1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus
Dewan edisi keempat (2010), Pandangan bermaksud anggapan, tanggapan dan
fikiran manakala Pemikiran pula bermaksud perihal berfikir (memikir). Konsep pandangan hidup menurut sarjana Islam, Syed Naquibb al-Attas (172) di dalam buku
Penghayatan karya agung (2013), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam
yang merangkumi hal dunia dan akhirat.
Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan terntang
realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan
seluruha alam. Dalam buku Penghayatan
karya agung (2013), Pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh
masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan
segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Sehubungan dengan itu, pandangan hidup orang
Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan
hubungan sesama manusia.
Pemikiran
di dalam karya sastera pula bermaksud subjek yang dibawakan oleh
pengarang. Bermula daripada idea dan
pengalaman yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk
dijelmakan menjadi persoalan dan tema sesebuah karya. Daripada situlah ia dikembangkan untuk
menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang.
(Penghayatan karya agung Melayu, 2013:57).
Selain itu, Pemikiran juga merupakan sesuatu yang muncul di dalam minda
seseorang atau anggota masyarakat berupa idea, pandangan, fahaman, kepercayaan
dan sebagainya yang merangkumi semua aspek termasuk world view( Haron
Daud:2001). Seterusnya, menurut Talib Samat (2002) pula, Pemikiran menjadi
intipati dan ciri penting dalam hasil penulisan seseorang penulis kerana
pemikiran mencerminkan tahap prestasi, pencapaian dan martabat karyanya. Pemikiran menjadi kayu pengukur mutu
penghasilan karya seseorang penulis.
Di dalam Hikayat Abdullah, terdapat
pelbagai pemikiran yang dibawakan oleh Munsyi Abdullah yang merangkumipelbagai
bidang seperti masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral yang didapati
mendahului zaman. Hal ini menunjukkan, Abdullah Munshi mempunyai
keintelektualan dan akal fikiran yang luar biasa. Walau bagaimanapun, hanya pemikiran
berdasarkan aspek agama, sosial, politik dan ekonomi sahaja yang dikaji.
Hikayat
Abdullah ialah satu catatan penulisan sejarah penting yang berkait rapat dengan
peristiwa-peristiwa yang dilihat, dialami
semasa Abdullah tinggal di Melaka dalam tahun-tahun sekitar 1800 -
1840an. Kisah yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah ini mencerminkan keadaan
sosial masyarakat Melaka pada ketika itu. Secara tidak langsung ia merupakan
satu dokumen sejarah penting kepada perkembangan negara kita dan juga pandangan
dan pemikiran beliau terhadap setiap peristiwa yang dialami dan dirasai.
Beliau
dilantik menjadi jurutulis dan penterjemah kepada Raffles dan pembesar-pembesar
Inggeris, menyebabkan hubungannya begitu rapat dan mesra dengan orang-orang
Inggeris. Keadaan ini mempengaruhi pemikiran dan tindakannya.Abdullah seorang
pemerhati yang teliti terhadap keadaan zamannya. Kritikannya kepada orang
Melayu melalui karya Hikayat Abdullah ini sangat sinis contohnya dia turut
mengatakan bangsa Melayu bodoh kerana telah mengabaikan bahasa sendiri. Selain
itu, beliau juga begitu lantang mengkritik sikap raja-raja Melayu yang
menzalimi rakyat dan menghukum rakyat yang bersalah secara tidak adil. Beliau cuba membuka pemikiran orang-orang
Melayu ke arah kebaikan dan kemajuan secaramembandingkannya dengan orang
Inggeris. Beliau sangat memuji keperibadian orang Inggeris sehinggakan beliau
sendiri dipulaukan oleh orang Melayu.
Sikap berat sebelah ( Munsyi Abdullah) inilah yang sering dipersoalkan
dalam perbincangan mengenai ketokohannya.
2.0 LATAR
BELAKANG MUNSYI ABDULLAH
Nama
sebenar Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada
1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling yang juga dikenali sebagai
Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai empat orang adik-beradik tetapi
ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia ketika masih kecil iaitu berusia antara
satu hingga tiga tahun.
Abdullah
menyatakan asal usul keturunannya bermula daripada seorang pemuda Arab Yaman,
suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul Kadir.
Syeikh Abdul Kadir telah mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di
India. Beliau bekerja sebagai guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin
dengan gadis tempatan dan menetap di tanah asing itu. Mereka telah dikurniakan
empat orang anak dan salah seorang merupakan datuk Abdullah yang bernama
Muhammad Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah mengembara sehingga ke Melaka apabila Syeikh Abdul Kadir meninggal dunia.
Beliau juga telah berkahwin di Melaka dengan gadis bernama Peri Achi berketurunan India-Islam
dan mendapat anak yang salah seorangnya ialah ayah Abdullah, iaitu Abdul Kadir
sempena nama ayah beliau.
Abdul Kadir sangat tegas dengan
anaknya terutama dalam pelajaran. Setiap malam bapa Abdullah akan mendera
beliau supaya menyambung pelajaran atau membuat kerja rumah. Hasil didikan itu
menyebabkan Abdullah menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain.
Abdullah dikatakan cepat matang dan memiliki sikap berdikari kerana pada usia
yang masih kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual layang-layang, melukis,
menulis surat, dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan wang. Abdullah juga
sangat rajin menuntut ilmu. Dia tidak
kisah belajar dengan sesiapa asalkan dapat mempelajari ilmu baru. Bidang yang
paling digemarinya ialah bidang bahasa dengan meluaskan pengetahuan mengenai
kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa, tujuan, dan ilmu bahasa.
Beliau juga turut mempelajari bahasa Tamil, Arab, dan Inggeris selain bahasa
Melayu untuk memudahkan proses berkomunikasi dengan bangsa lain.
Abdullah menerima gelaran
“munsyi” yang bermaksud guru ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan
mempunyai banyak ilmu. Beliau juga menjadi guru dan mengajar pelajaran agama
kepada askar Islam Melaka. Golongan askar tersebut atau dikenali sebagai Supai
atau ‘sepoy’ dalam bahasa Inggeris yang telah memberikan gelaran “munsyi”
kepada beliau. Mereka merupakan anggota
tentera berbangsa India yang diambil berkhidmat dengan tentera Inggeris di
India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh Abdullah di hujung nama beliau dan
gelaran tersebut menjadi sebahagiaan daripada nama penuh beliau sehingga kini.
Abdullah
meninggal dunia pada tahun 1854 sewaktu berusia 58 tahun ketika dalam perjalanan ke Mekkah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu
haji pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat
pengalamannya tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia semasa berada di
Mekkah. Hasil tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun tidak dapat disiapkan
dengan diberi tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah” yang diterbitkan oleh
Balai Pustaka, Jakarta pada 1920.
3.0
SINOPSIS HIKAYAT ABDULLAH
Hikayat
Abdullah Munsyi merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan kehidupan
penduduk negeri Melaka. Keadaan ini berlaku dalam tahun 1800 hingga tahun
1840-an. Hikayat ini merupakan peristiwa yang berlaku dialami, dilihat dan
didengar sendiri oleh Abdullah Munsyi
(Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi). Hikayat Abdullah bukanlah berupa penulisan
sejarah atau politik yang tulen. Hal ini kerana, buku tersebut tidak
membentangkan suatu analisis sejarah yang mengesahkan pergolakan politik dan
pemerintahan. Tiada sebarang tarikh yang spesifik atau releven dimuatkan dalam
kisah-kisah yang dihuraikan oleh beliau.
Hikayat
Abdullah mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman
kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga
beliau. Namun semua itu hanya terkandung pada permulaan hikayat ini sahaja
iaitu sebagian kecil sahaja daripada penceritaan Hikayat Abdullah. Sebahagian
besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah adalah berkaitan peristiwa
harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah
sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja
di dalam kerajaan atau di luar kerajaan. Selain itu, penceritaan ini juga
berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah.
Dalam Hikayat Abdullah ini juga,
Abdullah sering menurunkan pemikiran dan falsafah beliau terhadap beberapa isi.
Misalnya berkenaan dengan bahasa Melayu, berkenaan sikap orang Melayu,
kepandaian dan teknologi orang Eropah,
dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan
undang-undang bertulis, keadilan bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba
memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa beliau tinggal di
Melaka.
Pendekatan sejarah sosial ini cuba
melihat sejarah bukan dari sudut pergolakan politik, tetapi lebih menumpukan
sudut perhubungan dalam masyarakat. Antara aspek yang menjadi fokus ialah corak
pergaulan dan adat resam, budaya serta perhubungan antara masyarakat, sistem
ekonomi, pendidikan, sebutan dalam bahasa, corak pemikiran serta keupayaan
masyarakat dan sebagainya. Rangkuman
sosial ini juga meliputi perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah
dalam sesuatu zaman.
Oleh yang demikian, sudut sejarah sosial lebih
bersifat neutral, tidak berat sebelah dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak
dipengaruhi unsur ‘siapa yang benar, siapa yang salah’ kerana segala peristiwa
yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana
persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi
sebagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah.
Segala peristiwa yang dilihat, didengar dan dialami oleh beliau, iaitu
kisah-kisah harian yang berlaku di Bandar Melaka sepanjang tempoh kira-kira
dari tahun 1800 sehingga 1840, cuba dipaparkan di dalam hikayat ini.
4.0
PANDANGAN DAN PEMIKIRAN DALAM HIKAYAT ABDULLAH
Pandangan dan
pemikiran Munsyi Abdullah yang dikaji di dalam karya agung beliau yang berjudul
Hikayat Abdullah ini hanyalah berkisarkan kepada empat aspek. Keempat-empat aspek tersebut adalah
merangkumi bidang agama, sosial, politik dan ekonomi yang terkandung di dalam
setiap bab di dalam hikayat ini. Setiap
aspek yang dikaji ini membuktikan bahawa Munsyi Abdullah merupakan seorang
pemikir yang hebat. Beliau telah
mendahului zamannya dalam masyarakat Melayu abad ke-19 pada ketika itu. Kritikannya kepada masyarakat Melayu bukanlah
disebabkan rasa benci kepada orang Melayu tetapi supaya masyarakat Melayu
menjadi manusia hebat sama seperti orang-orang Inggeris.
4.1 Agama
1) Pandangan dan pemikirannya terhadap
kepercayaan orang Melayu.
Abdullah
Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya
kepada perkara yang tahyul. Beliau
beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti kerana kepercayaan
itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu. Abdullah begitu kuat
menentang adat dan kepercayaan usang terutama kepercayaan karut- marut dan
bertentangan dengan Islam yang masih kuat dipegang masyarakat pada zamannya.
Abdullah berpendapat punca kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu
adalah kurangnya beriman seseorang terhadap Allah dan Rasul. Ini dapat dilihat
penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat
Abdullah.
“Nasihat: Bahawa ini pun satu adat
nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Taala, adakah sebab
dijualkan itu menjadi panjang umurnya
dan jikalau dipelihara oleh ibu bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka
sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 15)
Selain itu, Abdullah juga mengkritik
sikap orang Melayu dan orang Cina yang yang mempercayai hantu syaitan yang
diberi pelbagai nama iaitu hantu, syaitan, mambang, hantu mati dibunuh dan
mengamalkan pelbagai ilmu yang boleh membahayakan nyawa manusia seperti ilmu
penunduk, kebal,kesaktian dan sebagainya.
“Maka lalu
datanglah keduanya ke dalam bilik tempat aku menulis, katanya,” Apa ertinya
pontianak dan polong?” maka tertawalah aku serta kuertikanlah kepada Tuan Milne
dengan terangnya akan segala nama-nama hantu syaitan yang dipercayai oleh orang
cina dan Melayu yang bodoh lagi sia-sia, iaitu turun –temurun daripada nenek
moyang dahulu kala.”
(Hikayat Abdullah,
2007: 110-111)
Berdasarkan petikan ini, Abdullah
jelas mentertawakan perbuatan masyarakat Cina dan Melayu serta turut mengatakan
mereka semua bodoh kerana mempercayai perbuatan karut tersebut. Abdullah turut memberikan nasihatnya dalam
hikayat ini berkaitan dengan permasalahan ini.
“Nasihat: Adalah dalam fikiranku orang yang bodoh lagi
tiada berilmu ini bahawa sekali-kali tiada patut orang percaya seperti polong
dan penanggalan dan segala perkara yang tersebut itu, karena asalnya
pekerjaan itu semuanya terbit daripada
hati orang yang tiada beriman kepada Allah dan Rasul, dan lagi tiada pula
mengetahui jalan Allah Taala. Maka Ia itulah saja yang berkuasa atas tiap-tiap
sesuatu yang boleh mengadakan baik dan jahat, maka kita percaya ada pula yang
lain yang boleh mendatangkan sesuatu, nescaya adalah pula yang lain daripada
Allah. Maka sekalian itu bohong lagi dusta, adanya”.
(Hikayat Abdullah, 2007: 114)
2) Pandangan
dan pemikirannya terhadap menuntut ilmu.
Selain itu, terdapat juga petikan di
dalam Hikayat Abdullah ini yang menerapkan unsur keislaman ini. Misalnya dalam
karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi ini,
pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan dan
keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut,
iaitu;
“Adapun
ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan
itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan
Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat
dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh
manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah,
2004: 19)
Petikan di atas menunjukkan ciri
falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada
kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut ilmu
juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini terbukti melalui
kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan ilmu”.
Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama.
3) Pandangan
dan pemikirannya terhadap kasih sayang ibu bapa
Abdullah
seorang yang sangat menyayangi ibu bapanya.Bahkan beliau sangat mengenangkan
jasa ibunya yang begitu menyayangi dirinya sejak dari kecil lagi dan tidak
sanggup berpisah dengannya. Kasih sayang
yang ibunya berikan tidak mampu dibalas selain mendoakan semoga ibu bapanya
akan menjadi penghuni syurga suatu hari nanti.
Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan ini :
“Syahadan,
jika aku terjkenang-kenang akan kasih ibuku itu, adalah aku menanggung seberat
bumi dengan langit kasih ibu bapa itu, tiadalah dapat aku membalas, melainkan
sehari-hari aku mendoakan dia mudah-mudahan diberi Allah akan dia syurga empat
kediamannya, bersama-sama dengan segala orang yang telah dikasihani Allah akan
dia pada selama-lamanya. Amin! Amin! Amin!”
(Hikayat Abdullah, 2007: 13-14)
Abdullah
juga turut memberikan nasihat kepada pembaca agar jangan sesekali menderhakai
ibu bapa dan membiarkan mereka menangis akibat perbuatan kita.
“Nasihat:
Dengarkan olehmu, hai sekalian anak yang berbudi dan yang berbahagia, bahawa
demikianlah besarnya kebajikan ibu bapa itu akan anaknya. Adakah patut kita
derhaka akan dia dan tiada kita menurut akan perintahnya dan kita memecahkan
hatinya dan kita mengeluarkan air matanya?...”
(Hikayat Abdullah,
2007: 14)
4.2 Sosial
1) Pandangan
dan pemikirannya terhadap amalan jual beli hamba
Abdullah
dalam kitabnya Hikayat Abdullah juga turut mengkritik perbuatan jual beli hamba
yang sangat aktif dijalankan di Tanah Melayu. Beliau tidak sanggup melihat para
hamba yang dijual seperti binantang oleh tuan empunya hamba-hamba
tersebut. Hal ini dapat diperhatikan
melalui petikan ini:
“Adapun
kebanyakkan hamba-hamba perempuan yang datang pada masa itu perempuan Bali dan
bugis. Maka sekalian itulah dibeli oleh segala bangsa, baik Cina, baik keling,
Melayu, dibuatnya bini, menjadi banyak berana-anak sampai sekarang
ini.......maka semuanya datang tumpah-ruah
ke singapura, seperti orang menjual kambing, dihalaunya sepanjang jalan,
disesahnya dengan rotan. Maka demikianlah halnya pada masa itu, hamba-hamba
dijual orang, seperti orang menjual binatang, baik di Melaka, baik di
Singapura.
Syahadan,
telah aku pulang ke darat, pada esoknya ku khabarkanlah segala hal ehwal itu
kepada Tuan raffles.”
(Hikayat Abdullah, 2007:
192)
Berdasarkan petikan ini, jelas
memperlihatkan bahawa Abdullah sangat membenci akan kegiatan jual beli hamba
yang dijalankan di Alam Melayu. Bahkan dia juga menyamakan perbuatan jual beli
hamba ini sama seperti menjual binatang. Kebenciannya terhadap amalan ini kian
ketara apabila dia mengadu kepada pihak Inggeris berkenaan permasalahan ini supaya
perbuatan jual beli hamba ini dapat segera dihentikan.
2) Pandangan
dan pemikirannya terhadap orang-orang Inggeris atau barat.
Abdullah
menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dikatakannya membawa
pengetahuan dan kemajuan kepada masyarakat Melayu. Sikap rajin dan keilmuan
orang Inggeris menjadi perhatian beliau dalam Hikayat Abdullah ini. Beliau sangat kagum dengan Tuan Raffles yang
rajin. Bahkan dalam hikayat ini juga, Abdullah tidak henti-henti memuji
keperibadian Tuan Raffles yang sangat baik pada pendapatnya. Antara petikan
yang menunjukkan betapa Abdullah menyenangi keperibadian Tuan Raffles ialah:
“Syahadan, adalah
tabiatnya itu kulihat senantiasa di dalam berfikir juga. Maka terlalu pandai ia
memberi hormat akan orang serta dengan manis mukanya berbahasa dengan orang;
encik dengan encik, tuan dengan tuan. Dan lagi, banyak ia menaruh kasihan akan
orang orang; maka tangannya terbuka kepada orang miskin. Dan lagi, terlalu
pandai ia membunuh perkataan orang. Dan lagi, selalu apabila ia bercakap dengan
tersenyum-senyum.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 63)
Seterusnya, selain Tuan Raffles,
Abdullah juga sangat mengagumi dan menyenangi keperibadian Tuan Milne yang
menurut sangat bertimbang rasa. Tuan Milne sanggup memberikan Abdullah cuti
yang panjang selepas berkahwin. Bahkan , segala perbelanjaan perkahwinan
Abdullah ditanggung oleh Tuan Milne.
Budi baik yang Tuan Mine taburkan sangat dihargai oleh Abdullah. Hal ini dapat diperhatikan dalam petikan di
bawah:
“Demikian
halnya orang yang baik itu, lagi yang taumengambil hati orang dan yang tau
menimbang hati manusia, iaitu kesebutkan baik adanya. Adanya budi tuan Milne itu baik serta dengan ingatannya dan
tolongnya serta kasihnya itu, maka sepenuh-penuh terjunjung di atas batu
kepalaku. Maka sampai aku mati pun tiada habis aku membalaskan, melainkan Allah
juga memberikan kebajikan. Sampai tujuh lapis anak buahnya menjadi hutanglah di
atasku, seperti umpamaan Melayu: Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa
mati, adanya”.
(Hikayat Abdullah, 2007: 127)
3) Pandangan
dan pemikirannya terhadap golongan feudal ,bangsawan dan raja
Abdullah
Munsyi menunjukkan sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai
kolot dan berat sebelah. Beliau
menganggap raja-raja Melayu sangat zalim kerana kehendak mereka tidak boleh
dihalang atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap dan pemikirannya yang
bencikan golongan ini jelas melalui
gambaran betapa hodoh dan bodohnya raja-raja Melayu dalam Hikayat Abdullah
seperti gambaran tentang Sultan Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.
Selain itu, Abdullah juga turut mengatakan Sultan Hussin bodoh kerana menolak
tawaran Tuan Raffles yang menginginkan anak Sultan belajar ke Benggala supaya
boleh belajar pelbagai jenis ilmu dengan Tuan Jen[d]eral. Kritikan ini dapat
dilihat berdasarkan petikan:
“Bahawa
sesungguhnya adalah pada fikiranku maka nyatalah kebodohan dan kekurangan
fikiran Sultan itu, maka alangkah baik dan besar tolongan Tuan Raffles itu hendak
mengajarkan anak-anak mereka itu supaya kemudian kelak ia boleh mengerti dan
mendapat kepandaian dan hikmah akan menambahkan akal dan pengetahuan.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 187)
4)
Pandangan dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu.
Munsyi
Abdullah begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dan
pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa
pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu. Kenyataan ini
dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang
ditulis oleh beliau dalam Hikayat Abdullah yang antara lainnya beliau
menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat
tentang bahasa Melayu.
Munsyi Abdullah yang jelasnya bukan orang Melayu
tulen maka tidak hairanlah dia dengan begitu berani mengkritik orang-orang
Melayu. Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu jelas apabila dia tidak
bersetuju dengan pandangan dan sikap orang Melayu yang mengabaikan bahasa
Melayu seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah betapa bodohnya orang
Melayu kerana tidak mahu mempelajari bahasa sendiri.
“Nasihat:
adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal
orang Melayu ini, belum sedarkan akn dirinya , ia tinggal dalam bodohnya itu,
oleh sebab ia tiada mau belajar bahasanya sendiri dan tiada mau menaruh tempat
belajar bahasanya itu. Maka mustahil pada akal: Adakah orang yang tiada belajar
itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya? Bukankah segala bang-bangsa yang
lain di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu?”
(Hikayat Abdullah, 2007: 40)
5) Pandangan
dan Pemikirannya terhadap ilmu-ilmu lain.
Kesedaran
beliau terhadap betapa mundur dan ceteknya pemikiran bangsanya telah
mempengaruhi sikap dan pemikiranya terhadap ilmu-ilmu lain yang dibawa masuk
oleh orang-orang barat. Situasi itulah yang mendorong beliau untuk mempelajari
ilmu-ilmu baharu yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Dalam Hikayat
Abdullah dinyatakan beliau belajar ilmu bumi seperti bentuk bumi, gerhana dan
ilmu kira-kira.
“Dan lagi,
boleh belajar ilmu kira-kira; bukankah berguna kepada kamu sekalian ilmu
kira-kira itu? Maka jikalau tiada tau kira-kira , kelak bagaimana engkau hendak
berniaga jual beli.”
Berdasarkan
petikan ini, maka jelaslah Munsyi Abdullah telah pandai ilmu kira-kira dan
beliau juga turut mahu bangsanya mempelajari ilmu ini.
Selain itu,
Abdullah juga sangat suka belajar ilmu bahasa. Selain bahasa Tamil dan bahasa
Melayu, Abdullah juga turut belajar bahasa Inggeris. Beliau belajar bahasa ini dengan Tuan
Milne. Namun, sebagai balasan, Abdullah
perlu mengajar Tuan Milne bahasa Melayu.
Berikut adalah petikan yang membuktikan Abdullah belajar bahasa Inggeris
dengan Tuan Milne:
“...Kemudian
kataku, “Tuan,sahaya terlalu suka hendak belajar baca Inggeris.” Maka jawabnya,
“ Baiklah. Sahaya boleh ajar. Akan tetapi, ajar sama sahaya baca Melayu.” Maka
jawabku, “Baiklah,tuan. Nanti esok sahaya datang,tuan.”
(Hikayat Abdullah, 2007:100)
4.3 Politik
Politik
merujuk kepada sistem pemerintahan. Karya Hikayat Abdullah mempunyai beberapa
aspek politik yang ditonjolkan. Yang paling menarik dalam karya ini, Abdullah
mengulas dan menceritakan tentang pemerintahan beraja yang mana terdapat
beberapa elemen yang kurang disenanginya. Sistem pemerintahan di negeri-negeri
Melayu menggunakan sistem pemerintahan beraja berkuasa mutlak. Kuasa mutlak ini
bermaksud kuasa yang tiada batas atau berkuasa penuh. Seluruh rakyat jelata
mesti mentaati raja sepenuh hati. Pada masa yang sama sistem pemerintahan
beraja dahulu kala juga dicampurkan dengan adat istiadat yang melampaui batas.
Hal ini bertujuan bagi menunjukkan kemuliaan dan membezakan taraf raja dengan
rakyat. Masa kini raja tidak lagi berkuasa mutlak dan dipindah kepada raja
berperlembagaan. Hal ini berjaya mengurangkan kuasa raja dan boleh mendakwa
raja yang melakukan kesalahan.
Apabila disebut sistem pemerintahan
raja berkuasa mutlak, institusi ini akan mempunyai sistem hukuman yang
tersendiri. Kadang –kadang undang yang digubal berlandaskan nafsu dan
menguntungkan sebelah pihak sahaja. Banyak kisah – kisah yang menceritakan hukuman
para raja yang tidak adil atau tidak masuk akal. Antaranya seperti di bawah.
“Maka
setelah sudah berkampung, maka Tuan Raffles pun duduklah dia atas tempat bicara
itu, katanya, “Tuan Sultan dan Temenggung, bagaimanakah adat dalam
undang-undang orang Melayu, jikalau seorang rakyat menderhaka kepada rajanya demikian ini?” Maka jawab
Sultan , “Tuan kalau adat Melayu, orang itu dibunuh habis-habis dengan anak
bininya dan kaum keluarganya. Maka tiang rumahnya dibalikkan dan ke atas dan
bumbung rumahnya ke bawah dan tanah bekas rumahnya itu pun dibuangkan ke
laut,adanya”.
(Hikayat Abdullah, 2007:180)
Berdasarkan
petikan ini, maka jelaslah hukuman yang dikenakan kepada rakyat jelata yang
menderhaka kepada raja adalah sangat tidak adil. Sekiranya salah seorang dalam
sesebuah keluarga menderhaka kepada raja, maka seluruh keluarga akan dibunuh.
Yakni keturunanya mesti dihapuskan. Hukuman ini sangat tidak relevan jika
diamalkan pada hari ini.
Seterusnya, sekiranya raja-raja
berkenan kepada seseorang gadis maka ia akan memaksa gasis tersebut menjadi
gundik mereka. Bahkan, terdapat juga gadis-gadis yang dinikahi dengan paksa.
Adat atau undang-undang yang mengatakan tidak boleh menderhakai raja
menyebabkan khatib terpaksa menikahkan juga gadis dengan raja mereka.
“Syahadan
lagi, hendaklah tuan-tuan mendengar ada lagi suatu ajaib yang kudengar, kecualinya
ada raja-raja Melayu yang membuat sesuatu adat, iaitu bukannya adat orang Islam
dan bukannya adat bangsa-bangsa lain pun yang ada di dunia, melainkan adat
iblis atau adat hawa nafsu yang jahat, iaitu kalau raja-raja mengambil
anak-anak perempuan orang kebanyakan hendak dibuat gundik itu dengan kerasnya,
semata-mata tiada dengan redha perempuan itu,istimewa ibu bapanya maka
digagahinya disuruhnya bawa perempuan itu ke rumahnya, maka dipanggilnya khatib
atau lebai-lebai yang bebal yang tiada mengetahui hukum agama Islam dan yang
tamak akan upah”.
(Hikayat Abdullah, 2007:301)
Seterusnya, ekoran daripada pihak
Inggeris yang telah menapak di Singapura maka mereka telah menggubal
undang-undang di Singapura. Undang-undang ini digubal supaya dapat menjamin
keselamatan negeri Singapura daripada bahana luar. Terdapat petikan yang
menceritakan tentang penggubalan undang-undang negeri Singapura di dalam
Hikayat Abdullah ini.
“Syahadan,
setelah ramailah sudah negeri Singapura, maka oleh Tuan Raffles dikarangkannyalah
undang-undang,iaitu menyatakan adat-adat dan hukum-hukum yang patut dipakai
dalam negeri Singapura supaya terpelihara segala isi negeri daripada segala
bahaya dan kejahatan, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2007:198)
4.4 Ekonomi
Ekonomi
boleh di definisi ilmu bukan pengeluaran, pengagihan, penggunaan barang-barang,
dan perkhidmatan. Ekonomi masyarakat
Melayu di zaman Abdullah sangat berlainan dengan ekonomi masyarakat Melayu pada
zaman ini.
Pada zaman dahulu ekonomi sudah
menjadi satu pengenalan bagi sesuatu bangsa. Masyarakat Melayu lebih kepada
kerja tani sara diri manakala masyarakat Cina sinonim dengan perniagaan.
Walaupun begitu ekonomi masyarakat Melayu di Melaka dan Singapura tidaklah
tertumpu kepada yang diceritakan dalam sejarah. Kisah dalam Hikayat Abdullah
terdapat masyarakat Melayu yang menceburi bidang perniagaan. Hal ini didorong
oleh faktor negeri Melaka yang menjadi pusat pelabuhan warga asing. Oleh itu
semua kaum mengambil kesempatan merebut rezeki yang ada. Semua barang yang
mempunyai nilai akan diniagakan.
Pada masa yang sama menjual anak
untuk tujuan perubatan juga dijadikan sumber ekonomi. Namun, ini bukanlah sumber ekonomi yang besar kepada masyarakat
Melayu ketika itu. Perniagaan ini didorong oleh kepercayaan karut dalam
masyarakat Melayu pada ketika itu. Kepercayaan ini dikritik hebat oleh Abdullah
sehinggakan beliau mengeluarkan persoalan, adakah dengan sebab menjual anak
umurnya akan panjang?
“Bermula,
adapun adat menjualkan anak itu bukannya seperti orang menjual hamba, melainkan
namanya sahaja, sewang atau lima enam duit, maka duit itu diambil oleh ibu
bapanya, dibeliknnya penganan atau barang-barang makanan, dimakannya.”
(Hikayat Abdullah, 2007:15)
Seterusnya,
menjual layang-layang juga merupakan sumber ekonomi masyarakat pada ketika itu.
Hal ini dapat diperhatikan melalui kata-kata Abdullah dalam petikan berikut:
“Maka
adalah waktu tengah hari, lepas-lepas menagaji itu, aku perbuat layang-layang
lidi kecil, kujual kepada budak-budak, satu seduit harganya. Maka itulah
menjadi belanjaku membeli penganan dan buah-buah.......Maka ada juga orang
lain-lain pun membuat layang-layang , dijualnya, tetapi budak-budak tiada suka
membeli , karena bunga-bunganya itu dibubuhnya kertas merahdan hijau hitam
ditampalnya. Adapun aku membuat itu semuanya putih juga, tetapi aku sediakan
dakwat warna-warna.”
(Hikayat Abdullah, 2007:25)
Berdasarkan ayat Maka ada juga
orang lain-lain pun membuat layang-layang ,dijualnya,maka jelaslah bahawa
bukan Abdullah sahaja yang menjalankanaktiviti perniagaan menjual layang-layang
tetapi masyarakat dewasa sudah pun melakukannya sebagai salah satu sumber
ekonomi mereka.
Di samping itu, sumber ekonomi lain
masyarakat pada zaman Abdullah ini juga ialah penjualan hamba abdi. Sumber
ekonomi ini sangat dikecam oleh Abdullah.
..., “Jikalau encik turun ke laut
itu, ada satu perahu baharu masuk semalam. Ada tiga empat ratus hamba
dibawanya.” Maka Cuma-cumalah aku bertanya ini berapa harga, itu berapa harga.
Maka katanya, “ ini empat puluh ;itu tiga puluh.” Maka aku berjalanlah.”
(Hikayat Abdullah, 2007:191)
Berdasarkan
petikan di atas, maka jelaslah salah satu sumber ekonomi masyarakat terdahulu
adalah menjual hamba. Hamba-hamba ini terdiri daripada laki-laki, perempuan ,
kanak-kanak bahkan perempuan mengandung juga turut dijual. Abdullah sangat mengasihani nasib hamba-hamba
tersebut yang diperlakukan seperti binatang.
Selanjutnya,
sumber ekonomi utama pada ketika itu ialah berniaga dan berdagang. Berdasarkan Hikayat Abdullah, didapati
golongan peniaga adalah paling ramai wujud pada zaman tersebut. Di bawah adalah contoh petikan yang yang menunjukkan
terdapatnya aktiviti perniagaan dan berdagang di dalam hikayat ini.
Hatta dengan
beberapa lamanya ia disana pekerjaannya sambil berniaga sambil mengajar
orang-orang hulu itu daripada hal mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal
perkara agama Islam.
(Hikayat Abdullah, 2007:7)
Maka adalah
pada masa itu negeri Melaka pun dalam sentosanya dan dagang pun terlalu banyak
keluar masuk, datang daripada segala pihak negeri, berniaga ke Melaka.
(Hikayat Abdullah, 2007:50)
5.0 RUMUSAN
Tuntasnya,
sesebuah karya sastera bukanlah hanya sebagai bahan hiburan semata-mata ,
tetapi juga sebagai bahan untuk pembaca merenung dan memikir serta mendapatkan
panduan dan pengetahuan daripadanya.
Pemikiran dan pandangan yang menyentuh soal-soal masyarakat, agama,
politik,ekonomi, dan moral ditimbulkan dan dalam Hikayat Abdullah ini banyak menyentuh
hal-hal tersebut.
Tidak
seperti kebanyakan karya Melayu lama ketika itu yang lebih kepada dongeng, alam
ghaib dan mistik; hasil penulisan Abdullah sebaliknya berdasarkan pengamatan,
pengalaman dan ilmu pengetahuan.Abdullah telah memulakan tradisi baru
menceritakan hal-hal yang sebaliknya. Beliau memaparkan secara jelas perlakuan
masyarakat atasan dan bawahan Melayu yang buruk. Hal-hal buruk ini dahulunya
tidak diceritakan penulis kerana takut ditangkap dan dihukum. Abdullah menulis
berkaitan dengan realiti dalam sesuatu masyarakat itu tanpa
berselindung.Pergaulan beliau dengan pegawai-pegawai kolonial seperti Raffles,
Farquhar, Crawford dan lain-lain mengajar Abdullah untuk melihat keburukan yang
terdapat dalam masyarakat Melayu baik yang berkaitan dengan adat dan budaya
Melayu. Tanpa rasa takut beliau mengkritik keburukan dan kecacatan dalam budaya
rakyat jelata atau dalam lingkungan istana.
Ternyata di
sini karya autobiografi Abdullah Munyi mempunyai unsur intelek kerana
mendedahkan pemikiran tertentu yang berguna dan menarik, bernilai dan diterima
oleh masyarakatnya.Walau bagaimanapun, pemikiran bukanlah satu-satunya aspek
yang menentukan kualiti atau keagungansesebuah karya kerana ada aspek-aspek
lain yang berfungsi sama penting iaitu penggunaan gaya bahasa, teknik
penulisan, latar, stail, tema dan sebagainya yang terangkum dalam sesebuah
sastera.
Pada
pendapat saya,sememangnya pemikiran dan pandangan Abdullah sangat hebat dan
luar biasa menerusi hikayatnya ini. Namun,Abdullah Munsyi tetap tidak layak
untuk mengkritik dan menghina bangsa Melayu .
Hal ini demikian kerana, beliau bukanlah anak jati bangsa Melayu. Selain itu, beliau hanya rapat dengan orang
Barat yang baik-baik sahaja justeru tidak sewajarnya beliau memuji bangsa
tersebut. Walhal, terdapat ramai lagi
orang Barat yang berperangai jelik berbanding orang-orang Melayu.
Selanjutnya, di dalam hikayat ini juga membuktikan betapa jahatnya orang
Barat apabila mereka menjajah Tanah Melayu dan mencampuri hal ehwal kerajaan
Melayu. Oleh itu, saya berpendapat
bahawa Hamzah Fansuri lebih layak menerima gelaran Bapa Kesusasteraan Moden
berbanding beliau.
RUJUKAN
Abdullah Abdul Kadir Munsyi (2007). Hikayat
Abdullah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Haron Daud (2001). Mantera
Melayu: analisis pemikiran. Pulau pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Kamus Dewan edisi keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Seri Lanang , Mana Sikana, Mohd
Rashid Idris & Naffi Mat (2013) Penghayatan karya agung Melayu. Tanjong malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Siti Aishah Murad (1996). Abdullah Munshi dan masyarakat
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Talib Samat (2002). Pemikiran
bahasa dan sastera Zulkifli Muhammad dari perspektif Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment