1.0 Pendahuluan
Tamadun sesuatu bangsa
adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui
karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai iaitu karyawan, seniman,
pemikir, ahli falsafah dan ilmuan bangsa itu (Hassan Ahmad, 2005). Karya-karya
ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia
Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman iaitu yang
kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang
dimaksudkan adalah nilai seninya, budayanya, ilmu dan pemikiran yang terkandung
di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai
bahasanya yang tinggi dan indah.
Tegasnya, “karya
agung” ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan
dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya
ulung ini adalah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan
nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur
mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya
seperti itu.