat Hang Tuah, dapat dikenal pasti bahawa pengarang menggunakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau naratif.
            Konsep penulisan yang seterusnya ialah bahasa asing yang digunakan oleh pengarang dalam karya ini. Hikayat hang Tuah banyak menerima unsur-unsur bahasa asing seperti bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Antara contoh perkataan yang menerima pengaruh bahasa Arab ialah hatta, mukah, wasiat, shahadan, firasat dan kaus. Pengaruh bahasa Portugis yang dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah ini ialah perkataan lanchao yang membawa maksud sejenis perahu layar yang laju, armada yang bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada kapal-kapal perang, dan perkataan di-mitar-nya yang membawa maksud ditujunya.
            Konsep yang dapat juga diketengahkan melalui karya Hikayat Hang Tuah ialah tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang amat ketara terhadap masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan yang berlaku adalah dari aspek tauhid, akidah dan sistem tulisan. Tulisan Jawi adalah berasal dari tulisan Arab yang disebarkan oleh pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab melalui penerapan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Kemudian ditambah dengan huruf-huruf baharu. Berdasarkan karya Hikayat Hang Tuah, sistem ejaan yang digunakan ialah sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi dapat dilihat dengan jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” dan “wabihinastainubihi” yang kerap kali digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah.
            Konsep yang keempat ialah penggunaan kosa kata klasik. Kosa kata klasik yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ialah kosa kata yang berasal dari Arab, Jawab, Siam dan Sanskrit. Contoh kosa kata klasik yang digunakan oleh pengarang ialah ratna mutu manikam, edan kesmaran, sahaya, masygul dan sebagainya.
Konsep yang terakhir ialah pengulangan kata. Pengulangan kata dapat dilihat dalam aspek gaya bahasa yang melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang menyampaikan buah fikiran dalam karyanya. Gaya bahasa yang baik adalah melibatkan penggunaan banyak perbendaharaan kata. Berdasarkan Hikayta Hang Tuah, pengulangan perkataan banyak terdapat dalam penulisan pengarang. Antara contoh yang dapat dikenal pasti terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah sekalian, maka, syahadan, arakian, alkisah, hatta, setelah, sekalian dan sebagainya. Sebagai sebuah hasil karya klasik, gaya bahasa jenis perulangan perkara yang lazim dan selalu digunakan dalam penulisan karya jenis ini.
2.3.2 Kekuatan pengarangan
Pengarang memuatkan unsur-unsur puisi dalam karya Hikayat Hang Tuah. Penggunaan puisi mampu menjadikan cerita atau karya tersebut berestetik dan indah apabila dibaca oleh para pembaca. Selain itu, puisi ini juga dapat menyampaikan maksud sama ada secara tersirat dan tersurat. Oleh itu, sudah semestinya dapat menarik minat pembaca untuk lebih menghayati pembacaan mereka dengan terlebih dahulu memahami isi yang pengarang sampaikan. Penggunaan pantun pula diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan bahasa cerita dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Contoh penggunaan puisi dalam hikayat ini ialah :

            Kain bersuji di atas atap,
            Pakaian raja hari raya;
            Jika sudi tuan santap,
            Jika tidak apakan daya.

            Selain itu, kekuatan pengarang dapat dilihat apabila beliau banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak dalam hikayat ini mengamalkan sikap bekerjasama, gotong-royong, bersatu padu dan sebagainya. Contohnya ialah sikap gotong-royong dan saling bekerjasama terpamer apabila rakyat bersama-sama membina istana Melaka dan menyiapkan sebuah kapal atau jong.
Bagi aspek kebudayaan pula dapat dilihat dalam karya ini melalui adat resam yang diamalkan oleh rakyat pada masa tersebut. adat resam yang diamalkan adalah seperti adat pertabalan raja, adat menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar kerajaan, dan sebagainya. Sikap yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah perlu dicontohi oleh para pembaca dan dijadikan sebagai motivasi diri untuk menghadapi cubaan dan dugaan yang mencabar. Sekiranya nilai-nilai positif tidak diterapkan dalam diri seorang manusia, maka urusan yang dilakukan akan menjadi bertambah rumit dan sering mendapat masalah.
            Persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesebuah kepengarangan yang dihasilkan. Terdapat banyak persoalan yang diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah dan menjadi kekuatan untuk mengangkat karya tersebut menjadi sebuah karya yang agung. Antara persoalan yang terdapat dalam karya ini ialah keberanian dan kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat melalui sikap dan akhlaknya dan beliau memiliki ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Beliau telah mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan Bendahara Paduka Raja. Contoh yang dapat dilihat adalah seperti berikut:
            “Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan            tikaman orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah      dan Hang Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
                                                                                              (Hikayat Hang Tuah: 1997:37)

            Kekuatan pengarang yang seterusnya dalam dilihat melalui pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini. Antara pengajaran yang boleh memberi kesan kepada para pembaca ialah kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian dolongan masyarakat Majapahit. Contoh petikan ayat yang mengandungi pengajaran ini adalah seperti berikut:

Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
                                                                                              (Hikayat Hang Tuah, 1997:205)

2.3.3 Motif Pengarang
Antara motif pengarang yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah mengetengahkan sifat-sifat positif yang terdapat dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Jati diri Melayu terserlah melalui keperibadian Hang Tuah yang dianggap sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental dan rohani.  Contohnya yang dapat dilihat melalui sifat-sifat positif ini ialah Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar biasa kerana beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk di Majapahit. Sifat keberanian ini perlu ada dalam diri setiap orang bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan ketidakadilan dalam sesuatu pentadbiran.
            Selain itu, pengarang juga menjelaskan kepentingan menuntut ilmu sebagai menaikkan semangat kepada generasi seterusnya untuk lebih mendalami pelbagai jenis ilmu pengetahuan. Hang tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai ilmu sama ada secara zahir adan batin. Hang tuah juga dapat dilihat penguasaan ilmunya apabila beliau mampu bertutur dalam 12 jenis bahasa dan fasih berkata-kata. Contoh yang dilihat keperibadian dan keilmuan Hang Tuah dapat dilihat seperti di bawah :

            “Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata        dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat     ia merendahkan dirinya”.
                                                                                  (Hikayat Hang Tuah, 1997: 473)


2.4 Bustan al-Katibin
2.4.1 Konsep Penulisan
Bustan al-Katibin merupakan tulisan yang paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu, iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat di Kepulauan Riau.  Berdasarkan hikayat ini, Raja Ali Haji cuba menyemaikan konsep adab yang sebenar sebagai satu kaedah disiplin yang membolehkan seseorang Melayu itu mengenali tertib kedudukan dirinya dalam masyarakat dan alam sekitarnya yang nyata serta yang ghaib dengan lebih tepat dan wajar, tertib kedudukan ilmu, yang semua itu akan membawa kepada pengenalan dan pengakuan terhadap kedudukan Tuhan yang tertinggi dalam seluruh martabat kewujudan.  Kesemua itu hanya boleh disemai melalui pengajaran bahasa, ilmu dan adab yang diperturunkan kepada aseluruh masyarakat Islam dari zaman permulaan Islam lagi.
            Selain itu, konsep penulisan yang terdapat dalam hikayat ini adalah secara langsung diambil daripada bahasa Arab.  Hikayat ini yang menekankan tentang bidang nahu bahasa Melayu iaitu bidang fonologi, morfologi, dan sintaksis keseluruhannya dipinjam dalam bahasa Arab.  Pengaruh bahasa Arab dalam nahu bahasa Melayu yang terdapat dalam hikayat Bustan al-Katibin ini adalah disebabkan oleh latar belakang pendidikan Raja Ali Haji yang amat menguasai bahasa Arab.  Oleh hal yang demikianlah hasil karyanya turut dipengaruhi oleh bahasa Arab. 
2.4.2 Kekuatan pengarangan
Raja Ali Haji merupakan penulis hikayat Bustan al-Katibin yang terdiri daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti.  Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat (keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah.
Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al- Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf) dalam bahasa Arab.
            Dalam hikayat Bustan al-Katibin, jelas menunjukkan pengarangnya iaitu Raja Ali Haji adalah orang Melayu yang pertama menulis tentang nahu bahasa Melayu. Kekuatan kepengarangan yang terdapat karya awal ini adalah mengenai nahu atau tatabahasa bahasa Melayu. Pengetahuan tentang nahu yang dihasilkan ini membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi.
Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas dan mendalam.  Di sini jelasa menunjukkan kekuatan kepengarangannya adalah dalam bidang tatabahasa.
Selain itu, kekuatan kepengarangan yang terdapat dalam hikayat ini adalah mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini.  Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang sedang menuntut ilmu.  Raja Ali Haji jelas dengan pemikirannya bahawa adab menuntut ilmu itu perlu dipatuhi dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.
            Seterusnya,  dalam Bustan al- Katibin, pengarang banyak memberi pandangan atau pemikirannya berdasarkan pencarian ilmu yang diberkati iaitu dengan, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan.   Raja Ali Haji dengan lantang dan jelas menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi.

“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).”     
                                                                                     (Bustan al-Katibin :3)  

Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka.  Oleh hal yang demikian, dalam bahagian Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam.
Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari, memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar. 
2.4.3 Motif pengarang
Dalam hikayat Bustan al-Katibin ini terdapat dua motif yang ingin disampaikan oleh Raja Ali Haji kepada pembaca-pembaca hikayat ini.  Kedua-dua motif ini adalah untuk memberikan nasihat kepada pembaca-pembaca dan aspek estetika iaitu memberikan garis panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri seseorang.  Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah.
            Berdasarkan tujuan pertama hikayat ini dihasilkan iaitu memberikan nasihat kepada para pembaca, pengarang  menasihati pembaca agar ikhlas dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu .  Bagi Raja Ali Haji, seseorang yang berasal dari keturunan yang berada atau yang mempunyai pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, golongan tersebut hanyalah orang yang sia-sia.  Contohnya dalam  Bustan al-Katibin (ms 2) :

“……. jikalau beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya”.

Oleh hal yang demikian, dalam bahagian mukadimah Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji telah menerangkan terlebih dahulu kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. 
            Selain itu, pengarang juga turut memberi nasihat kepada para penuntut ilmu supaya mematuhi segala adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu.  Para guru pula dinasihatkan supaya mengajar dengan tertib dan mengikut segala susunan bab-bab dan fasalnya.  Tidak lupa juga kepada para penyalin hikayat ini, Raja Ali Haji menasihatkan agar para penyalin hikayat ini tidak menyalin dengan menokok tambah bahan atau mengurangkan mana-mana isi yang terdapat dalam hikayat ini.
            Seterusnya, tujuan hikayat dihasilkan adalah dari aspek estetika iaitu untuk memberi panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri setiap manusia.  Raja Ali Haji ingin menyebarkan ilmu pengetahuan iaitu tentang ilmu bacaan dan tulisan yang menjadi asas kepada pembinaan akal dan adab.  Untuk memenuhi tujuan ini, Raja Ali Haji bukan sahaja menghuraikan kaedah ejaan jawi, bentuk dan fungsi perkataan serta binaan sintaksis, tetapi juga tentang kaedah penulisan surat, pelbagai gaya, wacana bahasa dan sebagainya.
            Dalam hikayat ini, pengarang menegaskan tentang kepentingan nilai dan adab terutamanya adat berguru.  Menurut beliau, seseorang yang tidak memelihara adab adalah seorang yang tidak berguna. Menurut beliau lagi, terdapat lima syarat  menuntut ilmu yang berkat adalah bersungguh-sungguh menuntut ilmu, mengulang kembali ilmu yang telah dibaca, menghafal ilmu yang telah dibaca, bertukar pendapat dengan kawan tentang sesuatu ilmu yang diperolehi dan memikirkan makna yang terdapat disebalik ilmu tersebut.  Seseorang itu perlu menjaga adabnya dengan guru agar ilmu yang diperolehi akan diberkati oleh-Nya.  Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.

3.0 Kesimpulan
Karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Kita boleh melihat keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya iaitu keupayaan berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah metafora. Kaedah metafora iaitu kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat bagi menyampaikan sesuatu konsep yang abstrak dengan menggunakan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai analoginya. Tahap kedua ialah kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam bentuk pengungkapan yang sangat berstruktur.
Keempat-empat karya agung yang dianalisis ini iaitu Tuhfat al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Hang Tuah dan Bustan al-Katibin memiliki konsep penulisan, kekuatan pengarangan dan motif pengarang yang tersendiri dan sesuai dengan zamannya. Aspek-aspek yang dianalisis diharapkan dapat memberikan penerangan tentang karya-karya agung itu dan memberi manfaat kepada semua.   


No comments:

Post a Comment