Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Wednesday, May 7, 2014

HAMZAH FANSURI

Menurut Ismail Yusoff dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru (2008), Hamzah Fansuri merupakan seorang tokoh agama yang terkenal dengan menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.  Menurut Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku Ismail  Yusoff ini, tempat dan tarikh Hamzah Fansuri dilahirkan masih belum diketahui.  Namun begitu, Hamzah Fansuri disahkan hidup ketika pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah IV Saiyidil Mukammil ( 1589-1604) hingga awal pemerintahan Sultan Iskandar Muda Ali Riayat Shah V (1604-1607) sehinggalah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636). 

Menurut Ismail Hamid dalam bukunya Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama (1987), Hamzah Fansuri dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Fansur.  Pada zaman Kesultanan Acheh, kampung Fansur dikenali sebagai pusat pengajian Islam di daerah Acheh Selatan.  Ayah Hamzah merupakan seorang ulama yang terkenal di Barus dan disebabkan itulah beliau turut menurut jejak langkah ayahnya sehingga menjadi seorang tokoh ulama yang besar.

SHEIKH NURUDDIN AL-RANIRI

Menurut Ismail Hamid dalam bukunya Perkembangan Kesusateraan Melayu Lama (1987), Syeikh Nuruddin ar- Raniri adalah seorang ulama yang dilahirkan di Ranir, Gujarat, India dan berketurunan Arab Quraisy. Ayahnya berasal daripada keturunan Arab. Ketika itu, bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan di Asia Tenggara  dan dipelajari oleh pelbagai bangsa yang mengunjungi Alam Melayu.  Tambahan lagi, bapa saudaranya yang bertugas sebagai guru tasawuf di Acheh mendorong Syeikh Nuruddin untuk mempelajari Bahasa Melayu.  Pada tahun 1637, Syeikh Nuruddin telah kembali ke Acheh selepas berada di Mekah selama beberapa tahun iaitu pada pemerintahan Sultan Iskandar Sani.