Abstrak
Hamzah
Fansuri dan Syeikh Nuruddin ar-Raniri merupakan tokoh yang sangat terkenal
suatu ketika dahulu. Walaupun dilahirkan
di negara yang sama, kedus-dua tokoh tersebut masih tidak dapat menerima
pendapat masing-masing. Karya-karya yang
dihasilkan oleh mereka amat berkualiti dan banyak berkisar tentang aspek
keagamaan. Hamzah Fansuri lebih kepada
pegangan ilmu tasawuf heterodoks , manakala Syeikh Nuruddin ar-Raniri pula lebih kepada fahaman ilmu tasawuf
ortodoks. Hal ini menyebabkan kedua-dua
tokoh tersebut tidah sehaluan terutamanya dalam ilmu tasawuf tersebut. Dalam hal ini, Syeikh Nuruddin ar-Raniri
menolak keras tentang aliran Wahdatul Wujud yang dipegang oleh Hamzah
Fansuri. Hal ini lebih mendorongkan lagi
untuk Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengatakan Hamzah Fansuri menyebarkan ilmu
sesat. Dalam hal ini, Syamsuddin al-Sumaterani telah
menjadi pengikut setia Hamzah Fansuri.
1.0 Pengenalan
Syeikh Nuruddin ar-Raniri pernah menulis dalam bukunya Bustan
al Salatin tentang ulama-ulama dari Mekah dan Gujerat dating mengajar di Acheh. Walau bagaimanapun, dalam banyak-banyak nama
tersebut Syeikh Nuruddin langsung tidak menyebut tentang Hamzah Fansuri
sedangkan Hamzah Fansuri juga ialah seorang ulama yang terkenal pada waktu
itu. Melalui buku-buku yang dikaji,
pengkaji dapat mentafsirkan bahawa sebab utama Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak
dapat menerima fahaman Hamzah Fansuri disebabkan oleh Hamzah Fansuri
mengamalkan aliran Wahdatul Wujud.
Dalam masa pemerintahan Iskandar
Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan
Islam. Sebaliknya masa pemerintahan
Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai
menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia
Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang
urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar
menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.
2.0 Latar belakang Hamzah Fansuri
Menurut Ismail Yusoff dalam bukunya Kesusasteraan Melayu
Lama dan Baru (2008), Hamzah Fansuri merupakan seorang tokoh agama yang
terkenal dengan menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi. Menurut Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib
Al-Attas dalam buku Ismail Yusoff ini,
tempat dan tarikh Hamzah Fansuri dilahirkan masih belum diketahui. Namun begitu, Hamzah Fansuri disahkan hidup
ketika pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah IV Saiyidil Mukammil (
1589-1604) hingga awal pemerintahan Sultan Iskandar Muda Ali Riayat Shah V (1604-1607)
sehinggalah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636).
Menurut Ismail Hamid dalam bukunya
Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama (1987), Hamzah Fansuri dilahirkan di
sebuah kampung yang bernama Fansur. Pada
zaman Kesultanan Acheh, kampung Fansur dikenali sebagai pusat pengajian Islam
di daerah Acheh Selatan. Ayah Hamzah
merupakan seorang ulama yang terkenal di Barus dan disebabkan itulah beliau
turut menurut jejak langkah ayahnya sehingga menjadi seorang tokoh ulama yang
besar.
Selain Acheh, Hamzah Fansuri telah
mengembara untuk menuntut ilmu di beberapa tempat seperti Jawa, Tanah Melayu,
India, Parsi dan negeri Arab. Setelah
tamat belajar, Hamzah Fansuri kembali ke kampungnya dan mula mengajar di Barus,
kemudian di Banda Acheh dan akhir sekali dia telah mendirikan madrasah di
daerah tempat lahirnya. Hamzah Fansuri meninggal dunia sekitar tahun
(1607-1610), pada awal pemerintahan Sultan Iskandar Muda .
Dalam buku Perkembangan
Kesusasteraan Melayu Lama (1987) ini juga ada menyatakan bahawa sebagai seorang
ulama, Hamzah bercita-cita tinggi seperti yang disebutkan dalam syairnya iaitu
ingin menyalin semua ilmu yang terdapat dalam kitab-kitab Arab dan Parsi,
terutamanya kitab-kitab yang mengandungi ilmu ketuhanan. Nama Hamzah Fansuri sangat masyhur di serata
tempat dan syairnya digemari ramai. Karya puisi beliau sangat indah dan
berkualiti. Oleh sebab kemasyhurannya,
Hamzah Fansuri telah dipanggil ke istana Acheh.
Hamzah Fansuri telah memangku jawatan sebagai penasihat kepada sultan.
Dalam bidang ilmu tasawuf, Hamzah Fansuri
menganut aliran Wahdatul Wujud dan menjadi pengikut Tariqat Qadiriyah.
Menurut fahaman Wahdatul Wujud, alam adalah ciptaan Tuhan. Wahdatul
Wujud merupakan satu aliran yang menekankan logik akal. Contohnya persoalan
mengenai perkara-perkara ghaib seperti berkenaan dengan kewujudan syurga,
neraka, dosa dan pahala akan dijelaskan kepada sesiapa yang bertanya dengan
menggunakan logik akal untuk menerimanya. Aliran ini mendapat tempat
dalam kalangan masyarakat sehingga kedatangan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan
Abdul Rauf Singkel. Hal ini berlaku kerana Syeikh Nuruddin Ar-Raniri menuduh
bahawa Syeikh Hamzah Fansuri dan anak muridnya telah sesat dan
mengklasifikasikannya sebagai kafir zindiq. Murid Hamzah Fansuri yang membawa
aliran ini ialah Shamsuddin al-Sumaterani.
Menurut buku Penghayatan Karya Agung
Melayu (2013) yang ditulis oleh Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah, Mohd
Rashid Md. Idris dan Naffi Mat, sastera keagamaan boleh dibahagi kepada tiga
cabang ilmu, iaitu ilmu kalam, ilmu fikh dan ilmu tasawuf. Ilmu tasawuf dikatakan mempunyai unsur
rohaniah, manakala ilmu kalam pula sebahagian daripada ilmu usul, iaitu ubat
untuk kaum kafir. Seterusnya, ilmu
tasawuf adalah yang terdekat dengan perkembangan sastera Islam jika
dibandingkan dalam sejarah sastera.
3.0 Latar belakang Sheikh Nuruddin al-Raniri
Menurut Ismail Hamid dalam bukunya Perkembangan
Kesusateraan Melayu Lama (1987), Syeikh Nuruddin ar- Raniri adalah seorang
ulama yang dilahirkan di Ranir, Gujarat, India dan berketurunan Arab
Quraisy. Nama
asal Syeikh Nuruddin ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu Ali ibnu Hasanji
Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi.Ayahnya berasal daripada keturunan
Arab. Ketika itu, bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan di Asia
Tenggara dan dipelajari oleh pelbagai
bangsa yang mengunjungi Alam Melayu.
Tambahan lagi, bapa saudaranya yang bertugas sebagai guru tasawuf di
Acheh mendorong Syeikh Nuruddin untuk mempelajari Bahasa Melayu. Pada tahun 1637, Syeikh Nuruddin telah
kembali ke Acheh selepas berada di Mekah selama beberapa tahun iaitu pada
pemerintahan Sultan Iskandar Sani.
Dalam buku Ismail Hamid (1987) ini
juga menyatakan bahawa Syeikh Nuruddin tidak bersetuju dengan aliran tasawuf
Wahdatul Wujud yang dipelopori oleh Hamzah Fansuri. Syeikh Nuruddin ar-Raniri merupakan pengarang
kitab-kitab agama yang berfahaman Ahlul Sunnah yang bertujuan menolak aliran
Wahdatul Wujud. Syeikh Nuruddin telah
berjaya mempengaruhi Sultan Iskandar Sani dan akhirnya Sultan telah
memerintahkan agar semua buku Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumaterani
dibakar. Apabila Shamsuddin al-
Sumaterani meninggal dunia, maka Syeikh Nuruddin dilantik menjadi ulama istana.
Dalam buku Ismail Yusoff,
Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru (2008), Syeikh Nuruddin ar-Raniri amat
menentang hebat ajaran Hamzah Fansuri.
Dalam buku Penghayatan Karya Agung Melayu (2013) yang ditulis oleh Seri
Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris dan Naffi Mat,
mengatakan Syeikh Nuruddin dan Abdul Raof Singkel mewakili ilmu tasawuf yang
bersifat ortodok, manakala Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumaterani mewakili
ilmu tasawuf yng bersifat heterodoks.
Dalam buku Ismail Yusoff,
Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru (2008), berdasarkan pendapat Syed Muhammad
Naquib, ajaran Hamzah bukanlah tidak tepat seperti yang diutarakan oleh Syeikh
Nuruddin, tetapi mungkin fahaman Syeikh Nuruddin berbeza dengan ajaran sebenar
Hamzah Fansuri. Tambahan lagi, pengikut-pengikut Hamzah Fansuri yang berdebat
tidak mampu menerangkan dengan berkesan tentang ajaran guru mereka. Jadi, hal ini akan mewujudkan satu tanggapan
yang tidak benar tentang ajaran yang dibawa oleh Hamzah Fansuri.
Satu perkhabaran
menyatakan bahawa Nuruddin ar-Raniri telah alah berdebat dengan Saiful Rijjal
yang merupakan penyokong fahaman Hamzah Fansuri dan kejadian ini telah
dicatatkan dalam kitabnya Fath al-Mubin. Kejadian itu menyebabkan Nuruddin
ar-Raniri secara tergesa-gesa kembali ke Gujerat.
4.0 Karya dan Sumbangan Hamzah Fansuri.
Syeikh Hamzah Fansuri telah banyak memberi sumbangan. Antaranya dalam bidang ilmu sosial, sastera,
bahasa dan penghasilan karya prosa dan puisinya. Dalam bidang ilmu sosial, Hamzah Fansuri telah
mempelajari penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat ilmiah. Sebelum karya-karya beliau muncul, masyarakat
muslim Melayu mempelajari masalah-masalah agama, tasawuf dan sastera melalui
kitab-kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab atau Parsi. Masalah dan kekeliruan dapat diatasi dengan
penghasilan kitab-kitab yang menggunakan bahasa Melayu.
Dalam bidang sastera, Hamzah Fansuri
mempelopori penulisan puisi-puisi falsafah dan mistik bercorak Islam. Kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar
ditandingi oleh penyair lain yang sezaman ataupun sesudahnya. Penulis-penulis Melayu pada abad ke-17 dan 18
kebanyakannya berada di bawah bayang-bayang penulisan Hamzah Fansuri. Dalam bidan bahasa, Syeikh Hamzah Fansuri
telah berjaya memartabatkan bahasa Melayu daripada lingua franca kepada bahasa
intelektual dan bahasa ilmu. Kedudukan
bahasa Melayu dalam bidang penyebaran ilmu dan persuratan menjadi sangat
penting dan mengungguli bahasa-bahasa Nusantara yang lain, termasuk bahasa Jawa
yang sebelumnya telah jauh lebih berkembang. Syeikh Hamzah Fansuri telah
berjaya dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa adalah sama
dengan Islamisasi pemikiran dan kebudayaan. Buktinya, dalam 32 bait-bait
syairnya sahaja terdapat lebih kurang 700 kata pinjaman daripada bahasa Arab.
Hal ini bukan sahaja memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu, tetapi
dengan demikian juga mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam kehidupan ke
dalam sistem bahasa dan budaya Melayu. Selain itu, beliau juga telah mendirikan
banyak madrasah dan mempunyai ramai pengikut.
4.1 Jenis Karya:
1.
Syarbul
‘Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin
2.
Asrarul
‘Arifin fi Bayani ‘Illmis Suluk wat Tauhid
3.
Al- Muntahi
4.
Ruba’i
Hamzah Fansuri
5.
Kasyfu
Sirri Tajallis Syibyan
6.
Kitab fi
Bayani Ma’rifah
7.
Asrarul
Arifin
8.
Syair Si Burung
Pingai
9.
Syair Si
Burung pungguk
10. Syair siding Faqir
11. Syair Dagang
12. Syair Perahu
Contoh syair Perahu:
Wahai muda, kenali
dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu;
Tidaklah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.
Hamzah Fansuri banyak menghasilkan
karya berbentuk prosa. Contohnya, Syarab al-Asyikin dan Asrar al-Arifin fi
bayan ilmu al-suluk wal Tauhid. Kitab Syarab al-Asyikin merupakan kitab tasawuf
yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan syariat, hakikat,
makrifat dan zat Tuhan. Kitab ini mengajak masyarakat mencapai makam yang
tertinggi dalam hubungan dengan Tuhan. Kitab
Asrarul Ariffin pula merupakan sebuah kitab tasawuf yang membicarakan tentang
akidah menurut aliran Wahdatul Wujud. Selain itu, beliau juga terkenal
sebagai pelopor puisi Islam yang bersifat agama dan tasawuf atau sufi: Ruba’i
Hamzah Fansuri yang mengandungi 42 rangkap syair yang berinti ajaran Wahdatul
Wujud.
Terdapat kenyataan yang menunjukkan
bahawa terdapat karya Hamzah Fansuri yang tidak pasti tarikhnya, namun
dipercayai bahawa beliau menghasilkan karya-karyanya pada awal abad ke-17. Syair-syair Hamzah Fansuri merupakan syair
Melayu yang tertua, mempunyai sifat mistikal dan melambangkan perhubungan Tuhan
dengan manusia. Hal tersebut dikategorikan sebagai syair tauhid atau makrifat.
5.0 Karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri.
Syeikh Nuruddin mengarang pelbagai karya dalam bidang agama
termasuk ilmu fikah, usuluddin, tasawuf, hadis dan lain-lain. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 31
buah kitab.
5.1 Jenis Karya:
1.
Al-Siratul
Mustaqim iaitu Darul Faraid bi Syarhil Aqaid
2.
Bustan
al-Salatin
3.
Akhbar
al-Akhirah fi Ahwal Yaumil Qiyamah
4.
Al-Tibyan
Fi Ma’rifah al-Ruh wa al-Rahman
5.
Lataif
a-Asrar
6.
Syifa
al-Qulub
7.
Umdat
al-Ikiqad
8.
Jawahir
al-Ulum Fi Kasyfie al Ma’lum
Bustan al Salatin iaitu sebuah kitab
Ketatanegaraan bertujuan sebagai panduan pemerintahan. Mengandungi 7 bab dan
beberapa fasal. Isinya membicarakan pelbagai jenis ilmu seperti firasat
dan perubatan. Turut membincangkan konsep kejadian alam dan kisah
nabi-nabi. 7 bab tersebut adalah :
1.
Huraian
tentang kejadian langit dan bumi, Nur Muhammad, Luh al-Mahfuz, al-Qalam,
al-Arasy, al-Kursi, asal kejadian malaikat, Sirat al-Muntaha, Jin, Iblis dan
lain-lain.
2.
Dibicarakan
tentang nabi-nabi Allah dan raja-raja zaman dahulu seperti raja-raja Parsi-
Zulkarnain, raja-raja Arab Najd dan Hijaz. Rasulullah, Khalifah yang Empat,
sejarah bangsa Arabdi bawah pemerintahan Khalifah-khalifah Bani Umaiyah dan
Abasiyah, sejarah raja-raja Islam di India, Mesir, Turki dan seterusnya
raja-raja Islam di Melaka, Pahang dan Acheh.
3.
Dalam
bahagian ini diperkatakan tentang raja-raja yang adil dan pembesar-pembesar
yang bijaksana.
4. Contoh-contoh
tentang raja yang beriman dan bertakwa kepada Allah seperti Sultan Ibrahim bin
Adham dan Iskandar Zulkarnain. Setengah-setengah daripada mereka berpuasa dan
bertapa sehingga menjadi wali.
5.
Dalam bab
ini, diberikan contoh dan teladan tentang raja-raja yang zalim dan pembesar-pembesar
yang bebal.
6.
Dalam bab
ini, pengarang membicarakan tentang orang yang mulia di sisi Allah dan orang
yang pemurah. Bahagian ini juga
membicarakan tentang pejuang-pejuang Islam yang syahid dalam peperangan Sabil
di Badr dan Uhud.
7.
Pengarang memperkatakan tentang kepentingan
akal dan pelbagai ilmu pengetahuan, termasuk ilmu tentang perubatan dan
firasat.
Contoh prosa yang terdapat dalam karya
Siti Hawa Haji Salleh, Bustan Al-Salatin (2010):
Hatta maka
tatkala sampailah umur Sultan Hussain Syah kepada sepuluh tahun maka sabda Raja
Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, dan nenda Raja Indera Buana, Raja
Setia, dan nenda Raja Kemala Setia, “Kamu hiasilah segala istana, dan segala
mahligai, dan mahligai yang bernama Mercu Alam, dan Mahligai Daulat Khana, dan
Mahligai Cita Keinderaan, dan Seri Warna Mahligai!” maka segala istana dan
segala mahligai pun dihiasi orang lah dengan neka-neka perhiasan, daripada
tirai dibaja yang berpakankan emas, dan beberapa tirai dan langit-langit jenis
jenis dibaja, dan zurbaf dan ainulbanat, dan dewangga; dan beberapa jenis kain
ulas tiang yang indah-indah, dan metai emas dan suasa yang bertatahkan ratna
mutu manikam; dan beberapa bantal emas berpermata belazuardi yang tersusun; dan
dan beberapa jenis kain sampaian mengelilingi segala mahligai itu.”
(Bustan
al-Salatin, 11)
Siratul Mustaqim iaitu sebuah kitab
ilmu fikah yang membicarakan berbagai hukum Islam. Membicarakan tentang
ibadat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain. Kitab
ini juga turut membahaskan tentang hukum-hukum qurban, berburu dan soal halal
dan haram dalam makanan.
Akhbar Al Akhirat iaitu sebuah kitab
mengandungi hal-hal penciptaan Muhammad, Adam, maut, tanda-tanda kiamat, syurga
neraka dan lain-lain. Isi kitab adalah saduran daripada kitab karangan
Imam Al Ghazali.
Jawahir Al Ulum iaitu Kitab
yang menghuraikan tentang fahaman sufi dan memuatkan peraturan-peraturan
ilmu. Ia juga merupakan sebuah kitab dalam bahasa Melayu yang membahaskan
falsafah mistik dengan mendalam.
Syifa Al Qulub iaitu sebuah kitab
dalam bahasa Melayu yang membicarakan cara-cara berzikir kepada Allah s.w.t
Asrar Al Ihsan Fi Makrifat Ar Ruh Ar
Rahman iaitu sebuah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab yang membahaskan tentang
manusia terutama roh, sifat, hakikat serta hubungan manusia dengan tuhan. Ia
turut mengandungi perdebatan tentang roh dengan Hamzah Fansuri.
Kitab Hillal Zil iaitu seperti
Tabyan Fi Makrifat, Syafaul Kulub dan Hujjatus Sidik. Merupakan kitab
yang mengandungi ajaran dan kepercayaan aliran ahlul sunnah yang ditulis
bertujuan menentang ajaran Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Al Sumaterani.
6.0 Sebab-Sebab Syeikh Nuruddin ar-Raniri Menentang
Ajaran Hamzah Fansuri
Berdasarkan fahaman Wahdatul Wujud Hamzah Fansuri, Syeikh
Nuruddin ar-Raniri memulakan percanggahan pendapatnya dan menolak fahaman tersebut. Bagi Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Hamzah
Fansuri sebenarnya telah sesat.
Disebabkan fatwa itulah akhirnya pengikut-pengikut Hamzah Fansuri telah
dihukum bunuh dan karya-karya Hamzah Fansuri habis dibakar. Yang tinggal hanyalah sedikit sahaja yang
masih dikekalkan sehingga sekarang.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri telah mengkritik fahaman Hamzah Fansuri
sehingga beliau berjaya mematahkan ulasan Syamsuddin al-sumaterani.
Selain itu, dalam buku Ismail Yusof,
Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru (2008) juga ada mengatakan bahawa
pertentangan ini sengaja diperbesar kerana Syeikh Nuruddin ar-Raniri bimbang
akan pengaruh pengikut-pengikut Hamzah Fansuri, contohnya Syamsuddin
al-Sumaterani. Syeikh Nuruddin pernah
datang kali pertama di Acheh dari Ranir, India iaitu pada masa itu syamsuddin
masih hidup. Disebabkan rasa tidak
berani untuk menentang Syamsuddin al- Sumaterani, Syeikh Nuruddin telah merantau ke Tanah
Semenanjung Tanah Melayu. Hal ini demikian
juga kerana Syeikh Nuruddin ar-Raniri bimbang pengaruh Syamsuddin al-Sumaterani
akan menjatuhkan reputasi dan kedudukannya sebagai seorang yang terkenal di
Acheh.
Seterusnya, merujuk kepada buku
Penghayatan Karya Agung Melayu (2013) yang ditulis oleh Seri Lanang Jaya, Abd.
Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris dan Naffi Mat, ada dalam kalangan ulama
sufi yang mengatakan bahawa Hamzah Fansuri merupakan seorang penganut syiah
yang sesat dan ada yang berpendapat bahawa beliau mengikut mazhab Imam Syafie dalam
bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah.
Mereka berpendapat bahawa pegangan sufi Hamzah Fansuri menyerupai
pegangan sufi Abi Yazid Bisthami, Al-Hallaj dan Abdul Karim Al-Jili iaitu
pegangan mereka tidak mencampuradukkan ajaran sufi mereka seperti mana sufi
lain seperti Imam Ghazali.
Contoh syair:
Tuhan kita itu seperti bahr al-amiq
Ombaknya penuh pada sekalian tariq
Laut dan ombak keduanya rafiq
Akhir ke dalamnya jua ombaknya ghariq
Ombaknya penuh pada sekalian tariq
Laut dan ombak keduanya rafiq
Akhir ke dalamnya jua ombaknya ghariq
Berdasarkan rangkap
di atas, Syeikh Nuruddin ar-Raniri telah mengatakan bahawa Hamzah Fansuri telah
menyamakan Tuhan dengan alam. Hal ini
membuktikan Syeikh Nuruddin telah mentafsirkan syair tersebut tanpa memahami
apa yang ingin disampaikan oleh Hamzah Fansuri.
Disebabkan inilah Syeikh Nuruddin ar-Raniri melancarkan kecaman sesat
terhadap ajaran Wahdatul Wujud Hamzah Fansuri. Kalau Nuruddin Ar-Raniri
beralasan bahawa dalam ajaran Hamzah telah menyamakan Tuhan dengan alam, alasan
ini semakin menampakkan ketidakmampuan Syeikh Nuruddin dalam menangkap
simbol-simbol yang terkandung di balik makna syair-syair Hamzah Fansuri.
Selain itu, tuduhan sesat yang dilancarkan Syeikh
Nuruddin Ar-Raniri terhadap Hamzah Fansuri adalah kerana Hamzah dianggap
sebagai ulama yang zindiq (sesat) dan panteistis. Berdasarkan syair di atas memang
Hamzah Fansuri mengaitkan Tuhan adalah satu-satunya pemilik wujud yang hakiki
yang dipancarkan kepada alam. Ibarat cahaya mata hari yang menerangi alam
secara terus menerus. Jadi, alam dalam konsep Hamzah adalah wujud wahmi
(bayangan) yang dipancarkan oleh cahaya. Sedangkan Allah adalah wujud hakiki
yang memberikan bayangan kepada alam semula jadi.
Syeikh Nuruddin
ar-Raniri selalu sengaja menyalahtafsirkan konsep syathahiyat yang digunakan
oleh Hamzah Fansuri dan juga Syamsuddin Sumaterani, tetapi tidak pula kepada
ulama sufi yang lain, bahkan beliau bersetuju walaupun pandangan tersebut sama,
malahan ramai yang menganggap Hamzah Fansuri sebagai wali Allah yang bukan
hanya mengetahui ilmu tasawuf secara zahir, tetapi juga menyelami ilmu tersebut
supaya bermanfaat, berbanding dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang dilabel
sebagai hanya mengetahui kulit buku tawasuf sahaja. Atas sokongan Sultan
Iskandar Thani pada ketika itu, Hamzah Fansuri dituduh sesat dan
akibatnya, karya-karyanya turut dibakar dan pengikutnya dihukum mati.
7.0 Kesimpulan
Hamzah Fansuri merupakan tokoh sasterawan yang terkenal
kerana keaslian dan bakat menghasilkan sesuatu karya yang menarik. Walaupun Syeikh Nuruddin ar-Raniri mempunyai
sedikit percanggahan pendapat tentang aliran dan fahaman yang dipegang oleh
Hamzah, namun beliau mungkin tidak mentafsirkan perkara tersebut lebih
lanjut. Disini kita dapat melihat bagaimana boleh berlakunya
percanggahan idea sedangkan kedua-duanya adalah seorang yang tinggi nilai
keagamaannya.
Walaupun pertuduhan Syeikh Nuruddin
ar-Raniri telah berlaku sejak lama dahulu, namun masih terdapat segelintir yang
manusia yang percaya dengan pendapat beliau.
Walaupun begitu, pendapat Syeikh Nuruddin tentang Hamzah Fansuri tidak
benar sama sekali. Hal ini demikian
kerana Hamzah Fansuri merupakan ulama yang percaya kepada hadis dan sunnah,
namun mungkin telah disalah ertikan.
Rujukan
Ismail
Yusoff (2008). Kesusasteraan melayu lama
dan baru. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
Seri Lanang
Jaya, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris & Naffi Mat (2013). Penghayatan
karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ismail
Hamid (1987). Perkembangan kesusasteraan
melayu lama. Selangor: Longman Malaysia Sdn.
Bhd.
Siti Hawa
Hj Salleh (2010). Bustan al salatin.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
V.I
Braginsky (1994). Nada-nada islam dalam
sastera melayu klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment