Wednesday, May 7, 2014

UNSUR-UNSUR SEJARAH DALAM HIKAYAT RAJA PASAI


Sejarah  Mitos Kelahiran Puteri Betung ( Puteri Betong)
           
Semasa Raja Muhammad dan rakyatnya menebas hutan rimba, terdapat serumpun buluh yang mempunyai  betung yang  amat tebal.   Walaupun betung itu telah ditebas, betung tersebut akan tumbuh semula.  Oleh itu, apabila Raja Muhammad mengetahui tentang hal ini, baginda sendiri turun ke hutan untuk menebas betung yang di perkatakan oleh rakyatnya itu.  Dalam usaha Raja Muhammad menebas rebung itu, baginda hairan melihat rebung yang paling besar di antara rebung-rebung yang lain.  Rebung itu boleh diibaratkan sebesar badan manusia. Kemudian semasa Raja Muhammad ingin menebas betung itu, secara tiba-tiba muncul seorang bayi perempuan yang amat cantik dan sempurna sifatnya.  Raja Muhammad telah mengambil dan membawa bayi itu ke istanan. Setibanya di rumah, Raja Muhammad menceritakan peristiwa yang dialami kepada isterinya.  Selepas itu, mereka  sepakat untuk memelihara bayi itu dan menamakannya sebagai “Puteri Betung”.       



     Dapat kita lihat di sini bahawa sejarah kelahiran Puteri Betung mempunyai unsur-unsur mitos atau fantasi. Hal ini kerana, kelahiran Puteri Betung bukanlah dari seorang ibu tetapi dari sebatang betung yang dijumpai di dalam hutan oleh Raja Muhammad.

Sejarah  Mitos Kelahiran Merah Gajah

Pada suatu hari, Raja Ahmad pergi berburu di dalam hutan rimba.  Baginda telah menemui sebuah surau dan terdapat seorang tua yang berada dalam surau tersebut.  Raja Ahmad telah menceritakan peristiwa yang telah dilalui Raja Muhammad kepada orang tua itu. Orang tua itu menyuruh Raja Ahmad agar berehat sebentar.  Lalu ketika Raja Ahmad sedang berehat muncul seekor gajah yang terlalu besar.  Di atas kepala gajah itu terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk. Lalu gajah tersebut memandikan kanak-kanak itu.  Selepas selesai memandikan kanak-kanak, barulah gajah tersebut memandikan dirinya pula.  Selesai mandi gajah tersebut pun membawa kanak-kanak itu masuk kembali ke dalam hutan.  Maka orang tua itu menyarankan kepada Raja Ahmad agar mendapatkan kanak-kanak itu.  Pada suatu hari Raja Ahmad dan segala hulubalangnya pergi ke rimba di mana gajah itu memandikan kanak-kanak itu.  Tetapi apabila Raja Ahmad ingin bertemu dengan orang tua itu, dilihatnya surau dan orang tua itu telah ghaib.  Pada hari itu juga semua hulubalang Raja Ahmad mengorek tanah. Hal ini bertujuan sebagai tempat bersembunyi, iaitu sebahagian rancangan bagi mendapatkan kanak-kanak itu.  Pada keesokan harinya, Raja Ahmad mengambil kanak-kanak itu ketika sang gajah sedang memandikan dirinya di dalam sungai.  Apabila gajah menyedari akan perlakuan Raja Ahmad itu, gajah tersebut pun mengekori baginda.  Namun gajah itu akhirnya merngalah apabila dihalau oleh hulubalang Raja Ahmad. Setibanya di rumah, Raja Ahmad dan isteri amat suka akan kanak-kanak itu lalu menamakannya sebagai Merah Gajah.
Dapat kita lihat di sini  bahawa kelahiran Merah Gajah ini juga mengandungi unsur-unsur mitos atau fantasi.   Hal ini dapat dijelaskan melalui kemunculan Merah Gajah yang tidak di ketahui siapa ibu bapa kandung Merah Gajah.  Hal ini kerana, dalam Hikayat Raja Pasai ini hanya menerangkan bahawa Merah Gajah dijaga oleh seekor gajah. 

Sejarah Pembukaan Negeri/Tempat
Sejarah Pembukaan Negeri Pasai.
Asal usul pembukaan negeri Pasai dikatakan bermula daripada peristiwa yang mana seorang raja Pasai bernama Merah Silu yang ketika itu sedang berburu di dalam hutan bersama seekor anjing buruan yang bernama Si Pasai.  Ketika sedang berburu, si Pasai menyalak kepada seekor pelanduk putih.  Anjing Malikul Salleh itu berdakapan dengan pelanduk yang disalakkannya.  Ia merupakan suatu kejadian yang pelik sehingga membuatkan para penasihat kagum dan mencadangkan kepada Malikul Salleh untuk mendirikan kerajaan baru di sana Setelah sudah tempat itu menjadi negeri. anjingnya mati disitu lalu dikuburkan dan tempat itu dinamakan pasai.  Malikul Tahir iaitu anak kepada Malikul Saleh telah dinobatkan sebagai raja di Pasai.  Ia mempunyai dua orang anak iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul Mansur. Ia meninggal dunia ketika kedua orang anaknya itu masih kecil sehinggakan datuknya Malikul Salleh menguruskan soal pemerintahan bagi mereka.  Sultan Malikul Mahmud diserahkan kepada Sayid Ghiatuddin manakala Malikul Mansur pula diserahkan kepada Sayid Semayamuddin. Setelah Malikul Mahmud akil baligh, ia dirajakan di Pasai dan syed Ghiatuddin dilantik menjadi Pendana Menteri.  Harta perkakas seperti alat kerajaan, gajah, kuda dan senjata dibahagi sama rata antara  kedua adik –beradik itu.
Di bawah pemerintahan mereka, Samudera dan Pasai menjadi sangat makmur.  Sultan Malikul Mahmud semakin lama semakin besar kuasanya. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Raja Siam yang telah mengarahkan angkatan lautnya untuk menyerang Pasai.  Namun, serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh angkatan tentera Pasai. Pasai  menjadi bertambah makmur apabila Sultan Malikul Mahmud menpunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki yang  bernama Sultan Ahmad.
Sejarah Pembukaan Samudera
Asal usul wujudnya Samudera berkait rapat dengan penemuan seekor semut sebesar seekor kucing.  Pada suatu hari, Merah Silu keluar berburu bersama-sama pengiringnya beserta seekor anjing bernama Si Pasai.  Ketika Si Pasai menyalak di atas sebuah tanah tinggi, terdapat seekor semut sebesar kucing.  Merah Silu menangkapnya dan memakan semut itu.  Daripada peristiwa itu, tempat itu dijadikan negeri yang bernama Samudera yang bermaksud semut yang amat besar.


Sejarah Asal-Usul Raja
Pasai merupakan negeri yang pertama dimasuki agama Islam.  Terdapat dua orang bersaudara yang menjadi raja dalam negeri itu.  Mereka ialah Raja Ahmad dan Raja Muhammad.  Ketika mereka pergi membuat negeri, Raja Muhammad menemui seorang anak perempuan yang keluar dari pohon buluh lalu baginda menamakannya Puteri Betong manakala Raja Ahmad pula telah menjumpai seorang anak lelaki yang bernama Merah Gajah. Ini kerana anak itu dijumpai semasa menaiki gajah.  Kemudian Puteri Betong dan Merah Gajah dinikahkan.  Hasil perkahwinan kedua-dua mereka lahirlah Merah Silu dan Merah Hasum.  Disebabkan satu peristiwa, maka berlakulah penceraian antara Merah Gajah dan Puteri Betong.  Raja Muhammad amat marah akan Merah Gajah lalu membunuhnya.  Peristiwa pembunuhan Merah Gajah sampai ke pengetahuan Raja Ahmad lalu baginda melakukan serangan terhadap Raja Muhammad.  Dalam pertempuran itu, Raja Ahmad dan Raja Muhammad telah mangkat.  Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhijrah ke arah barat lalu sampai di negeri Biruan dan menetap disana.
Merah Silu telah membuat bubu untuk menangkap ikan tetapi malangnya yang terperangkap di dalam bubunya hanyalah cacing-cacing gelang. Gelang-gelang tersebut direbusnya lalu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.  Ini membuatkan Merah Silu menjadi kaya-raya.  Disebabkan peristiwa ini timbullah salah faham antara abang dan adik.  Merah Silu telah dihalau oleh abangnya dan ia pergi mencari tempat yang baru sehinggalah sampai ke Hulu Sungai Pasangan.  Di sana ada negeri yang bernama Buloh Telang yang diperintah oleh Megat Sekandar.  Merah Silu sangat disukai oleh orang-orang di sana sehingga menobatkan baginda menjadi raja.  Ini menyebabkan berlaku peperangan antara baginda  dengan Sultan Malikul Nasir iaitu adik kepada Megat Sekandar.
Sultan Malikul Nasir dikalahkan berturut-turut oleh Merah Silu sehingga baginda terpaksa melarikan diri ke dalam rimba yang bernama Rimba Pertama Terjun, kemudiannya baginda melarikan diri ke Gunung Telawas dan disana baginda dikepung oleh Merah Silu.  Tempat kepungan itu kemudiannya dinamakan kubu.kemudiannya baginda terus melarikan diri ke Pekersang, Kumat dan Barus.

Sejarah Mitos Kedatangan Agama Islam
Nabi Muhammad S.A.W pernah meramalkan bahawa dikemudian hari akan ada negeri Samudera, negeri bawah angin dan baginda telah memberi perintah kepada penganut-penganutnya supaya memperlengkapkan kapal serta membawa alat-alat kerajaan berlayar ke Samudera untuk menyebarkan agama Islam. Nabi Muhammad juga berpesan bahawa akan ada seorang fakir di negeri Menggiri yang harus mereka bawa bersama ke Samudera.
Pada suatu malam, Merah Silu bermimpi bahawa baginda disuruh mengucap dua kalimah syahadat tetapi baginda tidak boleh mengucapkannya.  Kemudian mulutnya diludahi oleh seseorang yang berhadapan dengannya dalam mimpi itu dan memberitahu kepadanya bahawa baginda akan diangkat menjadi sultan dengan nama Malikul Salleh serta menjadi seorang muslim.  Dalam mimpi itu, baginda sudah pandai mengucap kalimah syahadat dan telah diberikan pengajaran mengenai beberapa soal Fiqih.  Baginda juga diberitahu akan datang sebuah kapal dalam masa 40 hari ke negeri tersebut.  Menurut mimpinya lagi, perintah anak kapal itu harus baginda turuti.  Akhirnya, orang yang berhadapan dengannya dalam mimpi itu memperkenalkan dirinya ialah Nabi Muhammad S.A.W.
Merah Silu terus terjaga daripada tidurnya dan mendapati kemaluannya sudah disunatkan.  Baginda juga boleh mengaji 30 juzuk Al-Quran dengan hafalnya.  Ini menimbulkan kehairanan kerana, perkataan yang diucapkan oleh Merah Silu tidak diketahui maknanya oleh orang ramai.  Seperti yang dijanjikan, kapal dari Mekah tiba di Teluk Terli.  Seorang fakir turun ke darat bertemu dengan seseorang yang sedang menjala lalu menanyakan nama negeri itu dan rajanya.  Orang itu menjawab bahawa nama raja negeri itu ialah Merah Silu dan bergelar Sultan Malikul Salleh.  Disebabkan Sultan Malikul Salleh sudah pandai mengucap kalimah syahadat dan mengaji Al Quran maka Syekh Ismail terus mengajar penduduk Samudera mengucap Syahadat dan mengaji Al-Quran.  Setelah penduduk Samudera memeluk agama Islam, Samudera diberi nama Darulsalam kerana rakyatnya telah masuk agama baru tanpa paksaan.

Kemudian setelah selesai mengislamkan penduduk Samudera, Syekh Ismail kembali ke negerinya dengan membawa hadiah untuk syarif Mekah iaitu ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, kelembak dan cengkih.   Fakir Muhammad terus menetap di Samudera untuk memberi pengajaran mengenai agama islam kepada penduduk disitu.  Terdapat satu golongan yang menolak untuk masuk Islam dan mereka berhijrah ke Sungai Pasangan.  Golongan ini dikenali sebagai Gayo.


No comments:

Post a Comment