Wednesday, May 7, 2014

WATAK DAN PERWATAKAN DALAM HIKAYAT HANG TUAH

1.0       Pengenalan
Hikayat Hang Tuah ialah epik kebanggaan Melayu yang menggambarkan kehebatan dan kehandalan tokoh Hang Tuah sejak beliau masih kecil lagi. Beliau dibantu oleh empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu yang sentiasa setia disampingnya. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu terhadap raja yang tidak berbelah bahagi terutama dalam masyarakat Melayu feudal.
Pelbagai watak protagonis dan antagonis menarik yang terdapat di dalam karya agung ini yang dapat menarik minat pembaca atau pelajar untuk terus menikmati karya epik ini. Watak utama di dalam Hikayat ini ialah Hang Tuah manakala watak-watak lain seperti Patih Gajah Mada, Raja Melaka, Tun Teja, Bendahara Paduka Raja dan lain-lain merupakan watak sampingan untuk menghidupkan dan memperhebat lagi hikayat ini.  Watak dan perwatakan ini boleh dijadikan teladan atau pun falsafah hidup kepada pembaca kerana karya agung ini menampilkan banyak unsur pengajaran dan nilai-nilai murni yang boleh diambil iktibar. Contohnya ialah kesetiaan kepada raja dan negara, semangat setia kawan, patriotisme, tidak mungkir janji, kekejaman pemerintah dan sebagainya.
Kepelbagaian watak yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini telah dapat menarik minat untuk membacanya. Perwatakannya juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menghidupkan watak-watak yang sedia ada untuk lebih menyerlah. Hikayat ini juga mempunyai watak yang mempunyai perwatakan yang baik dan jahat, bukannya hanya beperwatakan jahat sahaja dan sebaliknya. Tidak semua watak yang membawa peranan jahat akan sentiasa jahat sahaja. Terdapat juga perwatakan baik dalam diri watak tersebut.

2.0       Watak dan Perwatakan
2.1       Hang Tuah
Hang Tuah merupakan anak lelaki kepada Hang Mahmud dan Dang Merdu.  Hang Tuah merupakan seorang anak yang sangat taat dan menghormati kedua-dua orang tuanya. Ketika Hang Tuah berumur 10 tahun, ciri-ciri kepahlawanan telah pun terserlah dalam diri Hang Tuah. Hal ini terbukti apabila beliau berjaya memanipulasi pihak musuh yang ingin membunuhnya dan kawan-kawan ketika mereka di dalam perahu. Selain itu, semasa Hang Tuah berumur 10 tahun juga, beliau turut berjaya membunuh orang mengamuk yang membuat huru-hara di kampungnya. Seterusnya, setelah meningkat remaja, beliau menjadi seorang pahlawan dan laksamana yang gagah serta menjadi orang kepercayaan kepada  Raja Melaka. Selanjutnya, watak Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang hamba ataupun rakyat yang sanggup berkorban apa sahaja demi rasa cintanya kepada Sang Raja dan negara. Walau bagaimanapun, di akhir bab karya epik ini telah memperlihatkan watak Hang Tuah yang telah bertaubat dan menyesal atas perbuatannya yang terlalu taat dan setia kepada raja sehinggakan sanggup melanggar syariat agama. 
2.1.1    Keberanian
Hang Tuah tidak berasa gentar atau takut semasa orang mengamuk di kampungnya. Malah sambil membelah kayu api, Hang Tuah sempat berkata “Apatah yang ditakutkan orang mengamuk sekian itukepada orang yang hairan melihatnya yang masih sibuk membelah kayu api sedangkan umurnya pada ketika itu hanyalah 10 tahun. Selain itu, keberaniannya yang paling disegani oleh penduduk kampung ialah apabila beliau juga berjaya membunuh orang mengamuk itu dengan kapak. Petikan yang membuktikan Hang Tuah berjaya membunuh orang mengamuk itu ialah :
”...apabila Hang Tuah mendengar kata ibunya, maka Hang Tuah pun berbangkitlah berdiri serta memegang hulu kapaknya menantikan amuk orang itu.Maka orang mengamuk itu pun rebahlah lalu mati”.
(Hikayat Hang Tuah, hal. 35)
2.1.2    Setia kepada Raja
Berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang dikaji, Hang Tuah mempunyai perwatakan setia kepada raja. Beliau merupakan seorang laksamana yang sentiasa setia di samping rajanya iaitu raja Melaka. Sebagai contoh, Hang Tuah telah mengikut raja Melaka ke Majapahit untuk berjumpa dengan raja Majapahit  iaitu Seri Betara. Semasa berada di Majapahit, beliau sentiasa menemani raja Melaka walau ke mana saja baginda pergi. Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu sentiasa melindungi rajanya dari sebarang ancaman sehingga sanggup menggadaikan nyawanya sekalipun. Beliau juga merupakan seorang laksamana yang tidak pernah ingkar akan arahan rajanya dan sentiasa mematuhi segala titah rajanya. Sebagai contoh, raja Melaka telah menitahkan agar Hang Tuah menghalang penjurit-penjurit yang melakukan kekecohan dan mengamuk di pasar. Sebagai seorang rakyat yang akur akan arahan pemimpin, Hang Tuah segera pergi ke pasar itu untuk menumpaskan penjurit-penjurit yang mengamuk dan seterusnya menyelamatkan rakyat jelata.

“........Tuah tiada mahu menderhaka. Daulat Tuanku, patik persembahkan nyawa patik, patik tiada bertuankan lain.”
(Hikayat Hang Tuah,hal. 289)
Ucapan Hang Tuah ini penting bagi menunjukkan sikap ketaatsetiaannya kepada sultan tanpa tolok bandingnya. Hal ini membuktikan tindakan Tuah menyerahkan nyawanya kepada sultan adalah atas kehendaknya sendiri kerana terlalu hormat dan menyanjung tinggi institusi kesultanan pada ketika itu.
2.1.3    Kebijaksanaan
Dalam hikayat ini, Hang Tuah turut dikagumi kerana kebijaksanaan beliau dalam segala hal. Hal ini dapat dibuktikan semasa Hang Tuah menyembah Seri Betara untuk berceritera tentang perintah segala raja-raja dahulu kala. Dalam keasyikan Hang Tuah berceritera, Patih Gajah Mada telah mengatur rancangan jahat untuk mengambil keris Taming Sari Hang Tuah tetapi malangnya dia telah masuk ke dalam perangkapnya sendiri apabila Hang Tuah terlebih dahulu mengesan rancangan kotor Patih Gajah Mada lalu mengambil keris Patih Gajah Mada secara senyap-senyap. Akibat daripada peristiwa itu, Patih Gajah Mada telah mendapat malu kerana cuba mengenakan Hang Tuah. Untuk menutup rasa malu, Patih Gajah Mada memberitahu Hang Tuah bahawa tindakannya itu hanyalah satu gurauan supaya Hang Tuah tidak mengesyaki apa-apa. Seterusnya, kebijaksanaan Hang Tuah terserlah sekali lagi apabila beliau berjaya mengenal pasti dan mengubati penyakit kuda tezi yang liar yang gagal ditunggangi oleh sesiapa pun. Hang Tuah mengatakan bahawa kuda tezi bingkisan Sultan Sang Jaya Nantaka itu berpenyakit kerana mewarisi tabiat kerbau iaitu apabila kelelahan akan mencari sungai tempat berkubang. Akhirnya, Hang Tuah dapat menyembuhkan penyakit kuda tezi tersebut dalam masa 7 hari.  (Kassim Ahmad, 1991)
2.1.4    Ketangkasan sebagai seorang Pahlawan.
Malah, watak Hang Tuah mempunyai ketangkasan sebagai seorang pahlawan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut.
2.1.5    Kehebatan dan Kehandalan
Selain itu, watak Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan Melayu mempunyai kehebatan dan kehandalan dalam melawan musuh yang cuba menghuru-harakan sesebuah tempat. Hal ini dapat dibuktikan apabila Seri Betara telah menyuruh seorang penjurit yang mempunyai kesaktian yang tinggi untuk membunuh Hang Tuah tetapi rancangan itu tidak  berjaya. Penjurit yang dimaksudkan ialah Sang Winara Semantera iaitu merupakan guru segala penjurit. Sang Winara pergi ke kampung raja Melaka untuk membunuh Hang Tuah. Kedatangan Sang Winara dapat dikesan oleh Hang Tuah melalui firasatnya dan beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu agar berhati-hati. Semasa beliau menasihatkan sahabat-sahabatnya, Hang Tuah melihat kelibat seseorang berhampiran pagar. Orang itu ialah Sang Winara. SangWinara tidak sempat lari lalu menjadikan dirinya tunggul kayu. Hang Tuah memarang tunggul kayu itu dengan kerisnya. Sang Winara kemudian bertukar menjadi anjing manakala laksamana Hang Tuah menjadikan dirinya harimau lalu mengusir anjing itu keluar dari kampung. Dengan kehebatan dan kehandalan yang dimiliki oleh Hang Tuah Sang Winara berjaya dibunuhnya iaitu dengan memenggal kepala dan kedua-dua belah bahu SangWinara. Oleh yang demikian, kehandalan yang dimiliki oleh beliau tidak boleh dipertikaikan lagi apabila berjaya membunuh guru segala penjurit.
2.1.6    Keperibadian yang Mulia
Watak Hang Tuah juga mempunyai keperibadian yang mulia dan digemari orang ramai. Keperibadian mulia yang dimilikinya dapat digambarkan apabila beliau tidak berat tulang untuk menyumbangkan tenaganya dan sumbangan dalam bentuk lain untuk menolong rakyat jelata yang memerlukan pertolongannya. Sebagai contoh, beliau tidak berat tulang untuk membantu orang kampung menghalau dan menghapuskan orang mengamuk yang membuat huru-hara di kampungnya.
2.1.7    Ketokohan sebagai Pemimpin
Hang Tuah mempunyai ketokohan sebagai pemimpin apabila beliau sentiasa bersedia berbakti kepada nusa dan bangsa demi keamanan negerinya. Beliau juga merupakan ketua kepada sahabatnya yang lain dan ini jelas memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai tokoh kepimpinan dalam dirinya sendiri untuk memimpin sesebuah negeri. Sesebuah negeri yang mempunyai rakyat atau pemerintah seperti Hang Tuah pasti aman dan makmur kerana mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa. Selain itu, Hang Tuah juga terbukti mempunyai ketokohan sebagai pemimpin apabila beliau juga telah dilantik oleh raja Melaka untuk menjadi diplomat ke negara Siam, China dan sebagainya bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kerajaan Melaka dengan negara-negara lain.
2.1.8    Menepati Janji
Perwatakan Hang Tuah dalam karya agung ini juga memperlihatkan bahawa Hang Tuah memiliki sifat menepati janji. Hal ini terbukti apabila Hang Tuah tidak menuruti perintah raja Melaka agar Hang Tuah membuang anak Hang Jebat iaitu Hang Kadim ke dalam laut selepas Hang Tuah berjaya membunuh Hang Jebat. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah telah berjanji dengan Hang Jebat untuk menjaga anak Hang Jebat setelah Hang Jebat meninggal dunia. Walau bagaimanapun, Hang Tuah terpaksa menghantar Hang Kadim ke negeri lain untuk mengelakkan Hang Kadim dibunuh oleh raja.
2.2       Hang Jebat
2.2.1    Kepahlawanan
Semangat kepahlawanan dalam diri Hang Jebat adalah sejak dari kecil lagi. Hang Jebat telah bersama-sama dengan empat sahabatnya, iaitu Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu telah belajar tentang seni mempertahankan diri sejak mereka masih kecil.
Patih Kerma Wijaya telah mengarahkan orang ramai untuk pergi membunuh Hang Jebat dan mereka pun pergi ke istana dan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan Hang Jebat untuk keluar dari istana untuk bertempur. Semangat kepahlawanan yang ada dalam diri Hang Jebat membuatkan dirinya tidak gentar dengan lawannya itu. Hang Jebat hanya menghunuskan kerisnya dan berjalan keluar dari istana. Ramai yang telah mati kerana ditikamnya sehingga ada juga yang telah melarikan diri mereka akan juga mati ditikam oleh hang Jebat.
“…dikepungnyalah istana itu dengan tempik soraknya terlalu gempita. Maka katanya, “Hai Si Jebat derhaka! Jika engkau berani, turunlah engkau dari istana tuanku itu supaya lehermu kupenggal!” setelah dilihat oleh Hang Jebat orang yang banyak datang mengepung dia itu, maka ia pun tertawa, seraya berbangkit lalu berjalan ke muka pintu. Maka dilihatnya segala pegawai yang datang itu muda-muda. Maka dilihat oleh segala pegawai Hang Jebat berdiri di muka pintu: maka sekalian pun datang hendak melihat dia. Maka Hang Jebat pun menghunus kerisnya… ”
                                                                       (Hikaya Hang Tuah: hal. 362)
Setelah itu, rakyat jelata yang lari menyelamatkan diri pun terus berjumpa dengan Patih Kerma Wijaya dan berkata bahawa Hang Jebat sedang mengamuk dan bukan sahaja tidak sempat untuk membunuh atau menangkapnya, malah nak memandang matanya pun tidak sempat. Hal ini demikian kerana dengan pantas Hang Jebat menikam sesiapa sahaja yang berada di situ. Raja Melaka telah memerintahkan kepada Hang Kasturi untuk membunuh Hang Jebat. Oleh itu, Hang Kasturi, Hang Lekiu, dan Hang Lekir pergi ke istana untuk menyerang Hang Jebat tetapi gagal. Perkara yang sama juga berlaku. Ramai yang telah mati ditikamnya dan yang lain terus melarikan diri untuk menyelamatkan diri mereka daripada mati ditikamm. Hang Kasturi telah memberitahu kepada Raja Melaka bahawa tiada sesiapa yang berani untuk membunuh Hang Jebat.
Pelbagai pihak yang datang ke istana untuk mengepung Hang Jebat tetapi tetap tewas dengan kegagahan yang ada dalam diri seorang pahlawan yang hebat itu. Kegagahannya itu telah menyebabkan semua rakyat jelata berasa gentar dan melarikan diri mereka. Tiada sesiapa yang mampu untuk menumpaskan Hang Jebat walaupun dalam kelompok yang ramai.
2.2.2    Berfoya-foya
Hang Jebat telah tinggal di istana tanpa seorang pun berani untuk menghalaunya. Hang Jebat telah bermukah dengan dayang, biduan raja dengan gundi raja dalam istana tetapi tiada juga seoarang pun berani melarangnya. Walaupun mereka menganggap Hang Jebat menderhaka, tetapi tiada seorang yang berani menegurnya.
“… hang Jebat pun sentiasa duduk di dalam iatana raja; ia temasya dengan segala dayang-dayang isi istana dan gundik dengan segala bunyi-bunyian terlalu ramai…”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 358)
Hal ini demikian kerana raja Melaka telah menghadiahkan Hang Jebat dengan sebilah keris yang mempunyai sakti yang tersendiri, iaitu Keris Taming Sari. Mereka tidak menyangka Hang Jebat akan menderhaka kepada raja Melaka setelah mendapatkan keris tersebut. Hal ini telah menyebabkan raja telah keluar dari istana dan berpindah ke rumah bendahara.
Setelah itu, Hang Jebat berasa sangat gembira dan kehidupannya diibaratkan sebagai seorang raja kerana pakaian raja yang keemasan telah dipakai olehnya. Makan minum telah diangkat oleh orang kepadanya. Selain itu, Hang Jebat juga telah makan di tempat duduk raja dan tidur di tempat raja tidur.
“….ia pun terlalu sukacita lalu ia duduk di atas peterana yang keemasan tempat raja duduk itu. Maka biduan empat itu pun bernyanyilah, terlalu ramai makan minum dengan segala bunyi-bunyian. Maka Hang Jebat pun mandi berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Makan ia memakai bau-bauan; maka maka ia pun menyuruh mengambil peti pakaian raja…”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 361)
Kehidupan Hang Jebat di dalam sangat istana sangat gembira dan mewah menyebabkan Hang Jebat tidak lagi pulang ke rumahnya. Semua makan, minum, pakaian dan sebagainya adalah seperti seorang raja. Dayang, biduan dan gundik juga amat sayang akan Hang Jebat sehinggakan mereka tidak mahu untuk mengikut raja Melaka untuk keluar dari istana meninggalkan Hang Jebat yang telah menderhaka. Tujuan Hang Jebat berkelakuan seperti ini adalah kerana mahu membalas dendam di atas hukuman mati yang telah dijatuhkan oleh Raja Pasai ke atas Hang Tuah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Hal ini telah menyebabkan Hang Jebat berasa sangat marah atas kematian sahabat baiknya dan bagi menuntut keadilan Hang Jebat telah menderhaka kepada Raja Melaka.
2.2.3    Keadilan
Hang Jebat merupakan seorang pahlawan yang adil. Hang Jebat berasa begitu marah apabila mendapat tahu raja Melaka mahu menyuruh bendahara membunuh Hang Tuah.  Hal ini demikian kerana pegawai telah menabur fitnah kepada Hang tuah dan memberitahu perkara itu kepada Patih Kerma Wijaya. Setelah itu, Patih Kerma Wijaya membawa perkara itu kepada raja Melaka supaya menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah yang dianggap jahat itu. Walhal, pegawal yang cemburu akan layanan raja Melaka kepada Hang Tuah itu hanya menabur fitnah sahaja. Oleh itu, raja Melaka menitahkan kepada bendahara untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“... segeralah buangkan Si Tuah ! derhaka pada kita.” Setelah bendahara mendengar titah demikian itu, maka bendahara pun terkejut, seraya berdatang sembah, “ Daulat tuanku, patih mohonkan ampun dan kurnia, apa juga dosanya patik tiada periksa? Adapun yang membuangkan itu pekerjaan mudah pada patik; kalau akhirnya itu bicarakan juga; takut kemudian harinya Duli Yang dipertuan menyesal...”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 349)
Hang Jebat mahu menuntut keadilan di atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh raja Melaka kepada Hang Tuah, sahabat baiknya. Oleh itu, Hang Jebat telah menderhaka kepada raja Melaka sehingga Hang Jebat telah tinggal di dalam istana sesuka hatinya dan bermukah dengan dayang, biduan dan gundik di dalam istana. Perbuatan Hang Jebat ini telah mendatang kemurkaan kepada raja Melaka dan baginda telah memerintahkan kepada Patih Kerma Wijaya, Tun Bija Sura, dan rakyat jelata untuk mengepung dan membunuh Hang Jebat tetapi gagal. Beberapa cubaan untu membunuh Hang Jebat telah dilakukan tetapi semuanya gagal. Selepas itu, Hang Tuah yang masih hidup setelah disembunyikan oleh bendahara telah muncul semula dan membantu raja Melaka untuk membunuh Hang Jebat. Hang Tuah tidak mahu menderhaka kepada raja Melaka dan sanggup mempertaruhkan persahabatannya dengan Hang Jebat.
2.2.4    Keberanian
Keberanian dalam diri Hang Jebat dapat dibuktikan apabila Hang Jebat tidak gentar dengan sebarang cubaan mengepung dan membunuhnya yang telah dititahkan oleh raja Melaka. Hang Jebat hanya tertawa dan berjalan sambil menghunuskan sebilah kerisnya tanpa menunjukkan perasaan takut dengan cubaan rakyat jelata yang ramai datang untuk mengepung istana dan membunuhnya.
“Setelah dilihat oleh Hang Jebat orang banyak datang mengepung dia itu, maka ia pun tertawa, seraya berbangkit lalu berjalan ke muka pintu. Maka dilihatnya segala pegawai yang datang itu muda-muda. Maka dilihat oleh segala pegawai Hang Jebat berdiri di muka pintu itu; maka sekalian pun datang hendak melihat dia. Maka Hang Jebat pun menghunus kerisnya lalu berjalan turun”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 362)
Selain itu, Hang Jebat juga berani untuk menderhaka kepada rajanya. Hang Jebat telah tinggal di istana dan bermukah dengan dayang, biduan, dan gundik-gundik di dalam istana. Hang Jebat tidak takut akan kemurkaan raja Melaka kepadanya. Keberaniaan Hang Jebat ini telah menyebabkan raja Melaka terpaksa berundurkan diri dan berpindah ke rumah bendahara. Hang Jebat tidak lagi pulang ke rumahnya dan bersuka ria di dalam istana. Hang Jebat juga duduk di tempat raja, tidur di bilik raja dan memliki semua barang raja.
2.2.5    Pendendam
Hukuman yang dijatuhkan kepada Hang Tuah tanpa usul periksa terlebih dahulu telah menyebabkan Hang Jebat berdendam dengan raja Melaka. Dendam itu telah membuatkan Hang Jebat menderhaka kepada pemerintahnya, iaitu raja Melaka. Sepatutnya, sebagai seorang rakyat jelata, Hang Jebat perlu taat setia kepada pemerintahnya, tidak boleh menderhaka dan patuh dengan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh rajanya. Tetapi Hang Jebat bukan seorang yang hanya menurut sahaja walaupun perbuatan yang dilakukan oleh raja Melaka itu salah. Hang Jebat telah menentang raja Melaka kerana sedar bahawa Hang Tuah sedang dihukum secara tidak adil dan untuk menunjukkan sokongan dan kesetiaan yang mendalam untuk temannya, iaitu Hang Tuah.
Setelah Hang Tuah mendapat tahu Hang Jebat derhaka akan Raja Melaka, Hang Tuah telah pergi ke istana dan berjumpa dengan Hang Jebat untuk membunuhnya. Pada mulanya, Hang Jebat kehairanan melihat Hang Tuah kerana beranggapan Hang Tuah telah dikenakan hukuman mati oleh raja Melaka. Hang Tuah telah menjelaskan bahawa bendahara tidak membunuhnya malah telah menyembunyikan supaya tiada sesiapa yang tahu bahawa dirinya masih hidup. Kemudian, Hang Tuah dan Hang Jebat telah berlawan sehingga Hang Tuah menikam Hang Jebat sehingga keluar darah yang banyak.
“… keranamulah maka aku berbuat pekerjaan ini. Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan ini..”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 382)
2.3       Tun Teja
2.3.1    Merendah diri
Raja Melaka telah mengutuskan Tun Bija Sura dan Tun Utama untuk pergi belayar ke Inderapura. Tujuan Tun Bija Sura dan Tun Utama pergi ke Inderapura adalah untuk meminang seorang gadis yang begitu cantik rupanya, iaitu Tun Teja. Surat daripada raja Melaka yang ditulis oleh bendahara telah sampai ke Inderapura dan dibaca di hadapan raja Inderapura dan Bendahara Seri Buana, iaiatu ayah kepada Tun Teja.
Raja Inderapura bersetuju dengan pinangan dari raja Melaka itu tetapi Bendahara Seri Buana terlebih dahulu ingin menanyakan kepada anaknya sama ada bersetuju atupun tidak. Setelah bendahara pulang ke rumahnya, bendahara memberitahu kepada anaknya bahawa raja Melaka telah menitahkan Tun Bija Sura dan Tun Utama untuk datang ke Inderapura meminang Tun Teja kepada baginda. Bendahara juga menyuruh Tun Teja menerima pinangan Raja Melaka tersebut. Sebaliknya Tun Teja tidak bersetuju. Tun Teja memberitahu ayahnya bahawa mereka tidak setaraf dengan baginda.
“Adakah anak raja di Bukit Siguntang beristerikan anak Bendahara Seri Buana ini? Tiada adatnya demikian. Sungguhpun ayahanda beroleh menantu akan sebagaimanapun, hamba juga namanya kepada raja Inderapura ini. Adapun akan raja Melaka itu asalnya raja keinderaan, anak raja di Bukit Siguntang, raja yang amat besar dan yang berasal. Adapun kepada bicara sahaya yang raja itu sama raja juga, yang orang keluaran itu samanya orang keluaran juga, yang menteri itu samalah menteri juga dan saudagar itu samanya saudagar juga…”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 113)
Dengan penolakan pinangan tersebut, bendahara berasa sangat sedih dan memberitahu raja Inderapura bahawa Tun Teja menolak pinangan tersebut.
2.3.2    Panas Baran
Hang Tuah telah memberitahu inangda bahawa berhasrat untuk menjadikan Tun Teja pasangannya. Hang Tuah juga menyuruh inangda memberitahu Tun Teja hasrat hatinya itu tetapi inangda khuatir kerana dapat menjangka Tun Teja akan marah kepadanya. Inangda berat hati untuk menyampaikan hasrat Hang Tuah tersebut tetapi setelah berkali-kali dipujuk oleh Hang Tuah, inangda terpaksa juga memberitahu Tun Teja.
Inangda pun memberitahu kepada Tun Teja bahawa Hang Tuah mahu menjadikan Tun Teja sebagai isterinya. Setelah mendengar kata-kata inangda tersebut, muka Tun Teja pun merah padam menahan marahnya dan berkata kepada inangda bahawa mulutnya itu seperti racun. Selain itu, Tun Teja juga menyuruh dayang-dayangnya mengocoh mulut inangda kerana begitu marah dengan kata-katanya itu. Tun Teja juga memberitahu bahawa raja Melaka yang ingin meminangnya juga ditolak, malah Hnag Tuah juga mesti ditolak juga pinangannya itu. Tambahan pula, Tun Teja sudah bertunang pada ketika itu.
“… patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu! Bukan barang-barang kata dikatakan. Hendak membunuh kita pula, si hancur lebur ini ! Pada bicaranya, kita mahu akan Tun Tuah itu? Sedang raja Melaka itu tuanku hendak akan kita, kita tidak mahu; ini pula hambanya. Seperkara pula, kita pun sudah bertunangan; bukan ia tidak tahu.”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 230)
Inangda telah digocoh dengan menggunakan tempurung berbulu sehingga mulutnya berdarah dan bengkak. Setelah pulang ke rumah, inangda menceritakan kepada Hang Tuah tentang kejadian Tun Teja memarahinya dan Hang Tuah telah mengubati luka inangda itu.
2.3.3    Berpendirian Teguh
Tun Teja tetap dengan pendiriannya yang tidak mahu menerima pinangan daripada raja Melaka. Setelah raja Melaka mengetahui bahawa di Inderapura terdapat seorang anak bendahara yang rupawan dan ramai terpikat dengan kejelitaannya, Raja Ahmad telah menyuruh bendahara menulis surat ke Inderapura dan menitahkan Tun Bija Sura dan Tun Utama untuk belayar ke Inderapaura. Tun Bija Sura dan Tun Utama pun belayar ke sana untuk meminang Tun Teja kepada baginda.
Setelah mendapat tahu raja Melaka mahu meminang dirinya, Tun Teja memberitahu ayahandanya bahawa dia tidak setuju kerana memikirkan status mereka yang tidak sama taraf. Walaupun sudah dipujuk berkali-kali oleh Bendara Seri Buana dan raja Inderapura, Tun Teja tetap dengan keputusannya untuk menolak pinangan Raja Melaka. Keputusan yang dibuat oleh Tun Teja telah menyebabkan bendahara dan raja Inderapura sedih kerana bagi mereka raja Melaka merupakan seoarang yang boleh menjaga Tun Teja setelah bendahara semakin tua dan mempunyai baik budi pekertinya.
Selain itu, Tun Teja juga telah memberitahu kepada inangda bahawa raja Melaka pun ditolaknya, inikan pula Hang Tuah. Ini bermaksud Tun Teja tidak mahu menerima sebarang peminangan oleh raja Melaka dan Hang Tuah. Tun Teja tetap dengan pendiriannya itu sehinggakan Hang Tuah terpaksa membawa lari Tun Teja dengan memberikan ubat pengasih yang menyebabkan Tun Teja terpikat dengan Hang Tuah.  
“… Tun Tuah pun pergi ke rumah inangda; maka Tun Tuah pun menyuruhkan inangda ke rumah Tun Teja. Maka Tun Teja pun sudah hadir dengan segala dayang-dayangnya dan hamba sahayanya dan segala isi rumahnya dan harta-harta yang kemas. Setelah sudah Tun Teja melihat inangda itu datang, maka Tun Teja pun menyuruhkan inangda dan segala dayang-dayang berangkat segala harta bermuat. Setelah sudah maka Tun Tuah pun pergi menyambut Tun Teja dan segala dayang-dayangnya yang di dalam rumahnya lalu naik ke jong. Maka orang pun membongkar sauh lalu menarik layar menuju Pulau Tinggi.”
(Hikayat Hang Tuah: hal. 243)
2.4       Patih Gajah Mada
2.4.1    Setia kepada Raja
Dalam Hikayat Hang Tuah, Patih Gajah Mada merupakan seorang pembesar kepada raja di Majapahit.  Patih Gajah Mada menjadi pembesar yang sangat disayangi oleh rajanya iaitu Seri Betara Majapahit kerana beliau terlalu pandai berkata-kata dan mengambil hati baginda.  Patih Gajah Mada adalah seorang yang sangat setia kepada rajanya.  Segala permintaan raja akan diturutinya walaupun permintaan yang tidak elok.  Banyak bukti yang menunjukkan Patih Gajah Mada adalah seorang yang setia kepada raja dan negerinya. 
Sewaktu menerima kunjungan daripada pembesar Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Patih Kerma Wijaya dan lain-lain, Patih Gajah Mada menurut sahaja perintah Seri Betara supaya menyediakan dua buah kapal yang berisi senjata bagi menjadi pertahanan dan persediaan jika diserang musuh.  Patih Gajah Mada terus mengerahkan tenteranya supaya bersiap sedia untuk berperang kerana menganggap kunjungan tersebut adalah dari pihak musuh.  Patih Gajah Mada sangat bijak dalam mengatur muslihat mengenakan lawannya walaupun dengan menggunakan cara yang kejam.
Selain itu, Patih Gajah Mada juga sanggup menggunakan tipu muslihat yang licik bagi memenuhi permintaan raja.  
“ Maka titah Seri Bentara pada Patih Gajah Mada, “Pada bicaraku,mari kita cuba utusan Melayu ini, beranikah atau penakutkah ia ini, kerana aku dengar hulubalang yang enam orang dating ini akan ganti mata telinga rajanya dan penaka tubuh rajalah”.
(Hikayat Hang Tuah: hal. 122)
Setelah mendengar perintah raja supaya menguji kehebatan pahlawan-pahlawan Melaka ini, Patih Gajah Mada terus mengupah enam puluh penjurit untuk bertarung dengan Hang Tuah dan para sahabatnya. Mereka diberi arahan untuk mencabar kehebatan pahlawan Melaka ini. Ketika itu, dia telah mengetahui tentang kehebatan Hang Tuah bermain keris dan dia ingin melihat dengan matanya sendiri.
2.4.2    Seorang yang Licik
Patih Gajah Mada ialah seorang yang sangat licik.  Hal ini dibuktikan melalui cubaan-cubaan untuk membunuh Hang Tuah ketika Hang Tuah berada di Majapahit untuk meminang anak kepada Seri Betara iaitu Raden Galuh Mas Ayu.  Cubaan pertama adalah ketika Hang Tuah baru sampai di Majapahit.  Ketika berjalan-jalan di pasar, tiba-tiba Hang Tuah dan sahabatnya melihat ada sekumpulan orang yang mengamuk. Sekumpulan pengamuk itu membunuh orang ramai yang berada di persekitaran tersebut tanpa rasa belas kasihan.  Rupa-rupanya, mereka telah diupah oleh Patih Gajah Mada untuk membuat onar dan seterusnya membunuh Hang Tuah jika ada peluang.
2.4.3    Pendendam
Seterusnya, Patih Gajah Mada sangat benci akan Hang Tuah.  Selepas cubaan untuk membunuh Hang Tuah gagal pada kali pertama, dia bertekad untuk terus membunuh Hang Tuah.  Tambahan pula, apabila dia mendapat lampu hijau daripada Seri Betara untuk membunuh pahlawan Melaka itu.  Seri Betara juga tidak suka akan Hang Tuah kerana sikap Hang Tuah yang sangat cinta dan setia kepada raja Melaka.  Baginda berpendapat pahlawan-pahlawan Melaka ini akan menyusahkan puterinya apabila puterinya berkahwin dengan raja Melaka.
Selain itu, dalam satu pesta yang diadakan oleh Seri Betara, Patih Gajah Mada juga berhajat untuk membunuh Hang Tuah.  Dalam pesta tersebut, Hang Tuah dan sahabatnya diberikan minuman yang memabukkan, namun Hang Tuah bukan seorang yang senang ditipu dan bijak dalam mengenal tipu muslihat.  Beliau telah mengetahui dari awal lagi tentang minuman itu yang dapat membuatkan seseorang itu mabuk apabila meminumnya.  Apabila Seri Betara menyuruh Hang Tuah minum minuman itu, Hang Tuah berpura-pura meneguk air tersebut dan berpura-pura mabuk.  Ketika itu, Patih Gajah Mada beranggapan bahawa Hang Tuah benar-benar telah mabuk dan itu merupakan masa yang sesuai untuk dia membunuh Hang Tuah. 
Apabila melihat keadaan Hang Tuah yang telah mabuk, Patih Gajah Mada mengajak Hang Tuah untuk menari, namun terus ditolak oleh Hang Tuah.  Namun begitu, setelah diajak beberapa kali, Hang Tuah mengikut sahaja kehendak Patih Gajah Mada itu.  Hang Tuah dapat mengagak niat jahat Patih Gajah Mada itu.  Beliau mengemaskan keris yang ada di pinggangnya dan berwaspada terhadap keadaan sekeliling.  Apabila melihat Hang Tuah memegang kerisnya, Patih Gajah Mada mula berfikir bahawa bukan senang untuk menewaskan pahlawan Melayu ini. Walaupun dalam keadaan mabuk, namun Hang Tuah tetap bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. 
Walaupun cubaan untuk membunuh Hang Tuah gagal lagi, namun Patih Gajah Mada masih tidak serik untuk membunuh Hang Tuah.  Patih Gajah Mada semakin benci akan Hang Tuah kerana dapat menepis segala cubaan untuk membunuhnya.  Pada suatu hari, Seri Betara mengadakan satu majlis untuk meraikan kedatangan raja Melaka ke Majapahit.  Sewaktu majlis tersebut berlangsung, Patih Gajah Mada sekali lagi mengupah penjurit-penjurit untuk bertarung dengan Hang Tuah.
“ Hai penjurit, adapun tatkala orang bermain itu, katamu daripada hadapan ratu Melaka itu: Manatah hulubalang Melayu yang pandai bermain tombak dan senjata dan keris panjang dan tahu bermain lembing dan perisai; marilah berhadapan dengan aku, empat pun baik lima pun baik, tiada ku indahkan. Apabila datang seorang Melayu Tun Tuah namanya, demikian sifatnya, maka ia berhadapan dengan engkau, bunuh olehmu beri mati-mati”.      
                                                                                              (Hikayat Hang Tuah: hal. 159)
Ketika raja-raja sedang menjamu selera tiba-tiba datang seorang lelakiyang gagah perkasa. Lelaki tersebut terus mencabar kewibawaan pahlawan Melayu untuk bertarung dengannya.  Apabila Hang Tuah mendengar cabaran tersebut, Hang Tuah terus turun daripada tempat makan beliau dan ingin berdepan dengan lelaki yang sombong tersebut.  Hang Tuah menyahut cabaran lelaki itu untuk bertarung.  Dalam pertarungan tersebut, Hang Tuah dapat mengagak bahawa lelaki tersebut adalah lelaki upahan Patih Gajah Mada, namun Hang Tuah tidak mengendahkannya.  Selepas bertarung dengan sengitnya, akhirnya Hang Tuah berjaya mengalahkan lelaki tersebut.  Hal ini membuatkan Patih Gajah Mada berasa malu dan keinginannya untuk menghapuskan Hang Tuah semakin membuak-buak.
2.4.4    Penakut
Perwatakan ini dapat dibuktikan ketika majlis makan antara raja-raja.  Ketika mereka asyik menjamu selera, tiba-tiba datang seorang lelaki yang bernama Taming Sari.  Taming Sari membuat onar di majlis tersebut.  Dia mengamuk tanpa mengira sesiapa pun.  Dia membunuh sesiapa sahaja yang dikehendakinya termasuklah raja-raja yang ada di situ.  Apabila melihat pembunuh itu melakukan pembunuhan  tanpa belas kasihan, Patih Gajah Mada terus berlari untuk menyelamatkan dirinya.  Dia tidak berusaha sedikit pun untuk melawan lelaki tersebut.  Dia lebih rela menyelamatkan dirinya sendiri berbanding turun padang untuk melawan lelaki tersebut.  Pada akhirnya, Hang Tuah jugalah yang berdepan dengan lelaki tersebut untuk menghentikan kekecohan yang berlaku itu.
2.5       Raja Melaka
2.5.1    Zalim
Raja Melaka merupakan seorang yang bersikap zalim kepada sesiapa sahaja yang tidak disukainya.  Hal ini dapat dibuktikan apabila baginda sanggup menjatuhkan hukuman bunuh kepada adiknya sendiri iaitu Si Jaya Nantaka.  Pada ketika itu, terdapat orang yang cemburu dan dengki akan raja Melaka.  Mereka telah menyebarkan berita bahawa Si Jaya Nantaka ingin merampas takhta raja Melaka.  Raja Melaka yang mendengar berita tersebut telah percaya hidup-hidup dan berasa amat marah akan adiknya.  Baginda berasa adiknya ingin mengkhianatinya.  Baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Si Jaya Nantaka, namun apabila diberi nasihat oleh para pembesar, baginda hanya memerintahkan agar adiknya dibuang negeri.  Baginda telah menjatuhkan perintahnya tanpa sebarang usul periksa.  Hal ini bermaksud, Raja Melaka amat zalim kerana akan menghukum sesiapa sahaja walaupun berita yang dikhabarkan itu tidak betul.
2.5.2    Kaki Perempuan
Perwatakan ini dapat dilihat apabila raja Melaka terlalu inginkan Tun Teja yang merupakan anak bendahara.  Hal ini demikian kerana Tun Teja memiliki rupa yang sangat cantik.  Baginda berasa ingin memperisterikan Tun Teja, namun tidak berjaya.  Tun Teja ialah seorang yang bijak dan tidak suka akan raja Melaka. Tun Teja berusaha menolak lamaran daripada raja Melaka.  Oleh hal yang demikian, baginda berasa amat sedih apabila lamarannya tidak diterima. 
Apabila melihat keadaan baginda yang berdukacita kerana terlalu menginginkan Tun Teja, Patih Kerma Wijaya memberi satu cadangan kepada baginda. 
“Daulat Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun dan kurnia, pada bicara hati patik, apatah Duli Yang Dipertuan endahkan amat anak bendahara Inderapura itu, kerana Yang Dipertuan Raja Besar yang berasal.  Pada bicara hati patik, ada anak bentara Majapahit seorang yang terlalu amat baik elok rupanya, warna mukanya seperti bulan purnama empat belas hari bulan, tubuhnya seperti emas sepuluh mutu.”
                                                                                              (Hikayat Hang Tuah: hal. 116)
Dalam ayat ini bermaksud, Patih Kerma Wijaya mencadangkan agar raja Melaka menghantar rombongan ke Majapahit untuk proses peminangan.  Raja Majapahit mempunyai seorang puteri yang sangat cantik dan menawan hati sesiapa sahaja yang memandang.  Raja Melaka yang mendengar berita itu berasa amat gembira.  Rasa cintanya terhadap Tun Teja terus lenyap apabila mengetahui bahawa masih ada wanita cantik di luar sana. 
Hal ini membuktikan bahawa raja Melaka merupakan seseorang yang tidak setia.  Baginda hanya mencari wanita untuk memuaskan nafsunya sahaja.  Baginda amat mudah terpaut dengan kecantikan wanita.  Dalam erti kata lain, baginda hanya tertarik kepada wanita yang cantik-cantik sahaja.  Jadi, hal ini juga membuktikan bahawa raja Melaka ialah seorang yang sangat cerewet dan memilih.
2.5.3    Tidak Mengenang Budi
Raja Melaka juga merupakan seorang yang tidak mengenang budi.  Hal ini demikian kerana raja Melaka telah termakan dek tipu muslihat Patih Kerma Wijaya.  Dalam bab ini, Patih Kerma Wijaya telah berasa cemburu dengan sikap raja Melaka yang melebih-lebihkan Hang Tuah.  Pada suatu hari, Patih Kerma Wijaya telah memfitnah Hang Tuah di hadapan raja Melaka.  Patih Kerma Wijaya menyatakan bahawa dia telah acap kali melihat Hang Tuah bermesraan dengan dayang-dayang istana.  Raja Melaka yang mudah terpengaruh dengan khabar angin berasa amat murka.  Baginda menganggap Hang Tuah derhaka kepadanya.  Kemudiannya, baginda menyuruh bendahara membunuh Hang Tuah dan tidak memeriksa terlebih dahulu.
Hal ini membuktikan bahawa raja Melaka ialah seorang yang tidak mengenang budi.  Hang Tuah telah banyak berjasa kepada raja dan negerinya.  Beliau sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi keamanan negeri Melaka.  Namun begitu, raja Melaka masih tidak bersyukur dan mementingkan perasaannya sahaja. 
2.5.4    Baik Hati
Selain itu, terdapat juga sikap positif dalam diri raja Melaka.  Kadang-kadang baginda akan menjadi seorang yang sangat baik hati.  Hal ini dapat dibuktikan daripada kisah Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi yang berusaha untuk menangkis serangan daripada Megat Panji Alam.  Megat Panji Alam telah berdendam dengan Hang Tuah kerana telah melarikan tunangnya iaitu Tun Teja.  Dia bertekad untuk menyerang Melaka kerana perasaan marahnya terhadap Hang Tuah tidak dapat dikawal.
Setelah menewaskan tentera-tentera Megat Panji Alam, Hang Tuah dan sahabatnya pulang ke istana untuk memberitahu raja Melaka tentang kemenangannya.  Raja Melaka berasa sangat sukacita dengan kemenangan tersebut.  Baginda amat berbangga dengan kehebatan Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.  Kehebatan Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pahlawan pada ketika itu.  Disebabkan itulah Melaka bebas daripada ancaman luar.
Atas kemenangan dalam pertarungan tersebut, Hang Tuah telah dianugerahi seekor gajah yang bernama Sang Kertas milik Megat Panji Alam.  Hal ini boleh dikatakan bahawa Raja Melaka memang seorang yang baik hati walaupun kadang-kadang baginda terlalu bengis. 
2.6       Bendahara Paduka Raja
Bendahara Paduka Raja adalah pembesar yang amat berwibawa dan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada raja Melaka. Beliau diberi kepercayaan untuk menguruskan hal pentadbiran negara. Bendahara Paduka Raja banyak menyumbangkan jasa bakti kepada raja Melaka dan merupakan pengikut setia kepada raja Melaka. Sumbangan yang diberikan kepada negeri Melaka ialah negeri Melaka selamat daripada serangan Megat Panji Alam disebabkan maklumat yang diberikan oleh Bendahara Paduka Raja.

2.6.1    Bijaksana
Antara perwatakan Bendahara Paduka Raja dalam Hikayat Hang Tuah ialah bijaksana. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja dapat dilihat semasa kejadiaan Raja Muda difitnah menghimpunkan tentera dan pembesar istana untuk merebut kuasa. Tanpa usul periksa raja Melaka terus menitahkan agar Raja Muda dihukum bunuh, namun Bendahara Paduka Raja menahan dengan mencadangkan Sang Jaya Nantaka ataupun Raja Muda dilucutkan jawatannya dan disuruh pulang ke Bukit Siguntang Mahabiru. Sang Jaya Nantaka meminta sahaja untuk berkelana menjadi nelayan di kuala Melaka. Setelah Jaya Nantaka menjadi nelayan datang Parmadewan (saudagar kaya-raya dari Benua Keling yang mencari raja untuk Benua Keling). Apabila bertemu dengan Sang Jaya Nantaka, Parmadewan meminta Sang Jaya Nantaka menjadi Raja di Benua Keling. Sang Jaya Nantaka kemudiannya menerima tawaram itu dan seterusnya mengikuti Parmadewan ke Benua Keling untuk menjadi raja di sana.
2.6.2    Bersimpati
Selain itu, Bendahara Paduka Raja juga mempunyai perasaan simpati terhadap orang lain. Bendahara Paduka Raja yang mengetahui tentang pemfitnahan yang dibuat terhadap Hang Tuah tidak sempat untuk menyatakan kepada raja Melaka tentang perkara sebenar. Raja Melaka tanpa usul periksa telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Hang Tuah dan menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk melaksanakan hukuman tersebut. Bendahara Paduka Raja tidak sampai  hati untuk membunuh Hang Tuah. Oleh itu, Bendahara Paduka Raja telah menyuruh Hang Tuah  lari ke Inderapura dan memperhambakan dirinya kepada Bendahara Seri Buana.
2.6.3    Cinta akan Tanah Air
Bendahara Paduka Raja juga digambarkan sebagai seorang yang mempunyai semangat patriotisme atau cintakan negara dalam diri. Berita kemaraan Megat Panji Alam telah sampai ke pengetahuan Bendahara Paduka Raja melalui Hang Dolah yang baru sahaja pulang dari Inderapura. Apabila menerima berita tersebut Bendahara Paduka Raja dengan segera telah menyampaikan berita tersebut ke hadapan raja Melaka. Oleh sebab perasaan cinta akan negerinya iaitu Melaka, Bendahara Paduka Raja tidak mahu Megat Panji Alam sempat untuk menjejakkan kaki ke Melaka lalu mencadangkan utusan menyusul ke Inderapura. Raja Melaka telah memerintahkan laksamana Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi menyusul ke Inderapura sebagai langkah berjaga-jaga.  
2.6.4    Mengambil Berat
Seterusnya, Bendahara Paduka Raja juga mengambil berat tentang orang lain. Perwatakan ini dapat dilihat semasa ketiadaan Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja merupakan orang yang mengambil berat akan kehidupan isteri dan anak Hang Tuah. Bendahara Paduka Raja merupakan orang yang selalu datang ke rumah Hang Tuah untuk melihat keadaan isteri dan anak Hang Tuah. Dia juga memberi bantuan daripada segi makanan dan kewangan.
2.7       Patih Kerma Wijaya
Patih Kerma Wijaya seorang yang berketurunan jawa dan bukanlah anak jati negeri Melaka. Beliau mendapat kepercayaan daripada raja Melaka dan para pembesar lain di Melaka. Patih Kerma Wijaya ialah orang yang mengesyorkan raja Melaka agar berkahwin dengan Raden Galuh Emas dari Majapahit bagi mengubati kekecewaan setelah pinangannya ditolak oleh Tun Teja. Beliau juga seorang menteri yang arif dalam meyelesaikan sesuatu tugas yang diberi dan merupakan utusan raja Melaka meminang Raden Mas Ayu. Patih Kerma Wijaya juga  ditugaskan untuk menulis surat dalam bahasa jawa disebabkan kefasihannya berbahasa jawa.      
2.7.1    Berkecil Hati
Antara perwatakan Patih Kerma Wijaya yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah mudah berkecil hati. Patih Kerma Wijaya merasa jauh hati dengan perbuatan Ratu Lasem yang telah melarikan anaknya iaitu Ken Sumirat. Peristiwa ini berlaku semasa Ratu Lasem mengarah Patih Kerma Wijaya untuk memperbaiki Negeri Panjang setelah diserang Raden Inu Katapati. Patih Kerma Wijaya telah jatuh sakit dan menyuruh panglimanya pergi ke Panjang untuk menjemput puterinya iaitu Ken Sumirat ke Pajang Kebiri. Dalam perjalanan ke Pajang Kebiri, puteri itu bertemu dengan Ratu Lasem. Tanpa kebenaran dan pengetahuan Patih Kerma Wijaya Ratu Lasem telah mengahwini anaknya. Beliau berasa marah dan berkecil hati dengan tindakan Ratu Lasem yang mengawini anaknya tanpa kebenaran. Oleh itu, Patih Kerma Wijaya pergi ke Tanah Melayu kerana negeri itu aman dan makmur. Patih Kerma Wijaya telah datang memperhambakan diri kepada Raja Bentan. Raja Bentan telah menyambut baik kedatangan beliau dan melantiknya sebagai pembesar istana.
2.7.2    Hasad Dengki
Seterusnya, beliau mempunyai perasaan hasad dengki di dalam dirinya terhadap Hang Tuah. Hang Tuah terlalu disayangi oleh raja Melaka sejak kembali dari Majapahit iaitu kembali daripada meminang Raden Galuh Emas Ayu untuk baginda. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar-pembesar Melaka termasuklah Patih Kerma Wijaya. Patih Kerma Wijaya dan pembesar-pembesar Melaka lain telah bermesyuarat diketuai oleh Patih Kerma Wijaya untuk membuat fitnah ke atas Hang Tuah. Fitnah ini bertujuan agar Hang Tuah dijatuhkan hukuman oleh raja Melaka. Patih Kerma Wijaya telah memberitahu raja Melaka bahawa Hang Tuah telah bermukah dengan dayang istana. Tanpa usul periksa dan dalam perasaan marah, raja Melaka telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah. Baginda telah menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk melaksanakan bunuh ke atas Hang Tuah.
2.7.3    Penakut
Patih Kerma Wijaya juga digambarkan sebagai seorang yang penakut di dalam Hikayat Hang Tuah ini. Perwatakan penakut Patih Kerma Wijaya dapat dilihat sewaktu raja Melaka menitahkan beliau untuk menghapuskan Hang Jebat yang telah menderhaka kepada raja. Patih Kerma Wijaya membawa pembesar-pembesar istana yang lain serta beribu-ribu rakyat untuk menangkap Hang Jebat tetapi mereka tewas. Ramai yang terkorban dan ada yang lari ketakutan termasuklah Patih Kerma Wijaya. Raja Melaka lagi sekali menitahkan Patih Kerma Wijaya dan pembesar-pembesar istana yang lain untuk berdepan dengan Hang Jebat, tetapi mereka hanya mampu tunduk diam kerana takut.
2.7.4    Pandai Mengambil Hati
Selain itu, Patih Kerma Wijaya juga seorang yang pandai mengambil hati raja. Apabila melihat raja Melaka berada dalam kesedihan akibat peminangannya ditolak oleh Tun Teja,  Patih Kerma Wijaya mencadangkan agar baginda meminang Puteri Majapahit iaitu Raden Galuh Emas Ayu yang juga terkenal dengan kejelitaannya. Cadangan itu sedikit sebanyak telah mengubati kekecewaan raja Melaka yang telah ditolak peminangannya oleh Tun Teja. Raja Melaka menitahkan Bendahara Paduka Raja dan Hang Tuah mengetuai persiapan peminangan dan pembinaan kapal yang bernama Mendam Berahi. Rombongan peminangan pula diketuai oleh Patih Kerma Wijaya.
2.8       Seri Betara Majaphit
Seri Betara Majapahit merupakan ayah kepada Puteri Raden Galuh Emas Ayu. Seri Betara Majapahit mempunyai seorang pengikut yang setia dan rapat dengannya iaitu Patih Gajah Mada.
2.8.1    Suka Menguji.
Antara perwatakan Seri Betara Majapahit dalam Hikayat Hang Tuah ialah seorang yang suka menguji. Seri Betara Majapahit ialah seorang yang suka menguji kehebatan orang lain. Ketibaan rombongan Melaka ke Majapahit diberikan sambutan yang meriah oleh Seri Betara Majapahit. Seri Betara Majapahit dan pembesar baginda iaitu Patih Gajah Mada berhasrat untuk menguji keberanian pembesar-pembesar Melayu Melaka itu. Hal ini kerana Seri Betara Majapahit mendengar bahawa enam orang hulubalang yang datang itu adalah mata-mata raja dan orang kuat raja Melaka. Oleh yang demikian, Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada telah mengarahkan enam puluh orang pengamuk menimbulkan kekacauan di tengah pasar. Enam puluh orang pengamuk tersebut telah menimbulkan kekacauan di hadapan rombongan utusan peminangan Melaka dan seterusnya bertujuan untuk membunuh Hang Tuah. Namun, keberanian panglima-panglima Melaka itu terserlah apabila mereka tidak berganjak walau setapak pun daripada kedudukan masing-masing semasa berlakunya huru-hara tersebut. Keberanian dan ketabahan Hang Tuah dan ahli rombongan peminangan itu dikagumi oleh Seri Betara Majapahit sehingga baginda menganugerahkan gelaran Penggawa Agung kepada Hang Tuah yang bertaraf tinggi selepas kedudukan Patih Gajah Mada.
2.8.2    Pandai Berpura-pura
Selain itu, Seri Betara Majapahit juga seorang yang pandai berpura-pura. Patih Gajah Mada memerintahkan seorang perajurit yang handal bermain tombak untuk membunuh Hang Tuah semasa majlis menghadap raja diadakan di Pebesen. Namun, Hang Tuah mampu menghindari serangan perajurit itu dengan mudah. Bagi menutup tembelang, Seri Betara Majapahit berpura-pura berterima kasih dan memberi anugerah kepada Hang Tuah. Hal ini demikian kerana jika perajurit itu tidak dibunuh, dia mungkin akan mengamuk dan naik ke Pebesen dan membunuh baginda. Perwatakan berpura-pura Seri Betara Majapahit juga dapat dilihat ketika keris Laksama Hang Tuah dicuri. Keris Laksamana Hang Tuah telah dicuri semasa majlis penghadapan berlangsung ketika dia sedang bercerita tentang pertempurannya dengan Megat Panji Alam. Seketika kemudian Hang Tuah menyedari bahawa kerisnya telah hilang lalu beliau telah mencuri keris Patih Gajah Mada. Seri Betara Majapahit mengetahi bahawa Hang Tuah telah mencuri keris Patih Gajah Mada lalu memulangkan keris Hang Tuah. Seri Betara Majapahit menjelaskan bahawa baginda hanya bergurau sahaja. Hang Tuah kemudiannya memberi amaran kepada Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada agar jangan sentiasa bergurau mengenai keris dengan hulubalang Melayu kerana ianya pasti memberi padah yang buruk. Hang Tuah kemudiannya menyerahkan keris Patih Gajah Mada sehingga Patih Gajah Mada merasa malu atas kealpaannya.
2.8.3    Kebimbangan
Mudah berasa bimbang juga merupakan salah satu perwatakan Seri Betara Majapahit dalam Hikayat Hang Tuah ini. Semasa dalam pelayaran ke Majapahit, rombongan Melaka telah singgah di Palembang, Jayakatra dan Tuban. Ketibaan raja Melaka diberikan sambutan yang hebat oleh Baginda Seri Betara. Raja Melaka telah ditempatkan di istana di kampung Patih Gajah Mada. Belum pun berlangsung perkahwinan anaknya, sudah timbul kebimbangan di dalam diri Seri Betara Majapahit iaitu baginda tidak mahu Raden Emas Ayu dibawa pulang ke negeri Melaka. Baginda bercita-cita agar raja Melaka menjadi pengganti baginda untuk memerintah Majapahit kerana baginda hanya berputerikan Raden Emas Ayu seorang sahaja. Oleh itu, Seri Betara Majapahit bersama dengan pengikutnya iaitu Patih Gajah Mada telah merancang untuk membunuh Hang Tuah agar raja Melaka tidak dapat kembali ke negeri Melaka.
2.8.4    Gila Kuasa
Disamping itu, Seri Betara Majapahit juga seorang yang gila kuasa. Oleh sebab mahu menguasai negeri Melaka, Seri Betara Majapahit telah mengarahkan Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah di Majapahit. Pembunuhan Hang Tuah adalah untuk menguasai negeri Melaka kerana Hang Tuah adalah tulang belakang kekuatan kerajaan Melaka. Patih Gajah Mada telah mengupah tujuh puluh orang untuk mengamuk di pasar dengan merampas harta benda dan membunuh sesiapa sahaja. Bagi menghapuskan orang mengamuk itu, Seri Betara Majapahit telah berpura-pura meminta bantuan Raja Melaka. Hang Tuah bersama-sama Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah dapat berjaya membunuh orang-orang mengamuk itu. Kejadian ini telah menyebabkan Patih Gajah Mada dan Betara Majapahit mendapat malu dengan perbuatan mereka sendiri.
2.8.5    Pemarah 
Seri Betara Majapahit juga seorang yang pemarah. Sebelum pulang ke Melaka, Hang Tuah bersama-sama dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah memasuki taman larangan Seri Betara Majapahit. Mereka bersukaria dengan menyanyi dan berpantun di sana. Perbuatan tersebut telah menimbulkan kemarahan Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada. Peristiwa itu menyebabkan Seri Betara Majapahit mengupah seribu orang untuk menangkap Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu tetapi dapat dikalahkan oleh mereka berlima. Hang Tuah lima bersaudara telah menghadap Seri Betara Majapahit ketika Raja Melaka datang menghadap. Hang Tuah menyatakan kepada Betara Majapahit bahawa mereka tidak mengetahui bahawa taman itu adalah taman larangan. Oleh itu, mereka lima bersaudara telah memasuki taman itu untuk bersukaria. Seri Betara Majapahit berasa malu kerana usahanya untuk membunuh Hang Tuah tidak berjaya. Untuk menutup malu, Seri Betara Majapahit telah mengatakan baginda tidak marah dengan perbuatan Hang Tuah lima bersaudara itu. Setelah itu, Hang Tuah memberitahu raja Melaka bahawa mereka mengkhianati taman larangan itu kerana Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada hendak membunuhnya.


2.8.6    Penyayang
Seri Betara Majapahit juga mempunyai perwatakan sebagai seorang yang penyayang. Puteri kesayangannya iaitu Puteri Raden Galuh Emas Ayu selamat melahirkan seorang putera yang dinamakan Raden Bahar. Berita kelahiran ini disampaikan kepada ayahanda Betara Majapahit. Lalu Betara Majapahit telah menghadiahkan kuda tezi kepada cucunya itu. Kuda tezi itu sangat liar dan garang. Semua pembesar tidak berani menunggang kuda itu dan hanya Hang Tuah yang dapat menjinakkan kuda itu.
2.9       Bendahara Seri Buana
Bendahara Seri Buana ialah ayah kepada Tun Teja dan Tun Jenal. Dia ialah bendahara di negeri Inderapura dan merupakan orang yang rapat dengan raja Inderapura. Bendahara Seri Buana juga seorang yang sangat menyayangi anaknya dan membuat keputusan dengan bertanya dulu kepada anaknya.
2.9.1    Baik Hati
Antara perwatakan Bendahara Seri Buana dalam Hikayat Hang Tuah ini ialah seorang yang baik hati. Semasa di Inderapura, Hang Tuah memberitahu bahawa dirinya telah difitnah berlaku curang dengan dayang istana. Hang Tuah telah diterima oleh Bendahara Seri Buana tanpa banyak tanya dan ditempatkan di kampung Bendahara Seri Buana. Di kampung Bendahara Seri Buana, Hang Tuah telah menjadi anak angkat Dang Ratna iaitu inang Tun Teja yang paling tua. Kebetulan pula Dang Ratna tidak mempunyai anak. Oleh sebab budi pekerti Hang Tuah yang baik, dia disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah menjadi buah mulut inang-inang lain seperti Dang Rani, Intan Baiduri, Dang Merdu, Dang Senja dan Cendera Midani.
2.9.2    Penyayang
Selain itu, Bendahara Seri Buana juga seorang yang penyayang. Apabila Hang Tuah melarikan Tun Teja, Bendahara Seri Buana menghantar angkatan perang di bawah pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma untuk menyerang Hang Tuah yang berlabuh di Pulau Tinggi. Hal ini disebabkan oleh perasaan kasih dan sayang akan anaknya iaitu Tun Teja. Walau bagaimanapun, angkatan perang tersebut telah dapat dikalahkan oleh Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja.
2.9.3    Berhati-hati
Bendahara Seri Buana juga seorang yang tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan. Perwatakan ini dapat dilihat semasa Tun Utama dan Tun Bija Sura datang ke Inderapura untuk meminang Tun Teja iaitu anak Bendahara Seri Buana bagi Raja Melaka. Bendahara Seri Buana berasa gembira dengan berita tersebut kerana dapat bermenantukan raja Melaka. Bendahara Seri Buana tidak mengambil keputusan secara terburu-buru sebaliknya dia berasa keputusan itu haruslah dibuat sendiri oleh Tun Teja kerana anaknya itu telah dewasa dan dapat membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya sendiri.  
2.9.4    Patuh
Seterusnya, patuh pada raja. Perwatakan ini dapat dilihat semasa Tun Utama dan Tun Bija Sura datang ke Inderapura untuk meminang Tun Teja. Raja Inderapura bersetuju jika Tun Teja bersuamikan Raja Melaka. Bendahara Seri Buana juga bersetuju dengan kata raja itu tetapi dia mahu bertanyakan dahulu kepada anaknya sendiri iaitu Tun Teja. Bendahara Seri Buana memberitahu segala apa yang diperkatakan oleh Tun Teja kepada Raja Inderapura.  Raja Inderapura cuba menghantar permaisurinya untuk memujuk Tun Teja menerima pinangan Raja Melaka tetapi tidak berjaya.
2.10     Dang Ratna
Dang Ratna ialah inang Tun Teja yang paling tua. Dia sangat disayangi oleh Tun Teja. Dang Ratna telah memgambil Hang Tuah sebagai anak angkatnya. Hal ini disebabkan Dang Ratna  tidak mempunyai anak lagi. Oleh sebab budi pekerti Hang Tuah yang baik, dia sangat disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah menjadi buah mulut inang-inang lain seperti Dang Rani, Dang Merdu, Intan Baiduri, Dang Senja dan Cendera Midani. Dang Ratna sangat disayangi oleh Hang Tuah. Hal ini demikian kerana semasa Hang Tuah mahu pergi meninggalkan Inderapura bersama Tun Teja, Hang Tuah telah membawanya bersama.
2.10.1  Bersimpati
Antara perwatakan Dang Ratna dalam Hikayat Hang Tuah ialah seorang yang mudah bersimpati. Hang Tuah yang berpura-pura mencintai Tun Teja telah menyuruh ibu angkatnya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun Teja menyampaikan hasratnya itu kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna tidak berani menyatakan hasrat hati Hang Tuah kepada Tun Teja. Oleh sebab perasaan kasihan dan simpati kepada Hang Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang Tuah kepada Tun Teja itu. Tun Teja berasa amat marah kepada Dang Ratna semasa menyampaikan hasrat Hang Tuah itu kerana kedudukannya tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan tempurung bebulu menyebabkan muka dan mulutnya berdarah. Hal ini secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan Hang Tuah kerana ibu angkatnya iaitu Dang Ratna diperlakukan sedemikian rupa. Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna untuk TunTeja agar Tun Teja jatuh cinta kepadanya. 
2.10.2  Pendendam
Seterusnya, Dang Ratna juga seorang yang pendendam. Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja supaya Tun Teja tergila-gilakannya. Ubat guna-guna itu kemudiannya diberikan kepada Dang Ratna untuk dilumurkan kepada Tun Teja. Dengan hati yang cekal dan perasaan ingin membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap dirinya, dia telah melumurkan ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Dang Ratna berdendam dengan Tun Teja disebabkan dia telah digocoh oleh Tun Teja dengan menggunakan tempurung bebulu semasa menyampaikan hasrat hati Hang Tuah menyebabkan muka dan mulutnya berdarah. Ubat guna-guna yang dilumurkan pada badan Tun Teja menyebabkan dia mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja memberitahu Dang Ratna supaya menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak kembali ke Melaka kerana Tun Teja ingin bertemu dengannya. 
2.11     Megat Panji Alam
Megat Panji Alam berasal dari Terengganu dan dia adalah anak kepada Megat Terengganu. Dia merupakan tunang kepada Tun Teja yang telah lari bersama Hang Tuah.
2.11.1  Panas Baran
Antara perwatakan Megat Panji Alam dalam Hikayat Hang Tuah ialah panas baran. Apabila mendapat berita daripada Sang Perdana dan Sang Sura mengenai Tunangannya iaitu Tun Teja yang telah dilarikan oleh Hang Tuah, Megat Panji Alam telah menyuruh mengumpulkan segala askarnya untuk menyerang Hang Tuah.
2.11.2  Berdegil
Seterusnya, dia juga seorang yang keras kepala. Raja Terengganu telah melarang anaknya iaitu Megat Panji Alam pergi ke Inderapura apabila mendengar anaknya mahu pergi ke Inderapura untuk menyerang Hang Tuah disebabkan melarikan Tun Teja. Baginda telah menyatakan akan melamar anak raja lain untuk puteranya itu tetapi Megat Panji Alam tetap berkeras hendak pergi ke Inderapura. Raja Terengganu terpaksa akur dengan keputusan anaknya itu. Baginda telah memberikan emas, perak, kain dan segala pakaian yang elok-elok, senjata untuk perang dan empat ribu orang untuk bersama-sama mengikut Megat Panji Alam ke Inderapura. 
2.11.3  Kepercayaan kepada Perkara Tahyul
Megat Panji Alam juga seorang yang percaya pada benda-benda tahayul. Perwatakan ini dapat dilihat semasa hendak menyerang Hang Tuah. Beliau telah mendengar cakap Megat Kembar Ali yang telah mengamuk di dalam kampung Bendahara Paduka Raja dan menceritakan tentang peristiwa itu. Oleh itu, Megat Panji Alam telah menyuruh seorang katib untuk melihat tarikh yang sesuai untuk keluar berperang. Sebelum tarikh tersebut tiba, Megat Panji Alam telah bersukaria bersama-sama dengan rakyatnya. 


3.0       KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah menampilkan banyak watak dan juga perwatakan yang boleh dijadikan falsafah dalam hidup kepada para pembaca contohnya falsafah cinta akan raja dan negara, falsafah cinta akan hubungan antara sahabat-handai, falsafah kepimpinan dan sebagainya. Selain itu, pelbagai watak dan perwatakan protagonis dan antagonis yang dipaparkan di dalam karya agung Hikayat Hang Tuah ini juga dapat memberi kesedaran dan tauladan kepada semua lapisan pembaca tidak kira samada golongan pemerintah ataupun rakyat biasa yang membaca karya epik ini. Sebagai contoh, sekiranya golongan pemerintah yang membaca hikayat ini maka mereka akan cuba bersikap lebih baik daripada raja Melaka dalam melayani atau mengurusi urusan rakyat jelata. Mereka pasti akan cuba untuk bersikap adil dan tidak pilih kasih dalam mengambil tahu urusan rakyat jelata. Manakala, sekiranya rakyat biasa pula yang membaca hikayat ini, maka mereka pasti akan berusaha sedaya upaya untuk menghormati golongan pemerintah terutama raja tanpa melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh agama (Islam) dalam mentaati perintah sang raja.
Akhir kata, Hikayat Hang Tuah sememangnya banyak memberi pengajaran kepada si pembaca. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu haruslah menjaga dan memelihara karya agung kebanggaan Melayu ini supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas dan masih dapat dibaca atau dinikmati oleh generasi seterusnya.
 Bibliografi

A. Samad Ahmad. (2010). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan                  Pustaka.
Kassim Ahmad. (1994). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Lokman Abdul Samad. (2001). Hikayat Hang Tuah: Suatu Pembicaraan Karya Agung dari                           Pelbagai Aspek. Kota Kinabalu: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa
Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari. (2006). Bahasa Melayu: Dimensi       Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment