Wednesday, May 7, 2014

ANALISIS KARYA AGUNG

BUSTAN AL-KATIBIN 

Konsep Penulisan
Bustan al-Katibin merupakan tulisan yang paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu, iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau Penyengat di Kepulauan Riau.  Berdasarkan hikayat ini, Raja Ali Haji cuba menyemaikan konsep adab yang sebenar sebagai satu kaedah disiplin yang membolehkan seseorang Melayu itu mengenali tertib kedudukan dirinya dalam masyarakat dan alam sekitarnya yang nyata serta yang ghaib dengan lebih tepat dan wajar, tertib kedudukan ilmu, yang semua itu akan membawa kepada pengenalan dan pengakuan terhadap kedudukan Tuhan yang tertinggi dalam seluruh martabat kewujudan.  Kesemua itu hanya boleh disemai melalui pengajaran bahasa, ilmu dan adab yang diperturunkan kepada aseluruh masyarakat Islam dari zaman permulaan Islam lagi.
            Selain itu, konsep penulisan yang terdapat dalam hikayat ini adalah secara langsung diambil daripada bahasa Arab.  Hikayat ini yang menekankan tentang bidang nahu bahasa Melayu iaitu bidang fonologi, morfologi, dan sintaksis keseluruhannya dipinjam dalam bahasa Arab.  Pengaruh bahasa Arab dalam nahu bahasa Melayu yang terdapat dalam hikayat Bustan al-Katibin ini adalah disebabkan oleh latar belakang pendidikan Raja Ali Haji yang amat menguasai bahasa Arab.  Oleh hal yang demikianlah hasil karyanya turut dipengaruhi oleh bahasa Arab.  


Motif Kepengarangan
Dalam hikayat Bustan al-Katibin ini terdapat dua motif yang ingin disampaikan oleh Raja Ali Haji kepada pembaca-pembaca hikayat ini.  Kedua-dua motif ini adalah untuk memberikan nasihat kepada pembaca-pembaca dan aspek estetika iaitu memberikan garis panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri seseorang.  Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah.
            Berdasarkan tujuan pertama hikayat ini dihasilkan iaitu memberikan nasihat kepada para pembaca, pengarang  menasihati pembaca agar ikhlas dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu .  Bagi Raja Ali Haji, seseorang yang berasal dari keturunan yang berada atau yang mempunyai pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, golongan tersebut hanyalah orang yang sia-sia.  Contohnya dalam  Bustan al-Katibin (ms 2) :
“……. jikalau beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya”.
Oleh hal yang demikian, dalam bahagian mukadimah Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji telah menerangkan terlebih dahulu kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa. 
            Selain itu, pengarang juga turut memberi nasihat kepada para penuntut ilmu supaya mematuhi segala adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu.  Para guru pula dinasihatkan supaya mengajar dengan tertib dan mengikut segala susunan bab-bab dan fasalnya.  Tidak lupa juga kepada para penyalin hikayat ini, Raja Ali Haji menasihatkan agar para penyalin hikayat ini tidak menyalin dengan menokok tambah bahan atau mengurangkan mana-mana isi yang terdapat dalam hikayat ini.
            Seterusnya, tujuan hikayat dihasilkan adalah dari aspek estetika iaitu untuk memberi panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri setiap manusia.  Raja Ali Haji ingin menyebarkan ilmu pengetahuan iaitu tentang ilmu bacaan dan tulisan yang menjadi asas kepada pembinaan akal dan adab.  Untuk memenuhi tujuan ini, Raja Ali Haji bukan sahaja menghuraikan kaedah ejaan jawi, bentuk dan fungsi perkataan serta binaan sintaksis, tetapi juga tentang kaedah penulisan surat, pelbagai gaya, wacana bahasa dan sebagainya.
            Dalam hikayat ini, pengarang menegaskan tentang kepentingan nilai dan adab terutamanya adat berguru.  Menurut beliau, seseorang yang tidak memelihara adab adalah seorang yang tidak berguna. Menurut beliau lagi, terdapat lima syarat  menuntut ilmu yang berkat adalah bersungguh-sungguh menuntut ilmu, mengulang kembali ilmu yang telah dibaca, menghafal ilmu yang telah dibaca, bertukar pendapat dengan kawan tentang sesuatu ilmu yang diperolehi dan memikirkan makna yang terdapat disebalik ilmu tersebut.  Seseorang itu perlu menjaga adabnya dengan guru agar ilmu yang diperolehi akan diberkati oleh-Nya.  Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.

Kekuatan Kepengarangan
Dalam hikayat Bustan al-Katibin, kekuatan kepengarangannya bukan sahaja meliputi aspek nahu bahasa Melayu, malah penulis turut menekankan falsafah-falsafah kesusasteraan.

1.      Falsafah Alam dalam Bustan al-Katibin
Dalam hal ini, Raja Ali Haji telah menggunakan unsur-unsur alam untuk menguatkan lagi falsafahnya.  Contohnya, manusia yang hidup di dalam alam, boleh juga dikatakan sebagai manusia ialah alam. Manusia hidup di dalam ruang alam. Mereka tinggal di tepi sungai, tepi bukit, tepi pantai, lembah, tepi dan sebagainya. Tambahan pula, sungai, laut dan hutan merupakan tempat manusia mencari rezeki. Manusia juga telah mempelajari sifat sifat alam misalnya, kejadian pasang surut, tabiat binatang dan sebagainya. manusia juga perlu mengkaji alam ini dengan teliti daripada sekecil- kecil flora dan fauna kepada yang bersaiz gergasi.
Berikut merupakan beberapa contoh falsafah alam dalam Bustan Al-Katibin
Contoh 1 :
“ Tiada pada langit itu kira-kira yang lapang daripada awan dan mega”
(Bustan al-Katibin : 45)
Contoh 2 :
“ Kacang itu jika disayur dengan santan terlalu baik, istimewa pula dibubuh garam, maka bertambah-tambahlah baiknya”
(Bustan al-Katibin : 28)
Atau suara binatang seperti berkiok kepada ayam dan mengembek kepada kambing dan menguak kepada kerbau, semuanya nama bagi suara belaka.
(Bustan al-Katibin : 38)

Contoh-contoh di atas menunjukkan penggunaan unsur alam dalam Bustan al-Katibin, misalnya, dalam contoh yang pertama terdapat penggunaan perkataan langit danawan.  Contoh yang kedua pula menunjukkan penggunaan unsur tumbuhan iaitu sayur dan juga santan.  Contoh yang ketiga pula menggunakan unsur binatang iaitu kambing, ayamdan kerbau.Walau bagaimanapun, tidak banyak falsafah alam yang dapat dilihat dalam Bustan al-Katibin.  Hal ini demikian kerana, buku ini banyak menceritakan tatabahasa Melayu.

2.      Falsafah Islam dalam Karya Agung Bustan Al-Katibin
Terdapat beberapa cabang falsafah.  Salah satunya ialah falsafah islam. Perkataan islam membawa erti penyerahan dan pengabdian.  Sebagai ‘deen’, Islam merupakan penyerahan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T  Perkataan Islam juga boleh diertikan sebagai ketenangan.  Ketenangan yang sejati kepada manusia mengikut Islam akan mengarah kepada kecemerlangan melalui pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T Falsafah Islam menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya.  Kesemua ini berpandukan kepada sumber al-Quran dan wahyu.  Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang ulung bagi umat Islam.  Hal ini telah disebutkan sendiri melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dengan (Al-quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada   sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) tuhan tunjukkan ke jalan yang lurus”.
                                                                                                            (Surah al Maa’idah: ayat 16)
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya.  Falsafah Islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-Quran dan as-Sunnah.  Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang ulung bagi umat Islam.
Keesaan Allah S.W.Tatau tauhid menjadi asas kepada falsafah Islam.  Keyakinan kepada kepercayaan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap kehidupan manusia.  Kehidupan dan gelagat manusia sebagai individu dan kehidupan manusia berorganisasi dan bermasyarakat sudah pasti dipengaruhi oleh kepercayaan ini.  Bahkan falsafah dan sikap hidup manusia dipengaruhi oleh kepercayaan yang diyakini dan dianutinya. Sesungguhnya, wahyu juga menjadi teras falsafah islam. Wahyulah yang membentuk aspek-aspek hidup manusia. Hal ini jelas dari segi sosial, ekonomi, politik, perundangan, kesenian, pendidikan dan lain-lain. Pendek kata, kesemua aspek ini dikuasai di bawah kawalan wahyu.
Dalam kitabnya, Bustan al-Katibin, Raja Ali Haji memulakan dengan mukadimah dengan judul “fi fadhilati al-ilmu wal aqlu”, maksudnya kelebihan ilmu dan akal.  Menurutnya lagi, akal adalah sebaik-baik  perhiasan.  Jikalau beberapa pun bangsa jika tiada ilmu , akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya, yakni kehinaan juga diperoleh. Di sini Raja Ali Haji mengaitkan hubungan yang amat erat antara ilmu, akal dan adab.  Ertinya, untuk menjadikan akal dan adab sesuatu bangsa atau masyarakat menjadi lebih baik, maka perlulah mendapatkan ilmu yang benar.  Lebih tegas lagi, Raja Ali Haji  menyatakan:
“Man sa’a adabahu dha’an nasbahu, 
“ertinya : barangsiapa jahat adabnya sia-sialah bangsanya.”
(Bustan al-Katibin : 4)
Alam mempunyai hubungan yang bermakna dengan persoalan ketuhanan dan insan.   Alam ialah makhluk Allah S.W.T yang mampu difahami dan diketahui  insan. Kefahaman insan tentang alam  membolehkan insan berfungsi sebagai hamba dan khalifah memanfaatkan alam bagi meningkatkan kualiti kehidupan. Kehidupan insan mempunyai peranan  dan matlamat yang jelas kehidupan insan tidak berakhir dengan kematian kehidupan insan tidak berakhir dengan kematian Insan dituntut agar mencari keredaan Allah S.W.T.

3.      Falsafah Melayu dalam Bustan al- Katibin
Contoh 1
“Maka hendaklah diperbuat tiap- tiap seorang pada tatkala berkirim surat- suratan dengan perkataan halus, jika pada pencuri sekalipun.”
 ( Bustan al- katibin, m/s :48)
Berdasarkan petikan daripada Bustan al- Katibin di atas dapat  dijelaskan Falsafah Melayu yang ingin diketengahkan adalah berkaitan dengan budi pekerti orang Melayu yang sentiasa menjaga setiap tutur bicaranya dan menggunakan bahasa yang halus dan sopan semasa bercakap dengan orang lain walaupun orang tersebut merupakan pencuri sekalipun seperti yang terdapat dalam petikan di atas. Hal ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik antara seseorang individu dengan individu yang lain.
         Secara ringkas, kebudayaan Melayu adalah hasil asimilasi dan adaptasi daripada dua budaya purba dan disesuaikan mengikut geografi setempat.  Hasil dari pertembungan, asimilasi, adaptasi dan kesusuai penggunaan dalam norma hidup akhirnya melahirkan satu kebudayaan yang juga bertamadun tinggi iaitu tamadun dan kebudayaan Melayu.  Dari falsafah perbidalan dalam kebudayaan Melayu ini juga, telah mencetuskan idea-idea yang sinonim seperti itu.   Banyak perbidalan tercipta hasil peristiwa dan tanggapan masyarakat dengan kefahaman yang begitu mendalam dan tepat. Ciri-ciri pengamatan dan kepintaran ini telah menghidupkan daya kreatif Melayu dan terus berkesinambungan mengikut kesesuian tempat dan zaman.
         Ciri-ciri ini telah melonjakkan kedudukan falsafah kebudayaan dan pemikiran Melayu sebagai salah satu kebudayaan bangsa manusia yang tua dan ulung dalam dunia.  Berdasarkan falsafah pemikiran dan adat kebudayaan Melayu pada penelitian sarjana barat, adalah lebih tinggi atau standing dengan bangsa asing yang maju tetapi tidak mendapat tempat sewajarnya dalam pemikiran bangsa Melayu itu sendiri.  Mereka sangat membanggakan amalan kebudayaan bangsa asing tanpa mengetahui kebudayaan dan falsafah kebudayaan bangsa Melayu sendiri adalah lebih jauh tinggi dan bermutu.

4.      Falsafah Bahasa dalam Bustan al-Katibin
Berdasarkan pengertian falsafah yang telah difahami, terdapat beberapa contoh falsafah bahasa yang dikenal pasti telah diterapkan oleh Raja Ali Haji melalui penulisannya dalam kitab Bustan al-Katibin. Raja Ali Haji telah menulis pada bahagian mukaddimah Bustan al-Katibin seperti berikut :

“Amma ba’du. Fa ha dzihi muhtasaratan li man yahtaj ‘ala ma’firatin al-huruf wa khatahu al-Melayu wa ratibatahu ‘ala muqaddimati wa fasuli khatamati. Ertinya, inilah suatu kitab yang sampun bagi orang yang berkehendak mengenal segala huruf Melayu dan suratannya dan aku atur akan dia suatu muqaddimah dan beberapa fasal dan satu Khatimah.”



No comments:

Post a Comment