Wednesday, May 7, 2014

FALSAFAH BAHASA DALAM KITAB PENGETAHUAN BAHASA

1.0 Pengenalan
Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan karya kedua Raja Ali Haji berkaitan dengan bahasa Melayu. Kitab ini dihasilkan berdasarkan catatan pada naskah kajian pada tahun 1275H/ 1858M iaitu kira-kira lapan tahun sesudah karyanya yang pertama bertajuk Bustan al-Katibin (1267H/ 1850M). Kedua-dua karya beliau ini adalah tentang bahasa yang merupakan warisan yang amat berharga serta menjadi penyambung kepada tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak zaman awal Islam lagi.
Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa telah dihuraikan tentang perbendaharaan kata bahasa Melayu iaitu meletakkan kedudukan sesuatu dari segi martabat kewujudan, kejadian dan kemuliaan pada tempatnya yang tepat dan wajar. Raja Ali Haji menghuraikan dengan ringkas nahu bahasa Melayu berdasarkan konsep, istilah dan huraian nahu bahasa Arab, serta makna dan penggunaan kosa kata Melayu iaitu bermula daripada perkataan yang berhuruf atau berabjad alif tetapi hanya sehingga berabajad ca sahaja.



Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan setakat mengetahui selok belok binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan dan kosa katanya, dan binaan ayat, klausa dan frasanya sahaja malah lebih daripada itu adalah untuk mempelajari bagaimana hendak menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar. Ilmu yang benar ialah ilmu yang boleh membimbing manusia kepada pengenalan, pengecaman dan pengesahan kedudukan yang tepat dan wajar bagi segala benda dalam alam ciptaan ini yang membawa kepada pengenalan dan pengiktirafan kepada kedudukan yang tepat dan dan wajar bagi Tuhan dalam penarafan kewujudan seluruhnya. Untuk mencapai matlamat inilah, Raja Ali Haji telah mengarang kitab pengetahuan bahasa yang merupakan kamus besar yang menghuraikan makna secara terperinci bagi perkataan-perkataan yang biasa digunakan dalam bahasa melayu dengan memberikan keutamaan kepada kata-kata kunci yang menjadi asas pembinaan konsep-konsep tentang sistem ontologi (wujud), kosmologi ( ‘alam), dan juga epistemologi ( ‘ilmu) Melayu Islam.
Dibahagikan kepada 3 bab iaitu membicarakan tentang nahu bahasa melayu, kedua tujuh perkataan yang penting dalam bahasa melayu Allah; al-Nabi; al-Ashab (Sahabat Nabi); al-Ahbar (Ulama’); al-Insan; al-Ula (Dunia); dan al-Akhirat.  dan ketiga huraian istilah-istilah yang terdapat dalam bahasa Melayu daerah Johor-Riau.

2.0 Raja Ali Haji
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad atau dikenali sebagai Raja Ali Haji merupakan seorang ulama, ahli sejarah serta pujangga Melayu-bugis dan juga pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa  iaitu buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Beliau dilahirkan di pulau  Pulau Penyegat, kepulauan Riau.  Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh para pengkaji. Menurut Siti Hawa haji Salleh, tarikh kelahiran Raja ali Haji dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebutnya dalam kitab Tuhfat al-Nafis iaitu pada tahun 1809. Manakala kemangkatan beliau dapat dianggarkan pada tahun 1869 hingga 1875..

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang tokoh pujangga Melayu malahan juga turut melibatkan diri sebagai seorang guru agama. Kebijaksanaan beliaudalam ilmu pengetahuan mencakupi pelbagai bidang. Berdasrkan karya-karyanya dapatlah kita lihat bahawa beliau bukan sahaja  mempunyai pengetahuan mendalam tentang agama bahkan boleh berbahasa Arab. Antara karya-karya beliau adalah Bustan al-Katibin (1857), Kitab pengetahuan Bahasa (1859), Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat al-Nafis, Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai, Syair hukum Nikah serta Syair Sultan Abdul Muluk. Kitab Pengetahuan Bahasa ini merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara.

Berdasarkan Kitab Tuhfat al-nafis dapat diketahui serba sedikit latar belakang beliau dan keluarganya. Ibunya bernama Puan Hamidah iaitu anak Panglima Perang Mali dari Selangor. Raja Salihah yang dikatakan pengarang Syair Abdul Muluk ialah saudara seibu sebapa dengan beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri. Isteri pertamanya ialah Sulung dan mempunyai beberapa orang anak. Hasil perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja Halimah telah melahirkan Kalthum pengarang Syair Saudagar Bodoh  dan Raja Hassan pengarang Syair Burung. Raja Ali Haji juga telah berkahwin dengan Raja Safiah dan Daing Cahaya. Hasil perkahwinan ini juga menghasilkan beberapa orang anak.





3.0 Kitab Pengetahuan Bahasa

KitabPengetahuan Bahasa mengandungi 466  halaman bercetak dalam huruf atau abjad Jawi. Raja Ali Haji  menamakan kitab ini sebagai sebuah kamus bagi loghat atau dialek Melayu Johor, Pahang, Riau dan Lingga. Kitab inin mempunyai tiga bahagian iaitu Muqaddimah ( pendahuluan ), Bab al-Awwal atau Bab Pertama dan Bab al-Thani atau Bab Kedua.

Pada bahagian Mukadimah (Muqaddimah) ini membicarakan ilmu bahasa Melayu yang dianggap oleh pengarang amat penting diketahui dahulu sebelum mengetahui makna perkataan-perkataannya. Pada bahagian Bab al-Awwal atau Bab Pertama pula menghuraikan tujuh perkataan yang merupakan kata kunci utama yang mendukung konsep-konsep teras tentang ilmu pengetahuan Melayu Islam. Manakala Bab al-Thani atau Bab Kedua adalah penghuraian makna bagi perkataan-perkataan lain yang mengikut pengarangnya “makna bicara bahasa Melayu yang masyhur dipakai sebelah Johor dan Riau.

Keistimewaan Kitab Pengetahuan Bahasa adalah membincangkan kelas atau golongan kata, menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek sintaksis dan secara tidak langsung menjadi kamus pertama karya orang tempatan sebelum abad ke-20 yang merupakan kamus ekabahasa tertua di Alam Melayu.Bahagian kamus dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai kamus terbaik dan boleh menjadi petunjuk serta panduan dalam kehidupan ahli masyarakat. Entri dalam kamus itu disusun dengan baik dan mudah difahami dengan contoh perkataan mencukupi, selain memperlihatkan ciri morfologi dan sintaksis.

Raja Ali Haji juga tidak meminggirkan konsep adab dan budi dalam dua kitab terbabit apabila Mukadimah Bustan al-Katibin membincangkan kepentingan ilmu dan akal, cara menuntut ilmu serta hubungan penuntut dengan guru.

            Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa pula, Raja Ali Haji menjelaskan konsep adab dan budi dengan menerangkan sembilan adab yang membabitkan adab dengan Allah, orang berilmu, menuntut ilmu, antara anak dengan ibu bapa, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat, orang yang dikenali serta pembesar negeri yang hampir dengan raja, selain adab dalam pergaulan. Hal ini demikian kerana antara tujuan Raja Ali Haji menulis kitab itu selain menghasilkan kamus bahasa Melayu, adalah untuk membentuk masyarakat yang beradab sopan dalam setiap perkara dan membolehkan masyarakat Melayu memperoleh ilmu sebenar.

4.0 Konsep Falsafah Bahasa
Sebelum membincarakan mengenai konsep falsafah bahasa, terlebih dahulu haruslah difahamkan tentang konsep dan makna falsafah dan bahasa itu sendiri. Falsafah berasal daripada perkataan Greek Yunani hasil gabungan dua perkataan iaitu “philo” dan “Sophia”. Philo bermaksud cinta manakala Sophia bermaksud kebijaksanaan. Gabungan kedua-dua perkataan ini membawa pengertian cinta akan kebijaksanaan. Kamus Dewan edisi Keempat (2010) mentakrifkan falsafah sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain.
Manakala menurut Hashim Hj. Musa (2006: 3) dalam Mohd Rashid Md Idris,  falsafah dapat ditakrifkan secara umum sebagai satu penyelidikan atau kegiatan secara renungan (reflective) dan penaakulan (reasoning) untuk merumuskan sifat dan kandungan alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data yang diambil daripada semua aspeknya. Falsafah juga dapat ditakrifkan sebagai satu penyelidikan terhadap sumber dan sikap pengetahuan manusia atau “inquiry into the source and nature of human knowledge.”
Bahasa adalah kebolehan semula jadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang arbitrari, yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Edward Sapir dalam bukunya An Introduction to the Study of Speech telah mendefiniskan bahasa sebagai suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan perasaan. Pendapat beliau boleh diterima tetapi penekanan yang diberikannya lebih berpusat kepada fungsi dan perasaan itu adalah suatu tinjauan yang dibuat daripada sudut pemikiran yang berunsurkan psikologi pada keseluruhannya (Nik Hassan Basri Nik Abdul kadir, 2012: 63).
Manakala manurut Raja Mukhtaruddin dalam Nik Hassan Basri Nik Abdul kadir (2012), berpendapat bahawa ahli-ahli bahasa terlebih dahulu mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh ahli-ahli sesebuah masyarakat untuk bergotong-royong. Berdasarkan definisi ini dapatlah dikatakan bahawa seseorang ahli bahasa itu bergerak menganalisis bahasa iaitu melalui sistem pada pertuturan yang dapat diperhatikannya secara objektif apabila seseorang itu beraktiviti dalam masyarakatnya. Tegasnya, pertuturan adalah yang paling utama. 
Terdapat dua pengertian bahasa yang menjadi titik tolak untuk berfalsafah iaitu bahasa dalam konteks eksklusif dan inklusif. Bahasa dalam konteks eksklusif adalah bahasa sebagai komunikasi seharian. Manakala bahasa dalam konteks inklusif pula adalah bahasa bukan sebagai alat komunikasi seperti bahasa tari, bahasa muzik, bahasa cinta dan bahasa alam semesta (Rizal Mustansyir, 1988: 46 dalam Mohd Rashid Md Idris).
Falsafah bahasa adalah gabungan daripada kajian falsafah dan kajian bahasa atau linguistik. Falsafah terbahagi kepada beberapa cabang seperti bidang falsafah bahasa dan falsafah linguistik. Menurut Searle dalam Awang Sariyan (1997), falsafah linguistik adalah berkaitan dengan usaha menyelesaikan masalah-masalah falsafah melalui kerja-kerja menganalisis makna kata dan pertalian logis. Falsafah bahasa pula merupakan usaha menganalisis ciri-ciri umum seperti makna, rujukan, kebenaran, penyahihan, lakuan pertuturan dan keperluan logis. Oleh hal yang demikian, falsafah bahasa dapat dikategorikan sebagai kajian dalam bidang falsafah  manakala falsafah linguistik pula adalah nama kaedah falsafah.
Terdapat banyak pengertian yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa mengenai falsafah bahasa dan bidang kajiannya mengikut pandangan mereka. Namun, menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), ringkasnya falsafah bahasa boleh difahami melalui tiga pengertian. Pertama, falsafah bahasa ialah suatu penyelidikan yang mendalam terhadap bahasa yang digunakan dalam falsafah sehingga dapat dibezakan pernyataan falsafah yang mengandungi makna (meaningful) dan yang tidak bermakna (meaningless). Kedua, falsafah bahasa adalah sebuah ilmu iaitu sekumpulan hasil fikiran mengenai hakikat bahasa yang di susun secara sistematis untuk dipelajari dengan menggunakan metode tertentu. Ketiga, falsafah bahasa adalah sebuah metode berfikir secara mendalam, logik dan universal mengenai hakikat berbahasa.
Falsafah bahasa meneliti dan memeriksa secara pengetahuan yang dipanggil ‘conceptual knowledge’ atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara abstrak. Contohnya, kesedaran, kewujudan, kenyataan ilmu, logik dan sebagainya. Jadinya, premis dasar falsafah bahasa ialah adanya kaitan yang erat antara bentuk atau struktur dan kandungan bahasa dengan bentuk dan kandungan konsepsi.
Falsafah bahasa juga mempunyai tugas utama untuk menganalisis konsep-konsep. Oleh hal yang demikian, salah satu bidang falsafah bahasa adalah untuk memberikan analisis tentang konsep-konsep dasar dan perkara ini dilakukan melalui analisis bahasa. Seterusnya, falsafah bahasa juga bersangkutan dengan penggunaan dan fungsi bahasa, iaitu perbahasan tentang bahasa dalam hubungannya dengan penggunaan bagi tindakan manusia. Ianya juga berkaitan dengan teori makna dan lebih sinonim dengan bidang semantik. Falsafah bahasa juga antara lainnya adalah sebagai dualisme bentuk, makna dan sebagainya.

5.0 Model Falsafah Bahasa
Model falsafah bahasa telah diperkenalkan oleh Mohd Rashid Md Idris dalam tesis Ph. D beliau pada 2007. Model ini merupakan gabungan dua teori iaitu Teori Relatif dengan Teori Kenuranian Bahasa.  Bentuk bulatan ini memberi gambaran bahawa kita perlulah berbahasa secara sempurna (komprehensif) bukan sahaja daripada segi nahu, tetapi kesempurnaan juga perlu meliputi aspek makna dan tujuan. Bentuk ini juga secara tidak langsung menggambarkan peranan bahasa yang dapat memberikan gambaran keseluruhan kehidupan orang Melayu. Bentuk bulatan ini juga menggambarkan agama orang Melayu (Islam) yang perlu diamalkan secara sepenuhnya (holistik) dan bukan sekadar mengambil sebahagiannya sahaja. Kitaran budaya dan usia juga diibaratkan seperti roda yang adakalanya di atas dan adakalanya di bawah.
Rajah anak panah (dua hala) menggambarkan hubungan langsung (tersurat) antara penutur dengan pendengar (hubungan sesama manusia). Dalam konteks ini, akan berlakunya keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas agar kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan bersama. Hal ini selaras dengan prinsip kesempurnaan bahasa yang kedua iaitu berbahasa untuk menyampaikan maklumat. Seseorang manusia itu perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk berhubung bagi mendapatkan maklumat.
Garisan putus pula menunjukkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah selaku Pencipta. Dalam hubungan ini Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada hambanya termasuklah kejadian asal diri manusia itu sendiri. Allah turut menganugerahkan akal kepada manusia untuk berfikir dalam menentukan hala tuju mereka sama ada mahu menjadi manusia yang baik atau sebaliknya. Manusia juga diberikan anugerah bahasa iaitu alat-alat pertuturan yang merupakan satu pinjaman yang berharga untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Komunikasi ini bukan sahaja berlaku sesama manusia sahaja tetapi juga dengan Allah melalui amalan ibadah yang dilakukan. Perkara ini selaras dengan prinsip kesempurnaan berbahasa iaitu beribadah atau mentauhidkan Allah.
Secara keseluruhannya, Model Falsafah Bahasa cuba mengetengahkan satu situasi yang lebih jelas mengenai perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi yang dikurniakan Allah dengan cara yang betul. Terdapat tiga prinsip asas dalam kesempurnaan kegiatan berbahasa. Pertama, berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan itu mencapai objektifnya. Kedua, berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar. Manakala ketiga ialah berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah (Mohd Rashid Md Idris, 2010: 16).

6.0 Falsafah bahasa dalam Kitab Pengetahuan Bahasa
6.1 Berbahasa mengikut nahu
Nahu atau dikenali sebagai tatabahasa yang merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa mengikut nahu ini adalah prinsip pertama yang terkandung dalam Teori Falsafah bahasa. Prinsip ini menegaskan kepada kita bahawa pentingnya berbahasa dengan betul mengikut bahunya yang bertujuan agar maklumat yang mahu disampaikan itu mencapai objektfnya. Secara umumnya, aspek ini lebih menekankan kepada aspek tatabahasa dan makna ketika seseorang itu berbahasa. 
Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan dala pertuturan dan penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa setiap perkataan perlu di susun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis. Penggunaan perkataan yang mudah difahami oleh semua orang (denotatif) juga penting supaya pendengar atau pembaca dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas dapat meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, sekiranya kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang mahu disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas.
Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa ini terdapat tiga jenis penggunaan nahu bahasa Melayu iaitu Isim, fi’il, dan harf. Isim ialah kata nama. Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2012), kata nama ialah kata yang merujuk kepada nama orang, tempat atau benda. Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa menghuraikan perkataan isim adalah nama tiap-tiap barang yang menunjukkan maknanya pada dirinya, tiada beserta dengan masa yang tiga, yakni: masa yang telah lalu, dan masa yang lagi akan datang dan masa hal sekarang ini. Isim ataupun nama dapat dibahagikan kepada dua iaitu isim nakirah dan isim ma’rifah.
Isim nakira ialah kata nama tak tentu. Isim nakirah dapat disamakan dengan kata nama am yang kita fahami atau “nama yang melengkapi pada jenisnya dan yang melengkapi pada macamnya yang tiada tertentu kepada seseorang. Contohnya, Zaid lelaki, Umar lelaki dan Bakar pun lelaki juga.
Isim ma’rifah pula terbahagi kepada lima bahagian iaitu isim damir, isim al-’alam, isim al-isyarah, isim mausul dan isim idafah. Isim damir dikenali sebagai kata ganti nama atau “nama yang tersembunyi” seperti aku, kami, engkau dan dia. Kedua, isim al-’alam iaitu kata nama khas atau “nama yang diketahui” seperti nama orang, nama negeri dan lain-lain. Ketiga, isim al-isyarah iaitu kata tunjuk atau “nama yang tiada ditentukan akan dia tetapi diisyaratkan seperti ini, itu, di sini, di sana dan di situ. Keempat, isim mausul atau kata ganti nama relatif iaitu maksudnya pada bahasa Melayu “nama yang” seperti yang ini dan yang itu. Kelima, isim idafah atau kata sandaran iaitu nama yang bersandar kepada sesuatu nama seperti penggunaan perkataan si dalam “budak si Zaid” dan penggunaan ku dalam “budakku”.
Fi’ il juga dikenali sebagai kata kerja. Kata kerja ialah kata yang merujuk kepada  perbuatan atau sesuatu yang dilakukan. Dalam Tatabahasa Dwan (2010), kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Fi’il boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu fi’il madin, fi’il mudari, fi’il amr, fi’il lazim, fi’il muta’addi, fi’il naqis, fi’il muqarabah, fi’il puji dan cela, fi’il syak dan yakin.
Fi’il madin atau kata kerja yang menunjukkan perbuatan yang telah lalu dan didahului oleh kata bantu seperti perkataan telah dan sudah. Seterusnya, fi’il mudari atau kata kerja yang menunjukkan  perbuatan yang berlaku seperti sedang, nanti dan akan. Ketiga, fi’il amr atau kata kerja suruhan iaitu menuntut perbuatan, yakni menyuruh berbuat seperti berdirilah engkau dan .
Keempat, fi’il lazim atau kata kerja tak ransitif iaitu fi’il tentu bagi dirinya seperti telah berdiri si Zaid, telah duduk si Zaid dan telah baring si Zaid. Kelima, fi’il muta’addi atau kata kerja transitif iaitu fi’il yang lalu kepada lainnya. Fi’il muta’addi ini terbahagi kepada dua iaitu tiada musyarakah dan musyarakah. Tiada musyarakah juga dipanggil bersekutu atau bercampur atau bertindih. Ianya merupakan perbuatan tunggal yang hanya melibatkan subjek seperti “telah mencampur si Zaid” dan “telah memarah si Zaid.” Manakala musyarakah di kenali sebagai perbuatan menyaling ialah perbuatan berulang-ulang, boleh jadi melibatkan orang lain seperti “berpukul-pukulan si Zaid” dan “berpanah-panahan.”
Keenam, fi’il naqis iaitu yang memerlukan predikat sebagai pelengkap. Fi’il naqis ini bermaksud fi’il kurang, yakni tiada sempurna ia melainkan ada khabarnya iaitu seperti adalah, jadilah, berpagi-pagi, berpetang-petang dan senantiasa. Contoh ayat seperti “adalah si Zaid itu berdiri” dan “jadilah tanah itu tembikar.” Ketujuh, fi’il muqarabah atau kata kerja bantu hampir iaitu fi’il yang berhampir-hampiran” seperti mudah-mudahan” dan “hampirlah.” Contoh ayat, “mudah-mudahan si Zaid itu keluarlah” dan “hampirlah si Zaid itu keluar.” kelapan, fi’il puji dan cela seperti “sebaik-baiknya” dan “sejahat-jahatnya. Kesembilan, fi’il syak dan yakin seperti “ aku sangka” “aku kira-kirakan dan “kuketahui.”   
Harf pula dikenali sebagai partikel atau kata tugas. Kata tugas ialah kata yang hadir dalam frasa, klausa atau ayat untuk medukung sesuatu tugas sintaksis tertentu (Nik Safiah Karim et al., 2008). Harf  mempunyai makna dan boleh berdiri sendiri dan memberi faedaah pada perkataan masing-masing dan maknanya. Raja Ali Haji memberikan lebih kurang sepuluh jenis harf yang meliputi contoh-contoh (tanpa dibuat penjenisan yang terperinci) termasuklah harf seru sebagaimana kata seru yang difahami sekarang, harf melainkan, harf bahawa, harf seolah-olah harf tetapi dan harf elok kiranya. Harf jarr hanya memberi faedah pada makna dan perkataan atau menyerupai kata depan atau sendi nama atau preposisi yang difahami sekarang. Contoh lain adalah harf dengan, harf daripada, harf kepada dan harf pada.
6.2 Perbendaharaan Kata
Perbendaharaan kata bahasa Melayu ialah meletakkan kedudukan sesuatu daripada segi martabat kewujudan, kejadian dan kemuliaan pada tempatnya yang tepat dan wajar. Terdapat tujuh perkataan yang merupakan kata kunci yang mendukung konsep-konsep teras tentang ilmu pengetahuan Melayu Islam. Kata-kata kunci merupakan sejumlah perkataan yang penting di dalam kosa kata sesuatu bahasa yang membentuk struktur pengkonsepsian (conceptualization) bagi masyarakat itu tentang alam semesta dan kewujudan seluruhnya. Antara kata-kata kunci itu terdapat sejumlah kata fokus yang bertindak sebagai pemusatan makna yang menjalinkan kata-kata kunci lain yang berkaitan dari segi maknanya, sehingga terbentuk satu medan maknanya tersendiri.
Tujuh perkataan utama tersebut ialah Allah, al-Nabi (Ahmad), al-Ashab, al-Ahbar, al-Insan, al-Awwali (al-Dunia) dan al-Akhirat yang sebenarnya adalah konsep atau istilah yang merujuk kepada ilmu asasi atau fundamental yang dapat meletakkan pemahaman dan pengenalan yang benar terhadap taraf dan kedudukan yang tepat bagi segala sesuatu dalam seluruh kewujudan dan kejadian, iaitu dalam sistem ontologi dan kosmologi Melayu Islam. Raja Ali Haji mengatakan:
...apabila mengenal ma’rifat yang tujuh dan pengetahuan yang tujuh yang           sudah ersebut itu serta beriman akan dia, nescaya sempurnalah akalnya dan berbedalah ia dengan binatang pada pihak pengetahuannya.
(kitab pengetahuan bahasa: xxii )
Oleh kerana ketujuh-tujuh perkataan ini begitu penting kedudukannya dalam bahasa Melayu, maka Raja Ali Haji meletakkannya dalam bab tersendiri iaitu Bab pertama: Al-Bab Al-Awwal, manakala perkataan-perkataan lain semuanya diletakkan dalam bab-bab seterusnya.
Menurut Raja Ali Haji, perkataan perkara dan yang paling utama daripada tujuh perkataan itu ialah Allah iaitu nama zat Tuhan Yang Maha Tinggi yang wajib wujud dengan sifat-sifatNya yang Maha Sempurna yang merupakan puncak dalam martabat kewujudan yang daripada Nya segala wujud yang nisbiyyah (relatif), iaitu segala makhluk ini bergantung untuk wujud.
Perkataan kedua ialah al-Nabi iaitu Ahmad nama yang lain bagi Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh atau Rasul Allah untuk menyampaikan dan mengajar umat manusia ilmu yang benar daripada Allah s.w.t, iaitu agama Islam yang yang boleh membawa manusia kepada kebahagiaan dan kejayaan yang hakiki dan berkekalan.
Perkataan ketiga pula ialah al-Ashab, iaitu para sahabat r.a kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan masyarakat Islam yang pertama yang menerima dan mengamalkan sepenuhnya segala ilmu yang benar itu, iaitu Islam dan menyebarkannya, supaya menjadi contoh teladan dalam bentuk prinsip, dan lunas-lunas asasi cara hendak mengamalkan Islam kepada generasi yang menuruti mereka sehingga ke akhir zaman.
Perkataan keempat ialah al-Ahbar iaitu semua alim ulama yang muktabar yang menjadi pewaris dan penyebar agama Islam daripada satu generasi kepada satu generasi sehingga ke akhir zaman.
Kelima ialah al-Insan iaitu manusia dengan hakikat kejadiannya yang mempunyai jasad, akal dan kalbu, merupakan makhluk yang menjadi lokus atau objek yang layak untuk menanggung dan menzahirkan agama Islam di atas dunia ini sebagai satu amanah, dan yang akan menerima balasan setimpal daripada pelaksanaan amanat itu di akhirat nanti.
Perkataan keenam pula ialah al-Awwali yakni dunia iaitu tempat dan juga satu tahap kehidupan manusia yang mengandungi segala perbuatan dan kelakuan manusia sebelum mati yang tiada berguna kepada akhirat walaupun nampaknya amalan akhirat. Namun ada dunia yang berupa akhirat iaitu lidah yang berzikir, membaca al-Qur’an dan menyuruh orang kepada yang ma’ruf dan nahi mungkar, memberi nasihat untuk kebaikan diri dan orang lain. Dunia juga merupakan tempat dan waktu segala amal perbuatan manusia dicatat dan sesudah dihisab di akhirat akan diberi balasan yang setimpalnya.
Perkataan ketujuh dan terakhir adalah al-Akhirat yang menurut Raja Ali Haji adalah “...  kesudah-sudahan pekerjaan manusia dan perjalanan anak adam.” (kitab pengetahuan bahasa: 42), iaitu bermula daripada keluarnya roh daripada badannya (mati), masuk ke alam Barzakh (kubur), kebangkitan di Mahsyar, penghisaban (al-Mizan), menyeberangi Titian Sirat al-Mustaqim, dan akhirnya pembalasan dan penempatan yang muktamad, iaitu syurga bagi ahl al-sa’adah (yang beruntung) dan neraka bagi ahl al-shaqawah (yang celaka).  
6.3 Kosa kata
Kosa kata ialah keseluruhan kata dalam sesuatu bahasa. Kosa kata dapat dibahagikan kepada kosa kata umum dan kosa kata istilah,. Kosa kata umum digunakan dalam ungkapan umum seperti perkataan-perkataan yang hadir dalam ayat saya minum susu. Kosa kata istilah pula adalah perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang pengetahuan, seperti rangkai kata jentera parti yang digunakan dalam bidang sains politik.
Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa terdapat banyak kosa kata. Raja Ali Haji telah menghuraikan makna dan penggunaan kosa kata bahasa Melayu tersebut, iaitu bermula daripada perkataan yang berhuruf atau berabjad alif, tetapi hanya sehingga berabjad ca sahaja dan tidaksehingga ke akhir abjad, iaitu perkataan yang berabjad ya. Kosa kata-kosa kata  yang terdapat dalam kitab pengetahuan bahasa ini ada yang mempunyai makna yang sama dan makna yang berbeza dengan kamus-kamus bahasa yang lain.
Perkataan yang mempunyai makna yang sama antara Kitab Pengetahuan Bahasa dah kamus lain adalah perkataan tutuh. Tutuh dalam Kitab Pengetahuan Bahasa bermaksud sesuatu daripada rumah atau perahu dan lainnya yang sudah jadi kemudian maka dirosakkan kerana sesuatu maksud. Terdapat juga imbuhan dalam perkataan tutuh iaitu menutuh iaitu orang yang menutuh, ditutuh adalah sesuatu yang kena tutuh, bertutuh iaitu sudah kena tutuh manakala tutuhi bermaksud orang menyuruh menutuh. Manakala dalam Kamus Dewan edisi Keempat (2010), tutuh juga mempunyai makna yang sama dengan Kitab Pengetahuan Bahasa. Tetapi terdapat juga pengertian lain seperti memotong dahan atau cabang kayu, memangkas, mencantas.
Takrifan perkataan bajau dalam Kitab Pengetahuan Bahasa “iaitu sesuatu tanda kepada langit, serta ada pula bintangnya tanda bajau, yakni tanda teduh tiada ribut pada orang yang ahli biasa di laut di dalam pelayaran. Berbeza pula dengan takrifan yang terdapat dalam Kamus Dewan edisi Keempat iaitu suku kaum peribumi yang ketiga terbesar di Sabah, yang terbahagi kepada dua golongan, iaitu Bajau Laut yang tinggal di timur Sabah dan Bajau Darat di barat Sabah, yang masing-masing bertutur dalam dialek yang berbeza, dan kegiatan utama mereka ialah bertani, menternak serta menangkap ikan.   
Seterusnya, jemba pula dalam Kitab Pengetahuan Bahasa bermaksud bermakna dengan makna datang mengunjungi, maka tatkala dikasarkan jadi jemba  sebab kerana marahkan atau kerana benci, seperti ada seseorang yang lebih pangkatnya mengata marah akan yang kurang pangkatnya daripadanya, sebab tiada datang-datang mengadap akan dia, maka katanya kepada seseorang “Apa sebab maka engkau menjemba aku ke mari; di dalam beberapa bulan ini tiada pernah menampakkan menjemba muka kepada aku ini.
Ulas juga mempunyai makna yang sama antara Kitab Pengetahuan Bahasa dengan kamus lain iaitu Kamus Dewan edisi Keempat. Perkataan ulas ada dua makna iaitu yang pertama, ulas tilam dan gerai dengan kain yang indah-indah, pada ketika hendak dipakai pada pekerjaan pengantin atau tidak maka bernamalah ulas, iaitu bungkus menutup pada iringan gerai atau tilam itu. Makna yang kedua ialah isi buah-buahan yang berulas seperti nangka dan yang lainnya yang sejenis, maka disebut orang seulas atau dua ulas jadi bermaknalah dengan makna sebiji atau dua biji atau sebutir atau dua butir umpamanya. Dalam Kamus Dewan edisi Keempat ini ada lagi penambahan mengenai maksud ulas iaitu orang yang menghuraikan (mengupas sesuatu), jurutafsir serta penghubung, sambung dan sambungan.
Perkataan yang mempunyai makna berbeza antara Kitab Bengetahuan bahasa dengan kamus lain ialah perkataan caci. Caci dalam Kitab Pengetahuan Bahasa bermaksud nama kayu penggiling layar mengkuang orang-orang Melayu daripada daun mengkuang atau lainnya, seperti perahu penjajah dan lainnya. Manakala dalam Kamus Dewan edisi Keempat perkataan caci bermakna cela, cerca dan nista. Perbuatan mencaci ini merupakan suatu perbuatan yang tidak baik.
Selain itu, perkataan bantut. Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa, bantut yang bantut, kena bantut dan terbantut ialah sesuatu yang hendak diperbuat tiada menjadi seperti yang di maksud sama ada pada perbuatan atau pada bicara atau masak-masakan. Manakala dalam Kamus Dewan edisi Keempat,bantut membawa maksud terhalang atau tersekat (pekerjaan, pertumbuhan pokok dan lain-lain), menyebabkan tidak mendapat kejayaan (kerana terhalang dan sebagainya).
Perkataan imbang dalam Kitab Pengetahuan Bahasa bermaksud seseoarang atau binatang yang berjalan hampir pada satu tempat atau pada satu kampung selalu, akan tetapi apabila ia masuk ke dalam kampung itu, padahal perjalannya berhajat akan sesuatu, akan tetapi belum dinyatakannya. Contohnya, helang terbang mengimbang-ngimbang, hendak mengintai hayam demikian juga. Mengimbang pula ialah yang mengerjakan imbang itu, sama ada orang atau binatang haiwan, seperti helang tadi umpamanya. Diimbang pula ialah sesuatu yang diimbangnya, dan yang dimaksudnya baik hasil, baik tidak yang dimaksudnya itu. Terimbang pula hal keadaannya terimbang-imbang, seperti kata seseorang “ Apa maksud si anu itu tiap-tiap hari terimbang-imbang sahaja dekat rumah si anu itu? Tentulah ada maksudnya”. Manakala dalam Kamus Dewan edisi keempat, imbang ialah timbang, tidak berat sebelah.

7.0 Kesimpulan
Kitab Pengetahuan Bahasa mengandungi huraian mengenai perbendaharaan kata bahasa Melayu yang mana ianya meletakkan kedudukan sesuatu daripada segi martabat kewujudan, kejadian dan kemuliaan pada tempatnya yang tepat dan wajar. Dalam kitab pengetahuan bahasa ini juga dihuraikan dengan ringkas tentang nahu bahasa melayu berdasarkan konsep, istilah, dan huraian nahu bahasa Arab. Raja Ali Haji juga menghuraikan makna dan penggunaan kosa kata bahasa Melayu iaitu bermula daripada perkataan yang berhuruf abjad alif sehingga berabjad ca sahaja.
Model Falsafah Bahasa cuba mengetengahkan satu situasi yang lebih jelas mengenai perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi yang dikurniakan Allah dengan cara yang betul. Terdapat tiga prinsip asas dalam kesempurnaan kegiatan berbahasa. Pertama, berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan itu mencapai objektifnya. Kedua, berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar. Manakala ketiga ialah berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah (Mohd Rashid Md Idris, 2010: 16).
Hal ini jelas menunjukkan bahawa raja ali haji menggunakan bahasa sebagai perantaraan untuk menyampaikan maklumat atau mesej sepertimana yang telah ditekankan dalam prinsip falsafah bahasa yang dikemukakan oleh Mohd Rashid Md Idris (2011) iaitu bahasa yang akan dibincangkan tidak tertumpu kepada struktur luarannya seperti fonologi, morfologi dan sintaksis tetapi perbincangan berfokus kepada fungsi atau peranan bahasa dalam menyalurkan maklumat atau mesej. Selain menghasilkan kamus bahasa Melayu, tujuan Raja Ali Haji menulis kitab ini juga adalah untuk membentuk masyarakat yang beradab sopan dalam setiap perkara dan membolehkan masyarakat Melayu memperoleh ilmu sebenar.



1 comment: