Wednesday, May 7, 2014

IDEALISME DAN FALSAFAH DALAM KARYA AGUNG MELAYU

Idealisme  dan Falsafah Melayu

Idealisme dan falsafah diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Penerapan kedua-dua elemen ini dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Idealisme adalah sifat iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuuatu dalam bentuk yang ideal. Idealisme didefinisikan sebagai satu sifat dalam bentuk yang ideal (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Idealisme adalah pemikiran seseorang tokoh dalam melahirkan karyanya. Manakala falsafah menurut Hashim Hj. Musa (2006) ialah kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia.

Idealisme bersumberkan alam

Idealisme bersumberkan alam ini dapat dibahagikan kepada kategori seperti berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan lain-lain. Idealisme ini terbahagi kepada beberapa aliran iaitu romantisme, simbolisme, ekspresionalisme, mistisma, surealisme. Antara kesemua aliran ini hanya simbolisme sahaja yang meyentuh mengenai sumber alam iaitu aliran kesusasteraan yang menyajikan tokoh-tokoh bukan manusia tetapi binatang dan tumbuh-tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia (Mohd Rashid Md Idris, 2014: 230). Pengarang-pengarang Melayu pada zaman dahulu menggunakan sumber alam untuk menyampaikan sesuatu. Antara contoh idealisme bersumberkan alam ialah:



Peminangan seorang puteri

Peristiwa peminangan puteri gunung ledang bermula apabila Sultan Melaka kehilangan permaisuri yang sudah mangkat. Kesedihan baginda telah menarik perhatian pembesar yang menanyakan baginda jika ingin berkahwin dengan puteri lain dan Puteri Gunung Ledang adalah pilihan baginda. Idea pengarang menetapkan syarat-syarat peminangan seperti tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman dan sebagainya adalah tidak logik. Contoh petikan:
“jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuktujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu.” (Sulalatus Salatin, halaman 215)
Syarat-syarat peminang yang diberikan banyak diselitkan dengan unsur alam seperti nyamuk, kuman, emas, perak dan pinang muda. Hal ini demikian kerana pada masa dahulu unsur-unsur alam ini dikatakan sudah sebati dengan masyarakat masa itu. Selain menjadi sumber utama, ia juga menggambarkan Melaka pada masa itu sebagai sebuah kerajaan yang amat kuat dan kaya kerana mampu membina sebuah jambatan emas dan perak yang menghubungkan Melaka hingga ke Gunung Ledang.

Penerokaan pembukaan sesebuah negeri atau kawasan

Idealisme bersumberkan alam dapat dikaitkan dengan pembukaan kota Melaka yang terdaapat dalam karya Sulalatus Salatin karya Tun seri Lanang. Hal ini dapat dijelaskan berikutan cerita yang terdapat dalam karya agung ini yang mengatakan Parameswara bersama-sama pengikutnya sedang berteduh dan menyandar pada sepohon pokok kayu yang tidak diketahui namanya. Parameswara kemudiannya bertanya kepada pengikutnya dan pengikutnya memaklumkan bahawa pokok kayu tersebut adalah pokok Melaka.
Parameswara juga tertarik untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat untuk di bangunkan kota, negeri dan kerajaan kerana beliau ada menyaksikan satu kejadian yang menakjubkan. Peristiwa tersebut ialah peristiwa pelanduk putih yang menendang anjing pemburuan baginda. Kejadian tersebut menyaksikan peristiwa di mana anjing pemburuan Parameswara telah di tendang jatuh ke sungai oleh seekor pelanduk putih. Antara petikan cerita yang mengisahkan tentang peristiwa pembukaan kota Melaka ialah:

“...titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah,, jika demikian,“Melakalah nama negeri ini.” (Sulalatus Salatin, halaman 71)

Falsfah bersumberkan Melayu.

Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Contohnya:

1) Budi bahasa

Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di bawah:

“Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
(Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)
Ayat ini menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin, beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap kewibawaan ulama tersebut.

2)Budi Pekerti
Budi pekerti lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun begitu, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan iaitu:

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.(Sumber: Syair Ken Tambuhan)

Berdasarkan petikan diatas, dapat dilihat sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.

3)Budi Bicara

Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;

Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian putera anakanda. (Naskah koleksi DBP: 133/2011)

Petikan yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai ini turut diterapkan terutamanya dalam kehidupan berkeluarga.

4) Hati Budi
Hati budi pula dapat dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk. Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;

“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin.”
                   (Sumber: Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)
Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.

5) Akal Budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam petikan yang berikut:

Namanya Raden Puspa Kencana,
Lakunya bijak laksana,
Akal bicaranya amat sempurna,
Sifatnya lengkap hamba laksana (Sumber: Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)

                  Pengarang menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas oleh orang lain.


No comments:

Post a Comment